Yosua 24:13-28

Yosua 24:13-28 AVB

Aku mengurniakan kepadamu tanah yang tidak kamu kerjakan dengan bersusah payah dan kota-kota yang tidak kamu dirikan, lalu kamu tinggal di dalamnya. Kamu makan dari kebun-kebun anggur dan kebun-kebun zaitun yang tidak kamu tanam. Oleh itu, takutlah kepada TUHAN dan beribadatlah kepada-Nya dalam ketulusan dan kesetiaan. Singkirkanlah segala tuhan berhala yang disembah nenek moyangmu di seberang Sungai Efrat dan juga di Mesir, dan beribadatlah kepada TUHAN. Jika menurutmu tidak baik beribadat kepada TUHAN, pilihlah hari ini kepada siapa kamu akan beribadat: Apakah kepada tuhan-tuhan yang disembah nenek moyangmu di seberang Sungai Efrat atau kepada tuhan-tuhan bani Amori yang negeri mereka sekarang kamu huni? Tetapi kami, iaitu aku dan keluargaku, akan beribadat kepada TUHAN!’ ” Jawab bangsa itu, “Kami tidak akan sekali-kali meninggalkan TUHAN untuk beribadat kepada tuhan-tuhan lain! TUHAN, Allah kita, Dialah yang telah memimpin kita dan nenek moyang kita keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan. Dialah yang telah mengadakan tanda-tanda yang besar di hadapan mata kita dan yang telah memelihara kita di sepanjang jalan yang kita tempuh serta di antara segala bangsa yang kita lalui. TUHAN mengusir dari hadapan kita segala bangsa, iaitu bani Amori yang tinggal di negeri ini. Oleh sebab itu kami juga akan beribadat kepada TUHAN, kerana Dialah Allah kami.” Kata Yosua kepada bangsa itu, “Kamu tidak sanggup beribadat kepada TUHAN, kerana Dialah Allah yang kudus. Dia Allah yang cemburu. Dia tidak akan mengampunkan pelanggaranmu atau dosa-dosamu. Apabila kamu meninggalkan TUHAN dan beribadat kepada tuhan bangsa asing, maka Dia akan berpaling menentang kamu dan mendatangkan malapetaka kepadamu, serta menghapuskan kamu, setelah Dia berbuat baik kepadamu.” Kata bangsa itu kepada Yosua, “Tidak, kami akan beribadat kepada TUHAN sahaja.” Maka kata Yosua kepada bangsa itu, “Kamu menjadi saksi bagi dirimu sendiri bahawa kamu telah memilih TUHAN untuk beribadat kepada-Nya.” Jawab mereka, “Kamilah saksi.” Kata Yosua, “Sekarang, singkirkanlah segala tuhan bangsa asing yang ada antara kamu dan palingkan hatimu agar sepenuhnya berpusat kepada TUHAN, Allah Israel sahaja.” Kata bangsa itu kepada Yosua, “Kami akan beribadat kepada TUHAN, Allah kita, dan mematuhi-Nya.” Demikianlah pada hari itu Yosua mengikat perjanjian dengan bangsa itu serta membuat suatu ketetapan dan peraturan bagi mereka di Sikhem. Yosua menulis hal-hal itu dalam kitab yang berisi hukum Allah, lalu mengambil sebuah batu besar dan mendirikannya di situ, di bawah pokok oak, di tempat suci TUHAN. Kata Yosua kepada seluruh bangsa itu, “Lihat, batu ini menjadi saksi terhadap kita, kerana telah mendengar segala firman yang disampaikan TUHAN kepada kita. Batu ini akan menjadi saksi terhadap kamu, supaya kamu tidak mengingkari Allahmu.” Sesudah itu Yosua melepaskan bangsa itu pergi ke tanah pusaka milik masing-masing.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Yosua 24:13-28

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami