Yohanes 4:27-54

Yohanes 4:27-54 AVB

Pada ketika itu para murid Yesus pulang ke situ. Mereka hairan melihat Yesus bercakap dengan seorang perempuan tetapi seorang pun tidak bertanya kepada perempuan itu, “Apa hajatmu?” atau kepada Yesus, “Mengapa Engkau bercakap dengan perempuan ini?” Perempuan itu pun meninggalkan bekas airnya di situ lalu pergi ke bandar memberitahu orang di sana apa yang telah berlaku. Perempuan itu berkata, “Marilah lihat seorang yang menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan. Mungkinkah orang itu Kristus?” Dengan demikian, orang di bandar pun pergi mendapatkan Yesus. Sementara itu, para murid Yesus menggesa-Nya, “Rabbi, makanlah.” Yesus menjawab, “Aku ada makanan yang tidak kamu ketahui.” Lalu para murid Yesus tertanya-tanya sesama sendiri, “Adakah sesiapa datang membawakan-Nya makanan tadi?” Yesus berkata, “Makanan-Ku itu melaksanakan kehendak Dia yang mengutus-Ku dan menyelesaikan pekerjaan-Nya. Bukankah kamu berkata, ‘Empat bulan lagi barulah tiba musim menuai?’ Tetapi Aku berkata kepadamu, lihatlah ladang yang sudah menguning, sedia untuk dituai. Orang yang menuai akan menerima upah dan mendapat hasil untuk hidup kekal. Dengan demikian, penyemai benih dan penuai akan bergembira bersama-sama. Dalam hal ini benarlah pepatah, ‘Ada yang menyemai, ada pula yang menuai.’ Aku menyuruhmu menuai ladang yang bukan hasil usahamu. Orang lain yang mengerjakannya, kamu yang mendapat hasilnya.” Pada masa itu ramai orang Samaria percaya kepada Yesus setelah mendengar perempuan itu berkata, “Dia menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan.” Oleh yang demikian, ketika orang Samaria datang menemui Yesus, mereka mengajak-Nya tinggal bersama mereka. Yesus pun tinggal di situ selama dua hari. Lebih ramai lagi orang yang percaya kepada Yesus kerana kata-kata-Nya. Mereka berkata kepada perempuan itu, “Sekarang kami percaya bukanlah kerana kata-katamu tetapi kerana kami telah mendengar kata-kata-Nya sendiri dan kami tahu Dialah Kristus, Penyelamat dunia.” Selepas tinggal dua hari di Samaria, Yesus ke Galilea pula, kerana Yesus sendiri bersaksi bahawa seorang nabi tidak mendapat penghormatan di negerinya sendiri. Setiba-Nya di Galilea, orang Galilea menyambut-Nya. Mereka telah melihat segala yang dilakukan-Nya di Yerusalem pada masa Perayaan Paskah dahulu. Pada ketika itu, mereka juga berada di sana. Selepas itu, Yesus pulang ke Kana di Galilea, iaitu tempat Dia mengubah air menjadi air anggur. Seorang pegawai kerajaan di situ mempunyai anak lelaki yang sedang sakit di Kapernaum. Apabila pegawai itu mendengar tentang kedatangan Yesus ke Galilea dari Yudea, dia pun pergi berjumpa dengan Yesus. Dia meminta Yesus datang ke Kapernaum untuk menyembuhkan anaknya yang sakit tenat dan hampir maut. Tetapi Yesus berkata, “Kalau kamu semua tidak melihat mukjizat dan hal-hal luar biasa, tidaklah kamu percaya.” Pegawai itu merayu, “Tuan, datanglah segera sebelum anakku mati.” Yesus pun berkata, “Pergilah, anakmu akan sembuh.” Pegawai itu percaya akan kata-kata Yesus lalu pergi. Dalam perjalanannya ke rumah, hambanya datang memberitahu bahawa anaknya itu telah sembuh. Apabila pegawai itu bertanya bila anaknya mula pulih, mereka menjawab, “Kelmarin, pada jam ketujuh, dia tidak demam lagi.” Bapa anak itu teringat bahawa pada waktu itulah Yesus telah berkata, “Anakmu akan sembuh.” Dengan demikian, pegawai itu dan seluruh keluarganya percaya kepada Yesus. Itulah mukjizat Yesus yang kedua dilakukan-Nya di Galilea setelah tiba di situ dari Yudea.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Yohanes 4:27-54

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami