YOHANES 6:47-59

YOHANES 6:47-59 Alkitab Berita Baik (BM)

Apa yang Aku katakan ini benar: Orang yang percaya kepada-Ku mempunyai hidup sejati dan kekal. Akulah roti yang memberikan hidup. Nenek moyang kamu makan manna di padang gurun, dan mereka mati juga. Tetapi tidak demikian halnya dengan roti yang turun dari syurga; orang yang makan roti itu tidak akan mati. Akulah roti yang memberikan hidup, roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya. Roti yang akan Aku berikan itu tubuh-Ku. Aku memberikannya supaya orang di dunia ini boleh hidup.” Mendengar kata-kata ini, orang Yahudi mula bertengkar sesama sendiri. “Bagaimanakah orang ini boleh memberikan tubuhnya kepada kita untuk dimakan?” kata mereka. Yesus berkata kepada mereka, “Apa yang Aku katakan ini benar: Jika kamu tidak makan tubuh Anak Manusia dan minum darah-Nya, kamu tidak akan benar-benar hidup. Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mempunyai hidup sejati dan kekal, lalu Aku akan membangkitkan dia pada Hari Kiamat. Tubuh-Ku ini makanan sebenar dan darah-Ku ini minuman sebenar. Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, hidup bersatu dengan Aku dan Aku dengan dia. Bapa yang hidup mengutus Aku; dan Aku hidup, kerana Dia hidup. Begitu juga orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku. Inilah roti yang turun dari syurga; roti ini bukan seperti roti yang dimakan nenek moyang kamu, kerana setelah memakannya mereka mati juga. Tetapi orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya.” Semuanya ini dikatakan oleh Yesus semasa Dia mengajar di rumah ibadat di Kapernaum.

YOHANES 6:47-59 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Bahwa sungguh sungguh aku bŭrkata padamu, maka orang yang pŭrchaya akan daku, iyalah sudah bŭrulih hidop kŭkal. Aku inilah roti hidop itu. Adapun nenek moyang kamu tŭlah mŭmakan manna dalam padang bŭlantara, tŭtapi marika itu sudah mati. Maka inilah roti yang tŭlah turon deri shorga, supaya orang bulih makan roti itu, maka tiada mati. Bahwa aku inilah roti yang mŭnghidopkan yang tŭlah turon deri shorga; maka jikalau barang sa’orang makan deripada roti ini, iya nanti hidop sampie slama lamanya; adapun roti yang kubri, iya itu dagingku, maka iya itu kuhandak bri kŭrna mŭnghidopkan isi dunia. Sŭbab itu maka bŭrbantahlah orang Yahudi sa’orang dŭngan sa’orang katanya, Bagimanakah orang ini bulih mŭmbri makan pada kami dagingnya? Sŭtlah itu bŭrkatalah Isa pada marika itu, Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata kapadamu, jikalau kamu tiada makan daging Anak manusia itu, dan minum darahnya itu, maka tiadalah hayat dalam dirimu. Adapun barang siapa yang makan dagingku, dan mŭminum darahku, maka iya tŭlah mŭndapat hidop kŭkal, dan aku akan mŭnghidopkan dia pada hari kumdian. Kŭrna dagingku itulah makanan sungguh sungguh, dan darahku itulah minuman sungguh sungguh. Maka barang siapa yang mŭmakan dagingku, dan mŭminum darahku itu, iya diam dalam aku, dan aku pun diam dalam dia. Maka spŭrti Ayah yang hidop tŭlah mŭnyurohkan aku, dan aku ini hidop deripada Ayah, maka dŭmkianlah adanya orang yang mŭmakan akan daku, iyalah kŭlak hidop deri padaku. Maka inilah dia roti itu yang tŭlah turon deri shorga, iya itu bukannya spŭrti nenek moyang kamu yang tŭlah mŭmakan manna, tŭtapi sudah mati, maka orang yang mŭmakan roti ini akan hidop sampie slama lamanya. Adapun sagala pŭrkara ini dikatakan ulih Isa dalam kŭnisa, tŭtkala iya mŭngajar diKapŭrnaum.

YOHANES 6:47-59 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, orang yang percaya mendapat hidup yang kekal. Akulah roti hidup. Nenek moyangmu makan manna di gurun, tetapi mereka mati juga. Inilah roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini tidak akan mati. Akulah roti hidup yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup kekal. Roti yang akan Kuberikan untuk hidup manusia di dunia ini ialah tubuh-Ku.” Orang Yahudi yang mendengar kata-kata ini mula bertengkar sesama sendiri, “Bagaimanakah mungkin orang ini memberikan tubuh-Nya untuk kita makan?” Yesus berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika kamu tidak makan tubuh Anak Manusia dan minum darah-Nya, kamu tidak mempunyai hidup dalam dirimu. Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mendapat hidup yang kekal, maka Aku akan membangkitkannya pada hari akhir. Tubuh-Ku inilah makanan yang sebenar. Darah-Ku inilah minuman yang sebenar. Apabila seorang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, maka dia tetap di dalam-Ku dan Aku di dalamnya. Seperti Bapa yang hidup mengutus Aku, dan Aku hidup kerana Bapa hidup. Demikianlah juga, orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku hidup. Inilah roti yang turun dari syurga, bukan seperti roti yang dimakan oleh nenek moyangmu, yang kemudiannya mati juga walaupun telah memakannya. Sebaliknya, sesiapa yang makan roti ini akan hidup kekal.” Demikianlah kata-kata Yesus ketika mengajar di saumaah di Kapernaum.