YOSUA 3

3
Umat Israel Menyeberangi Sungai Yordan
1Pagi esoknya, Yosua dan semua umat Israel bangun awal. Mereka meninggalkan perkhemahan di Sitim, lalu pergi ke kawasan Sungai Yordan. Mereka berkhemah di situ sementara menunggu untuk menyeberangi sungai itu. 2Selepas tiga hari, para pemimpin mereka menjelajahi perkhemahan 3dan berkata kepada umat Israel, “Apabila kamu nampak imam-imam membawa Tabut Perjanjian TUHAN Allah kamu, berangkatlah dan ikutlah mereka. 4Kamu belum pernah ke sini, oleh itu mereka akan memimpin perjalanan kamu. Tetapi jangan hampiri Tabut Perjanjian. Berjalanlah kira-kira satu kilometer di belakang Tabut Perjanjian.”
5Yosua berkata kepada umat itu, “Sucikanlah diri kamu kerana esok TUHAN akan melakukan mukjizat di tengah-tengah kamu.” 6Kemudian Yosua menyuruh imam-imam mengangkat Tabut Perjanjian dan berjalan mendahului umat Israel. Imam-imam itu pun berbuat demikian.
7TUHAN berfirman kepada Yosua, “Apa yang Aku lakukan hari ini akan menyebabkan semua umat Israel sangat menghormati engkau. Mereka akan sedar bahawa Aku menyertai engkau sebagaimana Aku menyertai Musa. 8Perintahlah imam-imam yang membawa Tabut Perjanjian itu supaya masuk ke dalam sungai setibanya mereka di situ, dan berdiri dekat tebingnya.”
9Kemudian Yosua berkata kepada umat, “Mari, dengarlah firman TUHAN, Allah kamu. 10Apabila kamu maju kelak, Dia pasti akan mengusir orang Kanaan, Het, Hewi, Feris, Girgasi, Amori, dan Yebusi. Kamu akan tahu bahawa Allah yang hidup hadir di tengah-tengah kamu 11apabila Tabut Perjanjian TUHAN alam semesta, digotong menyeberangi Sungai Yordan, mendahului kamu. 12Sekarang pilihlah dua belas orang, seorang daripada tiap-tiap suku Israel. 13Apabila imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian TUHAN memasukkan kaki ke dalam air, Sungai Yordan akan berhenti mengalir; air yang mengalir dari hulu akan terbendung di satu tempat.”
14-15Pada masa itu musim menuai dan seperti biasa, Sungai Yordan banjir.
Apabila umat Israel meninggalkan perkhemahan untuk menyeberangi Sungai Yordan, imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian berjalan di hadapan mereka. Sebaik sahaja imam-imam itu menginjakkan kaki ke dalam air, 16sungai itu berhenti mengalir. Jauh di bahagian hulu sungai, airnya terkumpul di Adam, sebuah kota dekat Sartan. Air yang mengalir ke Laut Mati terputus sama sekali. Oleh itu umat Israel dapat menyeberangi sungai dekat kota Yerikho. 17Selama umat Israel berjalan di atas dasar sungai yang kering, imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian berdiri di tengah-tengah dasar sungai yang kering itu, sehingga semua umat tiba di seberang.

Terpilih Sekarang Ini:

YOSUA 3: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk