AYUB 28:1-28

AYUB 28:1-28 Alkitab Berita Baik (BM)

Ada lombong-lombong tempat perak ditemukan, ada tempat-tempat emas dibersihkan. Besi digali dari dalam tanah, dan batu dileburkan untuk mendapatkan tembaga. Gelap gelita ditembusi, tempat yang paling dalam diselidiki. Di situ, di dalam kegelapan, orang mencari batu-batan. Jauh di tempat yang tidak berpenghuni, yang belum pernah dijalani dan dilalui, orang bekerja sambil bergantung pada tali, di dalam terowong yang sunyi sepi. Tanah menghasilkan makanan untuk manusia, tetapi di bawah tanah itu, segalanya pecah berderai-derai. Batu-batu bumi mengandungi nilam, dan debu bumi mengandungi emas. Burung helang tidak nampak jalan ke lombong itu, burung nasar tidak pernah terbang di situ. Binatang buas tidak pernah menjejak jalan itu. Singa pun tidak pernah melalui jalan yang sunyi itu. Orang menggali batu-batan yang keras sekali, dasar gunung pun digali. Sedang mereka menembusi gunung batu, mereka menjumpai permata yang sangat bermutu. Sampai ke sumber sungai mereka menggali, dan menyatakan apa yang tersembunyi. Tetapi di manakah hikmat dapat dicari? Di manakah kita dapat belajar agar mengerti? Hikmat tidak didapati di kalangan manusia; tiada sesiapa yang tahu akan nilai yang sebenarnya. Lautan dan samudera mengatakan hikmat tidak terdapat di sana. Hikmat tidak dapat ditukar dengan emas murni, dan dengan perak pun tidak dapat dibeli. Emas dan permata yang paling berharga tidak dapat mengimbangi nilainya. Nilainya lebih daripada emas, dan daripada jambangan kencana ataupun kristal. Hikmat lebih tinggi nilainya daripada batu karang, hablur, atau mutiara. Batu topaz dan emas tulen tidak dapat dibandingkan dengan nilai hikmat. Di manakah sumber hikmat? Di manakah kita dapat pengertian? Tiada makhluk hidup yang pernah melihatnya, bahkan burung di udara pun tidak pernah nampaknya. Maut dan kemusnahan pun berkata bahawa yang didengar khabar angin sahaja. Allah sahaja yang mengetahui jalan ke sana, ke tempat hikmat berada, kerana Dia melihat sampai ke hujung bumi, melihat segala yang berada di bawah langit. Apabila Dia memberi angin kekuatan, dan keluasan laut ditentukan-Nya; apabila Allah menentukan tempat hujan turun, dan jalan yang dilalui kilat guruh; pada masa itulah hikmat dilihat-Nya dan nilai hikmat diuji-Nya, lalu diberikan restu-Nya. Allah berfirman kepada manusia, “Untuk mendapat hikmat, kamu mesti takut dan hormat kepada Tuhan. Untuk mendapat pengertian, kamu mesti meninggalkan kejahatan.”

AYUB 28:1-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Memang ada lombong-lombong perak dan tempat emas dimurnikan. Besi digali dari dalam tanah dan tembaga dilebur dari dalam batu. Orang mengakhiri kegelapan. Dia mencari batu-batuan sampai ke setiap hujung, di dalam kekelaman dan bayang-bayang maut. Jauh dari kediaman manusia, orang membuka lubang tambang; mereka dilupakan oleh para pejalan kaki, mereka turun jauh daripada manusia, mereka terayun-ayun. Bumi, yang mengeluarkan makanan, dibongkar bahagian bawahnya seakan-akan dimakan api. Batu-batuannya ialah tempat batu nilam, yang mengandung emas urai. Laluan ke situ tidak diketahui oleh burung pemangsa, mata burung lang pun belum pernah melihatnya. Binatang yang gagah tidak berjalan di situ, singa pun belum pernah melaluinya. Orang menghulurkan tangannya kepada batu api, membongkar pergunungan sampai ke akar-akarnya. Dia menggali terowong di batuan pejal, lalu matanya mendapati segala benda berharga. Dia membendung sungai-sungai supaya tidak mengalir keluar, lalu menyingkapkan apa yang tersembunyi. Tetapi di manakah hikmah ditemukan, di manakah tempat terdapatnya pengertian? Manusia tidak tahu akan nilainya; ia tidak ditemukan di negeri orang hidup. Samudera berkata, ‘Ia tidak ada di dalamku,’ laut berkata, ‘Ia tidak bersama-samaku.’ Ia tidak dapat diperoleh dengan emas murni, dan harganya tidak dapat ditimbang dengan perak. Ia tidak dapat dinilai dengan emas Ofir, dengan batu permata unam yang berharga atau dengan batu nilam. Emas dan kaca tidak dapat disejajarkan dengannya, barang-barang daripada emas murni tidak dapat menggantikannya. Merjan atau hablur tidak boleh disebut-sebut; harga hikmah itu melebihi batu delima. Manikam kuning dari Ethiopia pun tidak dapat disejajarkan dengannya, ia tidak dapat dinilai dengan emas tulen. Jadi, dari manakah datangnya hikmah? Di manakah tempat tinggal pengertian? Ia terlindung daripada mata semua yang hidup, tersembunyi daripada burung-burung di udara. Tempat kebinasaan dan maut berkata, ‘Kami hanya mendengar desas-desusnya dengan telinga kami.’ Allah mengerti jalan ke situ. Dia tahu tentang tempat tinggalnya, kerana Dia memandang sampai ke hujung-hujung bumi dan melihat segala sesuatu di kolong langit. Ketika Dia memberikan angin kekuatan dan mengukur air dengan pengukur, ketika Dia membuat titah bagi hujan dan jalan bagi kilat guruh, pada saat itulah Dia melihat hikmah dan menyatakannya. Dia menetapkannya, bahkan menyelidikinya. Lalu kepada manusia Dia berfirman, ‘Sesungguhnya, takut kepada Tuhan, itulah hikmah, dan menjauhi kejahatan, itulah pengertian.’ ”