Lukas 19:11-27

Lukas 19:11-27 AVB

Yesus menceritakan sebuah ibarat kepada mereka yang mendengar-Nya. Dia kini telah hampir tiba di Yerusalem dan mereka menyangka bahawa kerajaan Allah akan menjadi nyata tidak lama lagi. Jadi, Yesus berkata: “Seorang bangsawan telah berangkat ke negeri jauh untuk dilantik menjadi raja dan akan kembali. Terlebih dahulu dia memanggil sepuluh orang hambanya, lalu memberi mereka sepuluh mina dan berkata kepada mereka, ‘Uruskanlah wang ini sehingga aku pulang.’ Tetapi rakyat negeri itu membencinya dan menyuruh utusan-utusan untuk memberitahunya, ‘Kami tidak mahu orang ini menjadi raja kami.’ Setelah dia menjadi raja, dia kembali dan memerintah hamba-hamba yang telah diberi wang emas datang menghadapnya dengan segera. Dia ingin mengetahui jumlah keuntungan dalam perniagaan masing-masing. Yang pertama menghadap dan berkata, ‘Tuan, satu mina tuan itu telah menjadi sepuluh mina.’ Tuan itu berkata kepadanya, ‘Bagus sekali, hamba yang baik. Oleh sebab engkau telah setia dalam perkara kecil ini, aku akan menjadikan engkau penguasa sepuluh buah kota.’ Yang kedua menghadap dan berkata, ‘Tuan, satu mina tuan itu telah menjadi lima mina.’ Tuan itu berkata kepadanya, ‘Engkau akan menjadi penguasa lima buah kota.’ Seorang hamba lagi menghadap dan berkata, ‘Tuan inilah mina tuan yang telah aku simpan di dalam sehelai kain. Aku takut akan tuan kerana tuan seorang yang keras hati. Tuan mengambil apa yang bukan milik tuan, dan menuai apa yang tidak tuan taburkan.’ Tuan itu berkata, ‘Hamba yang zalim! Aku akan menghukum engkau mengikut kata-katamu sendiri. Engkau mengetahui aku ini seorang yang keras hati, mengambil barang yang bukan milikku dan menuai apa yang tidak aku taburkan. Jadi, mengapakah engkau tidak memasukkan wang itu ke dalam tabung? Kemudian, setelah aku kembali, dapatlah aku ambil wang itu dengan faedahnya.’ Lalu tuan itu berkata kepada orang yang berdiri di situ, ‘Ambillah mina itu daripadanya dan berikannya kepada orang yang mempunyai sepuluh mina itu.’ Mereka pun berkata kepadanya, ‘Tuan, dia sudah ada sepuluh mina.’ Jawabnya, ‘Setiap orang yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak, sebaliknya orang yang tidak mempunyai sesuatu, apa yang ada padanya akan diambil daripadanya. Sekarang, bawalah ke mari seteru-seteruku yang tidak mahu aku menjadi raja mereka. Bunuhlah mereka di hadapanku.’ ”