YOSUA 24:13-28

YOSUA 24:13-28 Alkitab Berita Baik (BM)

Aku memberi kamu negeri yang tidak kamu usahakan dan kota-kota yang tidak kamu bina. Sekarang kamu tinggal di negeri itu dan makan buah anggur dan zaitun dari pokok-pokok yang tidak kamu tanam.’ ” “Oleh itu,” kata Yosua, “hormatilah TUHAN dan mengabdilah kepada-Nya dengan ikhlas dan setia. Buanglah tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesopotamia dan di Mesir dahulu. Mengabdilah kepada TUHAN sahaja. Jika kamu tidak mahu mengabdi kepada-Nya, tentukanlah sekarang kepada siapa kamu hendak mengabdi, kepada tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesopotamia, atau kepada tuhan-tuhan orang Amori di negeri yang kamu tinggal sekarang. Tetapi bagi aku dan keluargaku, kami hendak mengabdi kepada TUHAN.” Umat Israel menjawab, “Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan TUHAN untuk mengabdi kepada tuhan-tuhan lain! TUHAN, Allah kita telah melepaskan nenek moyang kita dan kita sendiri daripada perhambaan di Mesir, dan kita telah menyaksikan mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya. Dia telah melindungi kita dalam semua perjalanan kita melalui negeri-negeri asing. Ketika kita menyerang negeri ini, TUHAN mengusir semua orang Amori yang tinggal di sini. Oleh itu, kami juga akan mengabdi kepada TUHAN; Dialah Allah kita.” Kemudian Yosua berkata kepada umat itu, “Tetapi mungkin kamu tidak akan sanggup mengabdi kepada TUHAN. Dia Allah yang suci, dan Dia tidak akan mengampunkan dosa kamu. Dia tidak mahu ada saingan. Jika kamu meninggalkan Dia lalu mengabdi kepada tuhan-tuhan bangsa asing, Dia akan menentang kamu dan menghukum kamu. Dia akan membinasakan kamu, walaupun dahulu Dia baik terhadap kamu.” Umat itu menjawab, “Tidak. Kami akan tetap mengabdi kepada TUHAN.” Yosua berkata kepada mereka, “Kamu menjadi saksi kamu sendiri bahawa kamu telah memilih untuk mengabdi kepada TUHAN.” Mereka menjawab, “Ya. Kami menjadi saksi.” Yosua berkata lagi, “Jika demikian, buanglah tuhan-tuhan bangsa asing yang ada pada kamu dan berjanjilah untuk setia kepada TUHAN, Allah Israel.” Kemudian umat itu berkata kepada Yosua, “Kami akan mengabdi kepada TUHAN, Allah kita. Kami akan mematuhi perintah-Nya.” Maka pada hari itu, Yosua membuat satu perjanjian untuk umat itu di Sikhem. Dia memberi mereka hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Yosua menuliskan perintah-perintah itu di dalam Kitab Taurat Allah. Kemudian Yosua mengambil sebuah batu yang besar dan menegakkannya di bawah pokok oak di tempat yang khusus untuk TUHAN. Yosua berkata kepada semua orang itu, “Batu ini saksi kita. Batu ini telah mendengar segala firman TUHAN kepada kita. Oleh itu batu ini menjadi saksi terhadap kamu untuk mengingatkan kamu supaya tidak melawan Allah kamu.” Selepas itu Yosua menyuruh umat itu pulang, lalu masing-masing balik ke wilayah sendiri.

YOSUA 24:13-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Aku mengurniakan kepadamu tanah yang tidak kamu kerjakan dengan bersusah payah dan kota-kota yang tidak kamu dirikan, lalu kamu tinggal di dalamnya. Kamu makan dari kebun-kebun anggur dan kebun-kebun zaitun yang tidak kamu tanam. Oleh itu, takutlah kepada TUHAN dan beribadatlah kepada-Nya dalam ketulusan dan kesetiaan. Singkirkanlah segala tuhan berhala yang disembah nenek moyangmu di seberang Sungai Efrat dan juga di Mesir, dan beribadatlah kepada TUHAN. Jika menurutmu tidak baik beribadat kepada TUHAN, pilihlah hari ini kepada siapa kamu akan beribadat: Apakah kepada tuhan-tuhan yang disembah nenek moyangmu di seberang Sungai Efrat atau kepada tuhan-tuhan bani Amori yang negeri mereka sekarang kamu huni? Tetapi kami, iaitu aku dan keluargaku, akan beribadat kepada TUHAN!’ ” Jawab bangsa itu, “Kami tidak akan sekali-kali meninggalkan TUHAN untuk beribadat kepada tuhan-tuhan lain! TUHAN, Allah kita, Dialah yang telah memimpin kita dan nenek moyang kita keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan. Dialah yang telah mengadakan tanda-tanda yang besar di hadapan mata kita dan yang telah memelihara kita di sepanjang jalan yang kita tempuh serta di antara segala bangsa yang kita lalui. TUHAN mengusir dari hadapan kita segala bangsa, iaitu bani Amori yang tinggal di negeri ini. Oleh sebab itu kami juga akan beribadat kepada TUHAN, kerana Dialah Allah kami.” Kata Yosua kepada bangsa itu, “Kamu tidak sanggup beribadat kepada TUHAN, kerana Dialah Allah yang kudus. Dia Allah yang cemburu. Dia tidak akan mengampunkan pelanggaranmu atau dosa-dosamu. Apabila kamu meninggalkan TUHAN dan beribadat kepada tuhan bangsa asing, maka Dia akan berpaling menentang kamu dan mendatangkan malapetaka kepadamu, serta menghapuskan kamu, setelah Dia berbuat baik kepadamu.” Kata bangsa itu kepada Yosua, “Tidak, kami akan beribadat kepada TUHAN sahaja.” Maka kata Yosua kepada bangsa itu, “Kamu menjadi saksi bagi dirimu sendiri bahawa kamu telah memilih TUHAN untuk beribadat kepada-Nya.” Jawab mereka, “Kamilah saksi.” Kata Yosua, “Sekarang, singkirkanlah segala tuhan bangsa asing yang ada antara kamu dan palingkan hatimu agar sepenuhnya berpusat kepada TUHAN, Allah Israel sahaja.” Kata bangsa itu kepada Yosua, “Kami akan beribadat kepada TUHAN, Allah kita, dan mematuhi-Nya.” Demikianlah pada hari itu Yosua mengikat perjanjian dengan bangsa itu serta membuat suatu ketetapan dan peraturan bagi mereka di Sikhem. Yosua menulis hal-hal itu dalam kitab yang berisi hukum Allah, lalu mengambil sebuah batu besar dan mendirikannya di situ, di bawah pokok oak, di tempat suci TUHAN. Kata Yosua kepada seluruh bangsa itu, “Lihat, batu ini menjadi saksi terhadap kita, kerana telah mendengar segala firman yang disampaikan TUHAN kepada kita. Batu ini akan menjadi saksi terhadap kamu, supaya kamu tidak mengingkari Allahmu.” Sesudah itu Yosua melepaskan bangsa itu pergi ke tanah pusaka milik masing-masing.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami