“Sekarang juga,” demikianlah firman TUHAN,
“kembalilah kepada-Ku dengan seluruh hatimu,
dengan berpuasa, dengan menangis, dan dengan meratap.”
Koyakkanlah hatimu, bukan pakaianmu,
dan kembalilah kepada TUHAN, Allahmu,
kerana Dia pengasih dan penyayang,
panjang sabar dan melimpah-ruah kasih-Nya,
dan sentiasa mengampuni dan tidak suka menghukum.
Siapa tahu Dia sudi berpaling dan berbelas kasihan, serta meninggalkan berkat,
iaitu persembahan bahan makanan dan persembahan minuman
bagi TUHAN, Allahmu.
Tiuplah nafiri di Sion, laksanakanlah puasa yang suci,
adakan perhimpunan jemaah yang suci.
Kumpulkanlah umat,
sucikanlah jemaah itu.
Himpunkanlah para tua-tua,
kumpulkanlah kanak-kanak
bahkan juga anak-anak yang menyusu.
Biarlah pengantin lelaki keluar dari biliknya
dan pengantin perempuan dari bilik tidurnya.
Biarlah para imam, iaitu para petugas TUHAN,
menangis di antara serambi dengan mazbah,
serta berkata, “Ya TUHAN, sayangilah umat-Mu.
Janganlah menjadikan harta pusaka-Mu suatu celaan,
suatu ibarat di antara bangsa.
Mengapakah orang harus berkata antara suku-suku bangsa,
‘Di manakah Allah mereka?’ ”
Maka TUHAN menjadi cemburu
kerana tanah-Nya lalu berbelas kasihan kepada umat-Nya.
TUHAN menjawab dan berfirman kepada umat-Nya,
“Sesungguhnya, Aku akan mengirimkan kepadamu gandum, air anggur, dan minyak,
sehingga kamu akan kenyang dengan semuanya itu.
Aku tidak akan lagi menjadikan kamu
suatu celaan antara bangsa-bangsa.
Tentera dari utara itu akan Kujauhkan daripadamu
dan akan Kuhalaukan ke tanah yang gersang dan sunyi sepi,
barisan depannya ke Laut Timur
dan barisan belakangnya ke Laut Barat.
Bau busuknya dan bau hanyirnya akan naik,
sebab dia telah melakukan hal-hal yang besar.
Jangan takut, wahai tanah, bergembiralah dan bersukacitalah,
kerana TUHAN telah melakukan hal yang besar.
Jangan takut, wahai binatang-binatang liar,
kerana padang-padang rumput di gurun telah bersemi.
Pokok menghasilkan buahnya,
pokok ara dan pokok anggur memberikan kekayaannya.
Wahai bani Sion, bergembiralah
dan bersukacitalah kerana TUHAN, Allahmu,
kerana Dia mengurniakan kepadamu
hujan awal musim dengan adilnya.
Dia menurunkan hujan bagimu,
hujan awal musim ataupun
hujan akhir musim seperti dahulu.
Tempat-tempat pembantingan tuaian akan dipenuhi gandum,
tempat-tempat pemerasan akan berkelimpahan air anggur dan minyak.
Aku akan memulihkan bagimu tahun-tahun yang dilahap oleh belalang besar,
belalang pelahap, belalang pemusnah, dan belalang pengerat,
iaitu pasukan-Ku yang besar,
yang telah Kukirimkan kepada kalangan kamu.
Kamu akan makan banyak-banyak sampai kenyang
dan memuji nama TUHAN, Allahmu,
yang telah melakukan keajaiban untukmu.
Umat-Ku tidak akan malu lagi untuk selama-lamanya.
Kamu akan mengetahui bahawa Aku hadir di tengah-tengah Israel,
bahawa Akulah TUHAN, Allahmu, dan tidak ada yang lain.
Umat-Ku tidak akan malu lagi untuk selama-lamanya.”
Setelah itu, akan berlaku,
bahawa Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua manusia,
sehingga anakmu lelaki perempuan akan bernubuat,
orang tuamu akan bermimpi,
dan orang mudamu akan melihat penglihatan.
Juga ke atas hamba-Ku lelaki perempuan,
Aku akan mencurahkan Roh-Ku ketika itu.
Aku akan menunjukkan keajaiban di langit dan di bumi, darah dan api, serta kepulan-kepulan asap. Matahari akan menjadi gelap dan bulan menjadi seperti darah sebelum tiba hari TUHAN yang besar dan dahsyat itu. Maka akan terjadi kelak, semua orang yang menyeru nama TUHAN akan diselamatkan. Di Gunung Sion dan di Yerusalem akan ada orang yang terselamat, seperti yang telah difirmankan TUHAN, dan dalam kalangan yang tertinggal itu akan ada mereka yang dipanggil TUHAN.