YOHANES 4:27-54

YOHANES 4:27-54 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada waktu itu, pengikut-pengikut Yesus kembali. Mereka hairan melihat Yesus bercakap dengan seorang wanita. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka bertanya kepada wanita itu, “Mahu apa?” atau bertanya kepada Yesus, “Mengapa Guru bercakap dengan wanita ini?” Kemudian wanita itu meninggalkan buyung airnya lalu balik ke bandar dan memberitahu orang di bandar. Dia berkata, “Marilah lihat orang yang memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan. Mungkinkah dia Penyelamat yang diutus oleh Allah?” Oleh itu penduduk di situ meninggalkan bandar lalu pergi kepada Yesus. Sementara itu pengikut-pengikut-Nya mengajak Yesus makan, “Guru, silalah makan!” Tetapi Yesus menjawab, “Aku mempunyai makanan yang tidak kamu ketahui.” Pengikut-pengikut-Nya mula bertanya sesama sendiri, “Adakah orang sudah membawa makanan untuk-Nya?” Yesus berkata, “Makanan-Ku itu melakukan kehendak Dia yang mengutus Aku, dan menyelesaikan pekerjaan yang diserahkan-Nya kepada-Ku. Kamu berkata, ‘Masih empat bulan lagi sebelum musim menuai.’ Tetapi Aku berkata kepada kamu, pandanglah ladang yang sudah menguning, siap untuk dituai! Orang yang menuai tuaian menerima upah serta mengumpulkan hasil untuk hidup sejati dan kekal. Oleh itu orang yang menabur benih dan orang yang menuai tuaian boleh bergembira bersama-sama. Benarlah pepatah ini: ‘Yang seorang menanam, yang lain menuai.’ Aku menyuruh kamu menuai tuaian di ladang yang tidak kamu usahakan; orang lain sudah bekerja di sana, dan sekarang kamu mendapat hasil pekerjaan mereka.” Banyak orang Samaria di bandar itu percaya kepada Yesus kerana wanita itu berkata, “Dia memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan.” Oleh itu, apabila semua orang Samaria ini berjumpa dengan Yesus, mereka memohon supaya Yesus tinggal bersama-sama mereka. Lalu Yesus tinggal di situ selama dua hari. Lebih banyak lagi orang percaya kepada Yesus kerana ajaran-Nya. Mereka berkata kepada wanita itu, “Kami sekarang percaya, bukan kerana apa yang kamu katakan kepada kami, tetapi kerana kami sendiri sudah mendengar Dia dan kami tahu bahawa Dia Penyelamat dunia.” Setelah Yesus tinggal di sana selama dua hari, Dia pergi ke Galilea. Yesus berkata, “Seorang nabi tidak dihormati di negerinya sendiri.” Apabila Dia tiba di Galilea, orang di sana menyambut Dia. Mereka telah melihat segala yang dilakukan-Nya di Yerusalem pada Perayaan Paska. Kemudian Yesus kembali ke Kana di Galilea, tempat Dia pernah mengubah air menjadi wain. Di situ ada seorang pegawai kerajaan; anak lelakinya sedang sakit di Kapernaum. Apabila dia mendengar bahawa Yesus telah datang ke Galilea dari Yudea, dia pergi menjumpai Yesus. Dia meminta Yesus pergi ke Kapernaum dan menyembuhkan anaknya yang hampir meninggal. Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Jika kamu semua tidak melihat mukjizat dan perkara yang luar biasa, kamu tidak percaya.” Pegawai itu menjawab, “Tuan, marilah pergi dengan saya sekarang, sebelum anak saya meninggal.” Lalu Yesus berkata, “Pergilah, anakmu akan sembuh.” Orang itu percaya kepada kata-kata Yesus lalu pergi. Dalam perjalanannya ke rumah, hamba-hamba orang itu menjumpai dia, dan berkata bahawa anak lelakinya sudah sembuh. Lalu pegawai itu bertanya pukul berapa anaknya mula sembuh. Mereka menjawab, “Kelmarin pada pukul satu petang demamnya hilang.” Bapa anak itu teringat bahawa pada masa itu Yesus berkata kepadanya, “Anakmu akan sembuh.” Lalu dia dan keluarganya percaya kepada Yesus. Inilah mukjizat kedua yang dilakukan oleh Yesus di Galilea setelah Dia datang dari Yudea.

YOHANES 4:27-54 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Hata maka datanglah murid muridnya pada kutika itu sŭrta hieran akan mŭlihat Isa bŭrkata kata dŭngan pŭrampuan itu, tŭtapi sa’orang pun deripada marika itu tiada kata, Apakah angkau kahandaki, atau mŭngapakah angkau bŭrtutor dŭngan pŭrampuan ini? Maka pŭrampuan itu pun mŭninggalkan buyongnya, lalu masok kŭdalam nŭgri, sŭrta bŭrkata kapada orang orang. Marilah lihat ada sa’orang orang yang tŭlah mŭngatakan kapada aku sagala pŭrkara yang tŭlah kupŭrbuat; bukankah ini Almasih? Sŭtlah itu maka kluarlah bŭbrapa orang deri dalam nŭgri itu datang mŭndapatkan Isa. ¶ Bŭrmula maka antara itu, adalah murid muridnya mŭminta kapadanya katanya, Guru makanlah. Maka jawab Isa kapadanya, Ada kapadaku rŭzki akan makananku yang tiada kamu kŭtahui. Sŭbab itu maka kata murid muridnya itu sa’orang dŭngan sa’orang, Adakah garangannya orang mŭmbawa akan apa apa makanan kapadanya? Maka kata Isa pada marika itu, Adapun rŭzkiku itu, iya itu akan bŭrbuat kahandak Allah yang tŭlah mŭnyurohkan aku, sŭrta mŭnyampornakan pŭkŭrjaannya. Bukankah kamu bŭrkata, Bahwa ampat bulan lagi bahru datang musim orang mŭnuwie? sŭsungguhnya aku bŭrkata padamu, angkatlah matamu, lihatlah pada ladang ladang itu, kŭrna sampie putehlah sudah pŭnuwieannya. Maka orang yang mŭnuwie itu mŭndapat upah, dan mŭngumpolkan buah buahan itu sampie kapada kahidopan yang kŭkal, supaya orang yang mŭnabor dan yang mŭnuwie itu pun bŭrsama sama tŭrmasalah. Maka inilah pŭrkataan yang bŭnar: iya itu, bahwa sa’orang mŭnabor, dan sa’orang lain mŭnuwie. Bahwa aku mŭnyurohkan kamu mŭnuwie pŭrkara yang tiada kamu pŭnat lŭlahkan dia, maka orang lain bŭrlŭlah, tŭtapi kamu tŭlah mŭndapat kŭlŭlahannya. ¶ Shahadan maka banyaklah orang Samaria dalam nŭgri itu pŭrchayalah akan Isa, sŭbab pŭrkataan pŭrampuan itu yang mŭnyatakan, Bahwa orang itu mŭngatakan padaku sagala pŭrkara yang tŭlah kupŭrbuat itu. Maka sŭbab itulah sŭtlah datang orang orang Samaria itu kapada Isa, maka dipinta supaya iya tinggal bŭrsama sama dŭngan dia orang. Maka tinggallah iya disana dua hari. Maka banyaklah pula orang yang lain pun pŭrchaya sŭbab mŭnŭngar pŭrkataan Isa sŭndiri. Maka bŭrkatalah marika itu kapada pŭrampuan itu, Adapun skarang kami pŭrchaya, bukannya sŭbab pŭrkataanmu, kŭrna kami sŭndiri tŭlah mŭnŭngar dan mŭngŭtahui, bahwa inilah sungguh sungguh Almasih itu, iya itu Pŭnulong orang isi dunia. ¶ Maka sŭtlah kumdian deripada dua hari, maka kluarlah Isa deri sana, lalu pŭrgilah kaGalilia. Kŭrna Isa sŭndiri tŭlah mŭngatakan, Adapun sa’orang nabi itu tiada mŭndapat hormat dalam nŭgrinya sŭndiri. Sŭtlah itu apabila sampielah iya kŭtanah Galilia, maka orang orang Galilia itu mŭnyambut akan dia, kŭrna marika itu tŭlah mŭlihat sagala pŭrkara yang dipŭrbuatnya diJŭrusalem pada tŭtkala hari raya itu, sŭbab marika itu pun ada pŭrgi pada hari raya itu. Arkian maka kumbalilah pula Isa kŭnŭgri Kaanan ditanah Galilia yang ditŭmpat ayer dijadikannya anggor itu. Maka adalah sa’orang orang bangsawan anu, maka anaknya laki laki ada sakit diKŭparnaum. Maka apabila didŭngarnya, bahwa Isa tŭlah datang deri tanah Yahuda kŭtanah Galilia; maka pŭrgilah iya mŭminta kapadanya supaya iya datang mŭnyŭmbohkan anaknya itu, kŭrna hampirlah iya akan mati. Maka kata Isa kapadanya, Adapun jikalau tiada kamu mŭlihat sŭndiri bŭbrapa tandah dan muzijat, maka tiada mahu pŭrchaya. Maka jawab orang bangsawan itu kapadanya, Tuhan marilah kiranya turon dahulu sŭbŭlom anakku itu mati. Maka bŭrkatalah Isa kapadanya, Pŭrgilah angkau pulang, bahwa anakmu itu hidop; maka iya pun pŭrchayalah akan pŭrkataan yang dikatakan ulih Isa kapadanya itu, lalu pulanglah iya. Maka sŭmŭntara iya bŭrjalan itu bŭrtŭmulah iya dŭngan bŭbrapa hambanya mŭmbawa khabar katanya, Bahwa anakmu adalah hidop. Sŭtlah itu bŭrtanyalah iya kapada marika itu, Pada waktu bilakah iya mŭmulai sŭnang itu? Maka jawab marika itu kapadanya, Kŭlmarin adalah kira kira pukol satu tŭngah hari itu hilang dŭmamnya. Maka dikŭtahuilah ulih bapa anak itu, pada jam itulah juga Isa tŭlah bŭrkata kapadanya, Bahwa anakmu hidop; maka pŭrchayalah iya sŭrta dŭngan sagala isi rumahnya. Maka inilah pula mujizat yang kadua, yang dipŭrbuat ulih Isa apabila iya kluar deri tanah Yahuda lalu masok kŭtanah Galilia.

YOHANES 4:27-54 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada ketika itu para murid Yesus pulang ke situ. Mereka hairan melihat Yesus bercakap dengan seorang perempuan tetapi seorang pun tidak bertanya kepada perempuan itu, “Apa hajatmu?” atau kepada Yesus, “Mengapa Engkau bercakap dengan perempuan ini?” Perempuan itu pun meninggalkan bekas airnya di situ lalu pergi ke bandar memberitahu orang di sana apa yang telah berlaku. Perempuan itu berkata, “Marilah lihat seorang yang menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan. Mungkinkah orang itu Kristus?” Dengan demikian, orang di bandar pun pergi mendapatkan Yesus. Sementara itu, para murid Yesus menggesa-Nya, “Rabbi, makanlah.” Yesus menjawab, “Aku ada makanan yang tidak kamu ketahui.” Lalu para murid Yesus tertanya-tanya sesama sendiri, “Adakah sesiapa datang membawakan-Nya makanan tadi?” Yesus berkata, “Makanan-Ku itu melaksanakan kehendak Dia yang mengutus-Ku dan menyelesaikan pekerjaan-Nya. Bukankah kamu berkata, ‘Empat bulan lagi barulah tiba musim menuai?’ Tetapi Aku berkata kepadamu, lihatlah ladang yang sudah menguning, sedia untuk dituai. Orang yang menuai akan menerima upah dan mendapat hasil untuk hidup kekal. Dengan demikian, penyemai benih dan penuai akan bergembira bersama-sama. Dalam hal ini benarlah pepatah, ‘Ada yang menyemai, ada pula yang menuai.’ Aku menyuruhmu menuai ladang yang bukan hasil usahamu. Orang lain yang mengerjakannya, kamu yang mendapat hasilnya.” Pada masa itu ramai orang Samaria percaya kepada Yesus setelah mendengar perempuan itu berkata, “Dia menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan.” Oleh yang demikian, ketika orang Samaria datang menemui Yesus, mereka mengajak-Nya tinggal bersama mereka. Yesus pun tinggal di situ selama dua hari. Lebih ramai lagi orang yang percaya kepada Yesus kerana kata-kata-Nya. Mereka berkata kepada perempuan itu, “Sekarang kami percaya bukanlah kerana kata-katamu tetapi kerana kami telah mendengar kata-kata-Nya sendiri dan kami tahu Dialah Kristus, Penyelamat dunia.” Selepas tinggal dua hari di Samaria, Yesus ke Galilea pula, kerana Yesus sendiri bersaksi bahawa seorang nabi tidak mendapat penghormatan di negerinya sendiri. Setiba-Nya di Galilea, orang Galilea menyambut-Nya. Mereka telah melihat segala yang dilakukan-Nya di Yerusalem pada masa Perayaan Paskah dahulu. Pada ketika itu, mereka juga berada di sana. Selepas itu, Yesus pulang ke Kana di Galilea, iaitu tempat Dia mengubah air menjadi air anggur. Seorang pegawai kerajaan di situ mempunyai anak lelaki yang sedang sakit di Kapernaum. Apabila pegawai itu mendengar tentang kedatangan Yesus ke Galilea dari Yudea, dia pun pergi berjumpa dengan Yesus. Dia meminta Yesus datang ke Kapernaum untuk menyembuhkan anaknya yang sakit tenat dan hampir maut. Tetapi Yesus berkata, “Kalau kamu semua tidak melihat mukjizat dan hal-hal luar biasa, tidaklah kamu percaya.” Pegawai itu merayu, “Tuan, datanglah segera sebelum anakku mati.” Yesus pun berkata, “Pergilah, anakmu akan sembuh.” Pegawai itu percaya akan kata-kata Yesus lalu pergi. Dalam perjalanannya ke rumah, hambanya datang memberitahu bahawa anaknya itu telah sembuh. Apabila pegawai itu bertanya bila anaknya mula pulih, mereka menjawab, “Kelmarin, pada jam ketujuh, dia tidak demam lagi.” Bapa anak itu teringat bahawa pada waktu itulah Yesus telah berkata, “Anakmu akan sembuh.” Dengan demikian, pegawai itu dan seluruh keluarganya percaya kepada Yesus. Itulah mukjizat Yesus yang kedua dilakukan-Nya di Galilea setelah tiba di situ dari Yudea.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami