“Memang ada lombong-lombong perak
dan tempat emas dimurnikan.
Besi digali dari dalam tanah
dan tembaga dilebur dari dalam batu.
Orang mengakhiri kegelapan.
Dia mencari batu-batuan sampai ke setiap hujung,
di dalam kekelaman dan bayang-bayang maut.
Jauh dari kediaman manusia, orang membuka lubang tambang;
mereka dilupakan oleh para pejalan kaki,
mereka turun jauh daripada manusia, mereka terayun-ayun.
Bumi, yang mengeluarkan makanan,
dibongkar bahagian bawahnya seakan-akan dimakan api.
Batu-batuannya ialah tempat batu nilam,
yang mengandung emas urai.
Laluan ke situ tidak diketahui oleh burung pemangsa,
mata burung lang pun belum pernah melihatnya.
Binatang yang gagah tidak berjalan di situ,
singa pun belum pernah melaluinya.
Orang menghulurkan tangannya kepada batu api,
membongkar pergunungan sampai ke akar-akarnya.
Dia menggali terowong di batuan pejal,
lalu matanya mendapati segala benda berharga.
Dia membendung sungai-sungai supaya tidak mengalir keluar,
lalu menyingkapkan apa yang tersembunyi.
Tetapi di manakah hikmah ditemukan,
di manakah tempat terdapatnya pengertian?
Manusia tidak tahu akan nilainya;
ia tidak ditemukan di negeri orang hidup.
Samudera berkata, ‘Ia tidak ada di dalamku,’
laut berkata, ‘Ia tidak bersama-samaku.’
Ia tidak dapat diperoleh dengan emas murni,
dan harganya tidak dapat ditimbang dengan perak.
Ia tidak dapat dinilai dengan emas Ofir,
dengan batu permata unam yang berharga atau dengan batu nilam.
Emas dan kaca tidak dapat disejajarkan dengannya,
barang-barang daripada emas murni tidak dapat menggantikannya.
Merjan atau hablur tidak boleh disebut-sebut;
harga hikmah itu melebihi batu delima.
Manikam kuning dari Ethiopia pun tidak dapat disejajarkan dengannya,
ia tidak dapat dinilai dengan emas tulen.
Jadi, dari manakah datangnya hikmah?
Di manakah tempat tinggal pengertian?
Ia terlindung daripada mata semua yang hidup,
tersembunyi daripada burung-burung di udara.
Tempat kebinasaan dan maut berkata,
‘Kami hanya mendengar desas-desusnya dengan telinga kami.’
Allah mengerti jalan ke situ.
Dia tahu tentang tempat tinggalnya,
kerana Dia memandang sampai ke hujung-hujung bumi
dan melihat segala sesuatu di kolong langit.
Ketika Dia memberikan angin kekuatan
dan mengukur air dengan pengukur,
ketika Dia membuat titah bagi hujan
dan jalan bagi kilat guruh,
pada saat itulah Dia melihat hikmah dan menyatakannya.
Dia menetapkannya, bahkan menyelidikinya.
Lalu kepada manusia Dia berfirman,
‘Sesungguhnya, takut kepada Tuhan, itulah hikmah,
dan menjauhi kejahatan, itulah pengertian.’ ”