Yosua 3

3
Orang Israel menyeberangi Sungai Yordan
1Yosua bangun pagi-pagi, lalu dia serta seluruh orang Israel berangkat dari Sitim dan tiba di Sungai Yordan. Mereka bermalam di sana sebelum menyeberang. 2Setelah tiga hari berlalu, para pegawai pasukan berjalan di tengah-tengah perkhemahan 3dan memberikan perintah sedemikian kepada umat itu, “Sebaik sahaja kamu melihat tabut perjanjian TUHAN, Allahmu, diusung oleh para imam Lewi, kamu harus beranjak dari tempatmu dan mengikuti tabut itu. 4Tetapi harus ada jarak di antara kamu dengan tabut itu sejauh kira-kira dua ribu hasta dan janganlah datang dekat, supaya kamu dapat mengetahui jalan yang harus kamu tempuh, kerana kamu tidak pernah melalui jalan ini sebelumnya.”
5Lalu Yosua berkata kepada bangsa itu, “Sucikanlah dirimu kerana esok TUHAN akan melakukan keajaiban-keajaiban dalam kalangan kamu.” 6Kata Yosua pula kepada para imam, “Angkatlah tabut perjanjian dan menyeberanglah di depan umat itu.” Mereka pun mengangkat tabut perjanjian dan berjalan di depan umat itu.
7Kemudian TUHAN berfirman kepada Yosua, “Pada hari ini Aku hendak mulai membesarkan engkau di mata seluruh orang Israel, supaya mereka tahu bahawa sebagaimana dahulunya Aku menyertai Musa, demikian jugalah Aku akan menyertai engkau. 8Hendaklah engkau memerintahkan sedemikian kepada para imam pengusung tabut perjanjian itu, ‘Sesudah kamu sampai di pinggir air Sungai Yordan, hendaklah kamu berdiri tanpa bergerak-gerak di Sungai Yordan itu.’ ”
9Lalu Yosua berkata kepada orang Israel, “Ke marilah, dengarlah firman TUHAN, Allahmu.” 10Kata Yosua pula, “Daripada hal inilah kamu akan tahu bahawa Allah yang hidup itu hadir di tengah-tengah kamu dan Dia pasti mengusir bani Kanaan, bani Het, bani Hewi, bani Feris, bani Girgasi, bani Amori, dan bani Yebus dari hadapanmu. 11Lihatlah, tabut perjanjian Tuhan semesta bumi akan menyeberang di depanmu, turun ke Sungai Yordan. 12Sekarang, pilihlah dua belas orang daripada kalangan suku Israel, seorang daripada setiap suku. 13Nanti, apabila telapak kaki para imam pengusung tabut TUHAN, Tuhan semesta bumi, berhenti di dalam air Sungai Yordan, air Sungai Yordan akan terputus. Air yang turun dari hulu akan tertahan menjadi satu timbunan.”
14Maka terjadilah apabila umat itu berangkat dari perkhemahan mereka untuk menyeberangi Sungai Yordan, para imam mengusung tabut perjanjian di depan umat itu. 15Lalu ketika para pengusung tabut sampai di Sungai Yordan dan kaki para imam pengusung tabut itu tercelup di pinggir air itu — sememangnya Sungai Yordan meluap keseluruhan tebingnya selama musim menuai — 16maka air yang turun dari hulu tertahan. Air itu tegak menjadi suatu timbunan, begitu jauh dari kota raya Adam, kota di sebelah Sartan. Air yang turun ke Laut Arabah, iaitu Laut Mati, juga terputus sama sekali. Lalu umat itu pun menyeberang, bertentangan dengan kedudukan Kota Yerikho. 17Para imam pengusung tabut perjanjian TUHAN itu berdiri tegap di atas tanah yang kering, di tengah-tengah Sungai Yordan, sementara seluruh orang Israel menyeberang di atas tanah yang kering, sehingga seluruh umat Israel selesai menyeberangi Sungai Yordan.

Terpilih Sekarang Ini:

Yosua 3: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk