YOSUA 24
24
Yosua Berucap kepada Umat Israel di Sikhem
1Yosua mengumpulkan semua suku Israel di Sikhem. Dia memanggil para pemuka, pemimpin, hakim, dan pegawai Israel, lalu mereka berkumpul di hadapan Allah. 2 Yosua berkata kepada semua orang itu, “Dengarlah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Dahulu kala nenek moyang kamu tinggal di seberang Sungai Efrat dan mereka menyembah dewa-dewa. Salah seorang daripada mereka ialah Terah, bapa Abraham dan Nahor. 3 Kemudian Aku membawa Abraham, nenek moyang kamu itu, dari tanah di seberang Sungai Efrat dan memimpin dia menjelajah seluruh tanah Kanaan. Aku memberi dia banyak keturunan. Aku memberi dia Ishak, 4 lalu kepada Ishak Aku berikan dua orang anak, iaitu Yakub dan Esau. Aku memberi Esau perbukitan Edom sebagai tanah miliknya, tetapi Yakub, iaitu nenek moyang kamu dan anak-anaknya pergi ke Mesir. 5 Kemudian Aku mengutus Musa serta Harun, dan Aku mendatangkan bencana besar ke atas Mesir, tetapi Aku memimpin kamu keluar dari tempat itu. 6Aku membawa nenek moyang kamu keluar dari Mesir. Orang Mesir mengejar mereka dengan kereta kuda dan tentera berkuda. Tetapi apabila nenek moyang kamu tiba di Laut Gelagah, 7 mereka berseru kepada-Ku minta tolong; Aku mendatangkan kegelapan di antara mereka dan orang Mesir. Aku menutupi orang Mesir dengan air laut sehingga mereka mati lemas. Kamu tahu apa yang Aku lakukan terhadap Mesir.
Lama sekali kamu tinggal di gurun. 8 Kemudian Aku membawa kamu ke tanah orang Amori yang tinggal di sebelah timur Sungai Yordan. Mereka berperang melawan kamu, tetapi Aku memberi kamu kemenangan atas mereka. Kamu merebut tanah mereka dan Aku membinasakan mereka apabila kamu menyerang mereka. 9Selepas itu, penguasa Moab, Raja Balak anak Zipor, berperang melawan Israel. Raja Balak mengutus orang kepada Bileam anak Beor dan meminta dia mengutuk kamu. 10 Tetapi Aku tidak mengabulkan permintaan Bileam. Sebaliknya, dia memberkati kamu; Aku menyelamatkan kamu daripada Raja Balak. 11 Kamu menyeberang Sungai Yordan dan tiba di kota Yerikho. Penduduk Yerikho berperang melawan kamu; demikian juga orang Amori, Feris, Kanaan, Het, Girgasi, Hewi, dan Yebusi. Tetapi Aku memberi kamu kemenangan atas mereka semua. 12 Apabila kamu menyerang mereka, Aku mengacau-bilaukan mereka untuk mengusir dua orang raja Amori itu. Pedang dan panah kamu tidak menyebabkan kamu menang. 13 Aku memberi kamu negeri yang tidak kamu usahakan dan kota-kota yang tidak kamu bina. Sekarang kamu tinggal di negeri itu dan makan buah anggur dan zaitun dari pokok-pokok yang tidak kamu tanam.’ ”
14“Oleh itu,” kata Yosua, “hormatilah TUHAN dan mengabdilah kepada-Nya dengan ikhlas dan setia. Buanglah tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesopotamia dan di Mesir dahulu. Mengabdilah kepada TUHAN sahaja. 15Jika kamu tidak mahu mengabdi kepada-Nya, tentukanlah sekarang kepada siapa kamu hendak mengabdi, kepada tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesopotamia, atau kepada tuhan-tuhan orang Amori di negeri yang kamu tinggal sekarang. Tetapi bagi aku dan keluargaku, kami hendak mengabdi kepada TUHAN.”
16Umat Israel menjawab, “Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan TUHAN untuk mengabdi kepada tuhan-tuhan lain! 17TUHAN, Allah kita telah melepaskan nenek moyang kita dan kita sendiri daripada perhambaan di Mesir, dan kita telah menyaksikan mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya. Dia telah melindungi kita dalam semua perjalanan kita melalui negeri-negeri asing. 18Ketika kita menyerang negeri ini, TUHAN mengusir semua orang Amori yang tinggal di sini. Oleh itu, kami juga akan mengabdi kepada TUHAN; Dialah Allah kita.”
19Kemudian Yosua berkata kepada umat itu, “Tetapi mungkin kamu tidak akan sanggup mengabdi kepada TUHAN. Dia Allah yang suci, dan Dia tidak akan mengampunkan dosa kamu. Dia tidak mahu ada saingan. 20Jika kamu meninggalkan Dia lalu mengabdi kepada tuhan-tuhan bangsa asing, Dia akan menentang kamu dan menghukum kamu. Dia akan membinasakan kamu, walaupun dahulu Dia baik terhadap kamu.”
21Umat itu menjawab, “Tidak. Kami akan tetap mengabdi kepada TUHAN.”
22Yosua berkata kepada mereka, “Kamu menjadi saksi kamu sendiri bahawa kamu telah memilih untuk mengabdi kepada TUHAN.”
Mereka menjawab, “Ya. Kami menjadi saksi.”
23Yosua berkata lagi, “Jika demikian, buanglah tuhan-tuhan bangsa asing yang ada pada kamu dan berjanjilah untuk setia kepada TUHAN, Allah Israel.”
24Kemudian umat itu berkata kepada Yosua, “Kami akan mengabdi kepada TUHAN, Allah kita. Kami akan mematuhi perintah-Nya.”
25Maka pada hari itu, Yosua membuat satu perjanjian untuk umat itu di Sikhem. Dia memberi mereka hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. 26Yosua menuliskan perintah-perintah itu di dalam Kitab Taurat Allah. Kemudian Yosua mengambil sebuah batu yang besar dan menegakkannya di bawah pokok oak di tempat yang khusus untuk TUHAN. 27Yosua berkata kepada semua orang itu, “Batu ini saksi kita. Batu ini telah mendengar segala firman TUHAN kepada kita. Oleh itu batu ini menjadi saksi terhadap kamu untuk mengingatkan kamu supaya tidak melawan Allah kamu.” 28Selepas itu Yosua menyuruh umat itu pulang, lalu masing-masing balik ke wilayah sendiri.
Yosua dan Eleazar Meninggal
29Kemudian Yosua anak Nun, hamba TUHAN itu meninggal; dia berumur 110 tahun. 30Yosua dikebumikan di tanahnya di Timnat-Serah, di perbukitan Efraim, di sebelah utara Gunung Gaas.
31Selama Yosua hidup, umat Israel mengabdi kepada TUHAN. Setelah Yosua meninggal dan selama hayat para pemimpin yang melihat segala perbuatan TUHAN untuk Israel, umat itu tetap mengabdi kepada TUHAN.
32Jenazah Yusuf yang dibawa oleh umat Israel dari Mesir, dikebumikan di Sikhem, di tanah yang dibeli oleh Yakub daripada anak-anak Hemor, bapa Sikhem, dengan harga seratus keping wang perak. Tanah itu diwarisi oleh keturunan Yusuf.
33Eleazar anak Harun meninggal, lalu dikebumikan di Gibea, kota di perbukitan Efraim yang telah diberikan kepada anaknya, Pinehas.
Terpilih Sekarang Ini:
YOSUA 24: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.