YOEL 2:12-32

YOEL 2:12-32 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN berfirman, “Tetapi sekarang bertaubatlah dengan sungguh-sungguh dan kembalilah kepada-Ku dengan berpuasa, menangis, dan meratap. Biarlah hati kamu yang hancur itu menyatakan penyesalan, jangan hanya mengoyakkan pakaian.” Kembalilah kepada TUHAN Allah kamu. Dia penyayang dan penuh rahmat; Dia sabar dan menepati janji-Nya; Dia sentiasa sedia mengampuni dan tidak suka menghukum. Mungkin TUHAN Allah kamu akan mengubah fikiran-Nya, lalu memberkati kamu dengan hasil bumi yang banyak. Oleh itu kamu dapat mempersembahkan gandum dan wain kepada-Nya. Tiuplah trompet di Bukit Sion; berikanlah perintah untuk berpuasa, dan adakanlah satu perhimpunan. Kumpulkanlah segenap rakyat, siapkanlah mereka untuk perhimpunan umat, bawalah orang tua, kumpulkanlah anak-anak dan bayi-bayi juga. Pasangan yang baru berkahwin pun mesti meninggalkan bilik, lalu datang. Para imam yang mengabdi kepada TUHAN di antara mazbah dan pintu Rumah TUHAN, mesti menangis dan berdoa demikian, “Kasihanilah umat-Mu, ya TUHAN. Jangan biar bangsa lain menghina dan mengolok-olok kami dengan berkata, ‘Di manakah Allah kamu?’ ” Kemudian TUHAN menunjukkan bahawa Dia mengambil berat tentang tanah-Nya; Dia mengasihani umat-Nya. Dia menjawab mereka, “Sekarang Aku hendak memberi kamu gandum, wain, dan minyak zaitun, lalu kamu akan dikenyangkan. Bangsa-bangsa lain tidak akan menghina kamu lagi. Aku akan menjauhkan pasukan belalang yang datang dari utara. Aku akan mengusir sebilangan daripada pasukan itu ke padang gurun. Barisan hadapan pasukan itu akan dihalau sampai tenggelam di Laut Mati, dan barisan belakang tenggelam di Laut Tengah. Belalang yang mati akan menjadi busuk. Aku akan membinasakan pasukan itu kerana segala perbuatannya terhadap kamu. Hai ladang, jangan takut; bersukacitalah dan bergembiralah, kerana perkara besar yang dilakukan TUHAN untukmu. Hai binatang, jangan takut; kerana padang rumput kini hijau, pokok mengeluarkan buah, dan buah ara serta buah anggur pun banyak. Bersukacitalah, hai penduduk Sion, bergembiralah kerana apa yang telah dilakukan TUHAN, Allah kamu bagi kamu; Dia telah memberikan hujan yang cukup pada musim luruh, Dia telah menurunkan hujan pada musim sejuk dan hujan pada musim bunga seperti dahulu. Tempat mengirik gandum akan penuh dengan gandum, dan tempat memeras buah anggur akan berkelimpahan dengan wain dan minyak zaitun. Aku akan mengganti segala kerugian kamu pada tahun-tahun ketika belalang makan hasil tanaman kamu. Akulah yang menyuruh kawanan belalang itu menyusahkan kamu. Tetapi sekarang kamu akan mempunyai cukup makanan sehingga kenyang. Kamu akan memuji TUHAN, Allah kamu, Dia telah melakukan perbuatan ajaib bagi kamu. Umat-Ku tidak sekali-kali akan dihina lagi. Oleh itu, hai Israel, kamu akan tahu bahawa Aku ada di tengah-tengah kamu, dan bahawa Aku, TUHAN ialah Allah kamu, dan tiada lagi yang lain. Umat-Ku tidak sekali-kali akan dihina lagi.” “Kemudian Aku akan mencurahkan Roh-Ku kepada semua orang: anak lelaki dan anak perempuan kamu akan mengisytiharkan perkhabaran-Ku; orang tua kamu akan bermimpi, dan orang muda kamu akan nampak penglihatan. Pada masa itu Aku akan mencurahkan roh-Ku bahkan kepada hamba-hamba, baik lelaki mahupun perempuan. Aku akan memberikan petanda hari itu, di langit dan di bumi; akan ada pertumpahan darah, api dan gumpalan asap. Sebelum Hari TUHAN yang dahsyat dan mengerikan itu tiba, matahari akan menjadi gelap, dan bulan akan menjadi merah seperti darah. Tetapi semua orang yang meminta pertolongan TUHAN akan diselamatkan. Sebagaimana TUHAN telah berfirman, ‘Sebilangan orang di Yerusalem akan terselamat; mereka yang Aku pilih akan hidup.’ ”

YOEL 2:12-32 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Sekarang juga,” demikianlah firman TUHAN, “kembalilah kepada-Ku dengan seluruh hatimu, dengan berpuasa, dengan menangis, dan dengan meratap.” Koyakkanlah hatimu, bukan pakaianmu, dan kembalilah kepada TUHAN, Allahmu, kerana Dia pengasih dan penyayang, panjang sabar dan melimpah-ruah kasih-Nya, dan sentiasa mengampuni dan tidak suka menghukum. Siapa tahu Dia sudi berpaling dan berbelas kasihan, serta meninggalkan berkat, iaitu persembahan bahan makanan dan persembahan minuman bagi TUHAN, Allahmu. Tiuplah nafiri di Sion, laksanakanlah puasa yang suci, adakan perhimpunan jemaah yang suci. Kumpulkanlah umat, sucikanlah jemaah itu. Himpunkanlah para tua-tua, kumpulkanlah kanak-kanak bahkan juga anak-anak yang menyusu. Biarlah pengantin lelaki keluar dari biliknya dan pengantin perempuan dari bilik tidurnya. Biarlah para imam, iaitu para petugas TUHAN, menangis di antara serambi dengan mazbah, serta berkata, “Ya TUHAN, sayangilah umat-Mu. Janganlah menjadikan harta pusaka-Mu suatu celaan, suatu ibarat di antara bangsa. Mengapakah orang harus berkata antara suku-suku bangsa, ‘Di manakah Allah mereka?’ ” Maka TUHAN menjadi cemburu kerana tanah-Nya lalu berbelas kasihan kepada umat-Nya. TUHAN menjawab dan berfirman kepada umat-Nya, “Sesungguhnya, Aku akan mengirimkan kepadamu gandum, air anggur, dan minyak, sehingga kamu akan kenyang dengan semuanya itu. Aku tidak akan lagi menjadikan kamu suatu celaan antara bangsa-bangsa. Tentera dari utara itu akan Kujauhkan daripadamu dan akan Kuhalaukan ke tanah yang gersang dan sunyi sepi, barisan depannya ke Laut Timur dan barisan belakangnya ke Laut Barat. Bau busuknya dan bau hanyirnya akan naik, sebab dia telah melakukan hal-hal yang besar. Jangan takut, wahai tanah, bergembiralah dan bersukacitalah, kerana TUHAN telah melakukan hal yang besar. Jangan takut, wahai binatang-binatang liar, kerana padang-padang rumput di gurun telah bersemi. Pokok menghasilkan buahnya, pokok ara dan pokok anggur memberikan kekayaannya. Wahai bani Sion, bergembiralah dan bersukacitalah kerana TUHAN, Allahmu, kerana Dia mengurniakan kepadamu hujan awal musim dengan adilnya. Dia menurunkan hujan bagimu, hujan awal musim ataupun hujan akhir musim seperti dahulu. Tempat-tempat pembantingan tuaian akan dipenuhi gandum, tempat-tempat pemerasan akan berkelimpahan air anggur dan minyak. Aku akan memulihkan bagimu tahun-tahun yang dilahap oleh belalang besar, belalang pelahap, belalang pemusnah, dan belalang pengerat, iaitu pasukan-Ku yang besar, yang telah Kukirimkan kepada kalangan kamu. Kamu akan makan banyak-banyak sampai kenyang dan memuji nama TUHAN, Allahmu, yang telah melakukan keajaiban untukmu. Umat-Ku tidak akan malu lagi untuk selama-lamanya. Kamu akan mengetahui bahawa Aku hadir di tengah-tengah Israel, bahawa Akulah TUHAN, Allahmu, dan tidak ada yang lain. Umat-Ku tidak akan malu lagi untuk selama-lamanya.” Setelah itu, akan berlaku, bahawa Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua manusia, sehingga anakmu lelaki perempuan akan bernubuat, orang tuamu akan bermimpi, dan orang mudamu akan melihat penglihatan. Juga ke atas hamba-Ku lelaki perempuan, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ketika itu. Aku akan menunjukkan keajaiban di langit dan di bumi, darah dan api, serta kepulan-kepulan asap. Matahari akan menjadi gelap dan bulan menjadi seperti darah sebelum tiba hari TUHAN yang besar dan dahsyat itu. Maka akan terjadi kelak, semua orang yang menyeru nama TUHAN akan diselamatkan. Di Gunung Sion dan di Yerusalem akan ada orang yang terselamat, seperti yang telah difirmankan TUHAN, dan dalam kalangan yang tertinggal itu akan ada mereka yang dipanggil TUHAN.

YOEL 2:12-32

YOEL 2:12-32 BMYOEL 2:12-32 BM