YOSUA 4
4
Dua Belas Batu Peringatan Didirikan
1Selepas seluruh bangsa itu menyeberangi Sungai Yordan, TUHAN berfirman kepada Yosua, 2“Pilihlah dua belas orang, seorang daripada tiap-tiap suku, 3lalu suruhlah mereka mengambil dua belas buah batu dari tengah-tengah sungai, tepat pada tempat imam-imam itu berdiri. Suruhlah mereka mengangkat batu-batu itu dan meletakkannya di tempat kamu berkhemah malam ini.”
4Kemudian Yosua memanggil dua belas orang yang telah dipilihnya 5dan berkata, “Turunlah ke sungai di depan Tabut Perjanjian TUHAN, Allah kamu. Masing-masing harus mengambil sebuah batu, sebuah batu untuk setiap suku Israel. Pikullah batu itu. 6Batu-batu itu akan mengingatkan umat Israel tentang perbuatan TUHAN. Pada masa yang akan datang, apabila anak-anak kamu bertanya akan erti batu-batu itu, 7beritahulah mereka bahawa Sungai Yordan berhenti mengalir ketika Tabut Perjanjian TUHAN digotong menyeberangi sungai itu. Batu-batu itu akan sentiasa mengingatkan umat Israel tentang peristiwa yang berlaku di sini.”
8Mereka menurut perintah Yosua. Sebagaimana perintah TUHAN kepada Yosua, mereka mengambil dua belas buah batu dari tengah-tengah Sungai Yordan, sebuah batu untuk setiap suku Israel. Mereka memikul batu-batu itu ke tempat perkhemahan lalu meletakkan semuanya di sana. 9Yosua juga menyusun dua belas buah batu di tengah-tengah Sungai Yordan, di tempat imam-imam itu berdiri. (Batu-batu itu masih ada di sana sampai sekarang.) 10Para imam berdiri di tengah-tengah Sungai Yordan sehingga segala yang diperintahkan TUHAN kepada Yosua telah dilakukan oleh umat itu. Itulah yang diperintahkan oleh Musa kepada Yosua.
Umat Israel menyeberangi sungai dengan cepat 11dan apabila mereka semua sampai di seberang, imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian TUHAN berjalan di hadapan mereka. 12Semua orang daripada suku Ruben, Gad, dan setengah suku Manasye telah menyeberang mendahului umat Israel yang lain, dan mereka siap berperang seperti yang diperintahkan Musa. 13Semuanya ada kira-kira 40,000 orang lelaki yang telah siap untuk berperang. Di hadapan TUHAN, mereka menyeberang ke dataran rendah dekat kota Yerikho. 14Perbuatan TUHAN pada hari itu menyebabkan umat Israel menghormati Yosua sebagai orang besar. Mereka menghormati dia sepanjang hayatnya sebagaimana mereka menghormati Musa dahulu.
15Kemudian TUHAN menyuruh Yosua 16memerintah imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian keluar dari Sungai Yordan. 17Yosua mematuhi perintah TUHAN. 18Apabila imam-imam itu sampai di tebing sungai, air sungai mengalir lagi dan banjir seperti semula.
19Umat Israel menyeberangi sungai itu pada hari kesepuluh bulan pertama, lalu mereka berkhemah di Gilgal, di sebelah timur kota Yerikho. 20Di sana Yosua menyusun dua belas buah batu yang diambil dari Sungai Yordan. 21Dia berkata kepada umat Israel, “Pada masa akan datang, apabila anak cucu kamu bertanya tentang erti batu-batu ini, 22beritahulah mereka bahawa umat Israel menyeberangi Sungai Yordan di atas dasar yang kering. 23Beritahulah mereka bahawa TUHAN, Allah kamu mengeringkan sungai itu untuk kamu sehingga kamu menyeberanginya, sebagaimana Dia mengeringkan Laut Gelagah untuk kami sehingga kami menyeberanginya. 24Dengan kejadian itu, semua orang di bumi akan tahu betapa besarnya kuasa TUHAN. Oleh itu kamu akan menghormati TUHAN, Allah kamu selama-lamanya.”
Terpilih Sekarang Ini:
YOSUA 4: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.