YOSUA 3:9-13
YOSUA 3:9-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Yosua berkata kepada umat, “Mari, dengarlah firman TUHAN, Allah kamu. Apabila kamu maju kelak, Dia pasti akan mengusir orang Kanaan, Het, Hewi, Feris, Girgasi, Amori, dan Yebusi. Kamu akan tahu bahawa Allah yang hidup hadir di tengah-tengah kamu apabila Tabut Perjanjian TUHAN alam semesta, digotong menyeberangi Sungai Yordan, mendahului kamu. Sekarang pilihlah dua belas orang, seorang daripada tiap-tiap suku Israel. Apabila imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian TUHAN memasukkan kaki ke dalam air, Sungai Yordan akan berhenti mengalir; air yang mengalir dari hulu akan terbendung di satu tempat.”
YOSUA 3:9-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lalu Yosua berkata kepada orang Israel, “Ke marilah, dengarlah firman TUHAN, Allahmu.” Kata Yosua pula, “Daripada hal inilah kamu akan tahu bahawa Allah yang hidup itu hadir di tengah-tengah kamu dan Dia pasti mengusir bani Kanaan, bani Het, bani Hewi, bani Feris, bani Girgasi, bani Amori, dan bani Yebus dari hadapanmu. Lihatlah, tabut perjanjian Tuhan semesta bumi akan menyeberang di depanmu, turun ke Sungai Yordan. Sekarang, pilihlah dua belas orang daripada kalangan suku Israel, seorang daripada setiap suku. Nanti, apabila telapak kaki para imam pengusung tabut TUHAN, Tuhan semesta bumi, berhenti di dalam air Sungai Yordan, air Sungai Yordan akan terputus. Air yang turun dari hulu akan tertahan menjadi satu timbunan.”