LUKAS 19:11-27

LUKAS 19:11-27 Alkitab Berita Baik (BM)

Sementara orang masih mendengar Yesus berkata-kata, Yesus menceritakan perumpamaan berikut. Pada waktu itu Dia hampir tiba di Yerusalem dan orang ramai menyangka bahawa Allah segera akan memerintah di bumi. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Seorang bangsawan pergi ke negeri yang jauh untuk dilantik menjadi raja, dan kemudian dia akan kembali. Tetapi sebelum dia berangkat, dia memanggil sepuluh orang hambanya lalu memberikan sekeping wang emas kepada setiap orang. Dia berkata, ‘Berniagalah dengan wang ini semasa aku pergi.’ Tetapi penduduk negerinya membenci dia. Setelah dia berangkat, mereka mengirim utusan untuk mengatakan, ‘Kami tidak mahu orang ini menjadi raja kami.’ Orang bangsawan itu dilantik menjadi raja, lalu pulang ke negerinya. Dengan segera dia menyuruh semua hambanya yang sudah menerima wang emas supaya datang menghadap. Raja hendak mengetahui keuntungan yang diperoleh mereka. Hamba pertama datang dan berkata, ‘Tuanku, patik berhasil mendapat sepuluh keping wang emas dengan sekeping wang yang tuanku berikan itu.’ ‘Bagus, kamu hamba yang baik! Oleh sebab kamu dapat dipercayai dalam perkara yang kecil, beta akan menjadikan kamu penguasa sepuluh buah kota.’ Hamba kedua datang dan berkata, ‘Tuanku, dengan sekeping wang emas yang tuanku berikan, patik berhasil mendapat lima keping wang emas.’ Kepada hamba itu raja berkata, ‘Beta akan menjadikan kamu penguasa lima buah kota.’ Hamba yang lain datang dan berkata, ‘Tuanku, inilah wang emas tuanku. Patik telah menyimpannya di dalam sapu tangan. Patik takut akan tuanku, kerana patik tahu bahawa tuanku seorang yang keras. Tuanku mengambil apa yang bukan milik tuanku, dan tuanku menuai di tempat yang tidak tuanku semai.’ Raja itu berkata kepadanya, ‘Hai hamba yang jahat! Beta akan menghukum kamu menurut kata-katamu sendiri. Kamu tahu bahawa beta seorang yang keras; beta mengambil apa yang bukan milik beta, dan menuai di tempat yang tidak beta semai. Oleh itu kamu seharusnya menyimpan wang beta di bank supaya apabila beta kembali beta dapat menerima wang beta dengan faedahnya.’ Kemudian raja itu bertitah kepada mereka yang berdiri di situ, ‘Ambillah wang emas itu daripadanya dan berikan kepada hamba yang mempunyai sepuluh keping.’ Mereka berkata kepada raja itu, ‘Tuanku, dia mempunyai sepuluh keping!’ Raja itu menjawab, ‘Ketahuilah, orang yang sudah mempunyai sesuatu, kepadanya akan diberikan lebih banyak lagi. Tetapi orang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga. Sekarang bawa ke mari musuh beta yang tidak mahu beta menjadi raja mereka. Bunuhlah mereka semua di hadapan beta!’ ”

LUKAS 19:11-27 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka tŭngah orang orang mŭnŭngar akan pŭrkara pŭrkara ini, maka ditambahi ulih Isa pula suatu pŭrumpamaan, kŭrna iya tŭlah hampirlah kaJerusalem, dan kŭrna disangkakan ulih marika itu krajaan Allah itu akan nyata dŭngan sŭgranya. Sŭbab itu maka kata Isa, Adalah sa’orang bangsawan anu pŭrgi kapada sa’buah nŭgri yang jauh handak mŭnŭrima bagie dirinya suatu krajaan, kumdian handak balek. Maka dipanggilnyalah sa’puloh orang hambanya, lalu dibrinya kapada marika itu sa’puloh pond, sŭrta katanya kapada marika itu, Jalankanlah akan dia sampie aku balek. Tŭtapi orang nŭgrinya itu mŭmbŭnchikanlah akan dia, sŭrta diutusnya akan dia, katanya, Tiadalah kami mahu orang ini mŭmrentahkan kami. Sŭbarmula maka apabila kŭmbalilah iya sŭbab sudah mŭnŭrima krajaan itu, disurohnya akan hamba hambanya itu datang kapadanya, iya itu orang yang tŭlah dibrinya wang itu, supaya dikŭtahuinya brapakah masing masing marika itu tŭlah mŭndapat untong deripada bŭrniaga. Maka orang yang pŭrtama itu datang bŭrkata, Pondmu itu tŭloh untong sa’puloh pond. Maka katanya kapadanya, Sabaslah hie hamba yang baik, ulih sŭbab sŭtialah angkau dalam pŭrkara yang sŭdikit itu, maka handaklah angkau mŭmrentahkan sa’puloh buah nŭgri. Maka datanglah yang kadua, katanya, Tuan, pondmu dapat untong lima pond. Maka katanya pula kapadanya, Angkau pun jadilah pŭmrentah atas lima buah nŭgri. Datanglah yang lain, katanya, Tuan, initah pondmu yang tŭlah kusimpan dalam kain. Kŭrna aku takot akan dikau, sŭbab angkau sa’orang kŭras, angkau mŭngambil yang tiada angkau lŭtakkan, dan mŭnuwie yang tiada angkau mŭnanam. Maka jawab Tuan itu kapadanya, Deripada pŭrkataan yang kluar deri mulotmu itu juga aku handak mŭnghukumkan dikau, hamba jahat; angkau tŭlah mŭngŭtahui aku sa’orang kŭras, mŭngambil yang tiada kulŭtakkan, dan mŭnuwie yang tiada aku mŭnanam. Mŭngapakah tiada angkau tarohkan wangku itu ditŭmpat bŭrbunga, supaya apabila aku datang bulihlah aku mŭndapat wangku sŭndiri itu dŭngan bunganya. Maka katanya kapada orang yang bŭrdiri dŭkat itu, Ambillah deripadanya pond itu, brikanlah kapada orang yang ada sa’puloh pond. Maka kata marika itu kapadanya, Tuan, ada kapadanya sa’puloh pond. Kŭrna aku bŭrkata kapadamu, kapada barang siapa yang ada akan dibri, dan kapada orang yang tiada itu, mŭski pun apa yang ada kapadanya akan diambil deripadanya. Tŭtapi orang orang yang musohku itu yang tiada mahu kuprentahkan akan dia, bawalah kŭmari, bunohlah akan dia dihadapanku.

LUKAS 19:11-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus menceritakan sebuah ibarat kepada mereka yang mendengar-Nya. Dia kini telah hampir tiba di Yerusalem dan mereka menyangka bahawa kerajaan Allah akan menjadi nyata tidak lama lagi. Jadi, Yesus berkata: “Seorang bangsawan telah berangkat ke negeri jauh untuk dilantik menjadi raja dan akan kembali. Terlebih dahulu dia memanggil sepuluh orang hambanya, lalu memberi mereka sepuluh mina dan berkata kepada mereka, ‘Uruskanlah wang ini sehingga aku pulang.’ Tetapi rakyat negeri itu membencinya dan menyuruh utusan-utusan untuk memberitahunya, ‘Kami tidak mahu orang ini menjadi raja kami.’ Setelah dia menjadi raja, dia kembali dan memerintah hamba-hamba yang telah diberi wang emas datang menghadapnya dengan segera. Dia ingin mengetahui jumlah keuntungan dalam perniagaan masing-masing. Yang pertama menghadap dan berkata, ‘Tuan, satu mina tuan itu telah menjadi sepuluh mina.’ Tuan itu berkata kepadanya, ‘Bagus sekali, hamba yang baik. Oleh sebab engkau telah setia dalam perkara kecil ini, aku akan menjadikan engkau penguasa sepuluh buah kota.’ Yang kedua menghadap dan berkata, ‘Tuan, satu mina tuan itu telah menjadi lima mina.’ Tuan itu berkata kepadanya, ‘Engkau akan menjadi penguasa lima buah kota.’ Seorang hamba lagi menghadap dan berkata, ‘Tuan inilah mina tuan yang telah aku simpan di dalam sehelai kain. Aku takut akan tuan kerana tuan seorang yang keras hati. Tuan mengambil apa yang bukan milik tuan, dan menuai apa yang tidak tuan taburkan.’ Tuan itu berkata, ‘Hamba yang zalim! Aku akan menghukum engkau mengikut kata-katamu sendiri. Engkau mengetahui aku ini seorang yang keras hati, mengambil barang yang bukan milikku dan menuai apa yang tidak aku taburkan. Jadi, mengapakah engkau tidak memasukkan wang itu ke dalam tabung? Kemudian, setelah aku kembali, dapatlah aku ambil wang itu dengan faedahnya.’ Lalu tuan itu berkata kepada orang yang berdiri di situ, ‘Ambillah mina itu daripadanya dan berikannya kepada orang yang mempunyai sepuluh mina itu.’ Mereka pun berkata kepadanya, ‘Tuan, dia sudah ada sepuluh mina.’ Jawabnya, ‘Setiap orang yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak, sebaliknya orang yang tidak mempunyai sesuatu, apa yang ada padanya akan diambil daripadanya. Sekarang, bawalah ke mari seteru-seteruku yang tidak mahu aku menjadi raja mereka. Bunuhlah mereka di hadapanku.’ ”