YOHANES 21:15-25

YOHANES 21:15-25 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah mereka makan, Yesus bertanya kepada Simon Petrus, “Simon anak Yohanes, adakah kamu lebih mengasihi Aku daripada semua orang ini mengasihi Aku?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan.” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah anak-anak domba-Ku.” Untuk kali kedua Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi Aku?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan.” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah domba-domba-Ku.” Untuk kali ketiga Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi Aku?” Petrus sedih kerana Yesus bertanya tiga kali kepadanya, “Adakah kamu mengasihi Aku?” Oleh itu Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Tuhan mengetahui semuanya. Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan!” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah domba-domba-Ku. Apa yang Aku katakan ini benar: Semasa kamu masih muda, kamu mengikat tali pinggang lalu pergi ke mana sahaja kamu mahu. Tetapi semasa kamu tua, kamu akan menghulurkan tangan lalu seorang lain akan mengikat kamu dan membawa kamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.” (Dengan kata-kata ini Yesus menunjukkan bagaimana Petrus akan mati kelak untuk memuliakan Allah.) Lalu Yesus berkata kepada Petrus, “Ikutlah Aku!” Petrus berpaling dan melihat pengikut yang dikasihi oleh Yesus sedang mengikuti mereka. Dialah pengikut yang duduk dekat Yesus pada waktu makan dan bertanya kepada-Nya, “Ya Tuhan, siapakah yang akan mengkhianati Tuhan?” Ketika Petrus melihat dia, Petrus bertanya kepada Yesus, “Tuhan, bagaimana dengan orang ini?” Yesus menjawab, “Jika Aku mahu dia hidup sehingga Aku kembali, apa kena-mengenanya dengan kamu? Tetapi kamu, ikutlah Aku!” Oleh itu tersebarlah berita di kalangan pengikut Yesus bahawa pengikut itu tidak akan mati. Tetapi Yesus tidak berkata bahawa pengikut itu tidak akan mati, melainkan Yesus berkata, “Jika Aku mahu dia hidup sehingga Aku kembali, apa kena-mengenanya dengan kamu?” Dialah pengikut yang memberikan kesaksian tentang perkara-perkara ini. Dia juga sudah menulis semua itu. Kita tahu bahawa apa yang dikatakannya benar. Masih banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Yesus. Jika semuanya ditulis satu per satu, pada hematku seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuat semua kitab yang akan ditulis itu.

YOHANES 21:15-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Bŭrmula sŭtlah marika itu sudah habis makan, maka kata Isa kapada Simon Petros, Hie Simon anak Yunas, angkau kasihkah akan daku tŭrlebih deripada skalian ini? Maka jawab Simon akan dia, Bahkan, ya Tuhan, angkau tahu bahwa aku mŭngasihi angkau. Maka bŭrkatalah Isa padanya, Gombalakanlah sagala anak dombaku. Maka katanya pula akan dia pada kadua kalinya, Hie Simon anak Yunas, angkau kasihkah akan daku? Jawabnya akan dia, Bahkan ya Tuhan, angkau tahu bahwa aku mŭngasihi angkau. Maka kata Isa akan dia, Gombalakanlah domba dombaku. Maka pada katiga kalinya bŭrkata Isa padanya, Hie Simon anak Yunas, angkau kasihkah akan daku? Maka Petros pun bŭrdukalah, sŭbab tiga kali Isa bŭrkata akan dia, Angkau kasihkah akan daku? Maka jawabnya akan dia, Ya Tuhan, angkau mŭngŭtahui skalian pŭrkara, bahwa angkau tahu aku mŭngasihi angkau. Maka kata Isa padanya, Gombalakanlah domba dombaku. Bahwa sŭsungguh sungguhnyalah aku bŭrkata padamu, tŭtkala angkau lagi muda, maka angkau tŭlah mŭngikat pinggangmu, lalu bŭrjalan pŭrgi barang kŭmana angkau kahandaki, tŭtapi apabila angkau tua kŭlak, maka angkau akan mŭngunjokkan kadua tanganmu, maka orang lain akan mŭngikatkan pinggangmu, sŭrta mŭmbawa dikau barang kŭmana yang tiada angkau kahandaki. Adapun Isa bŭrkata itu handak mŭnunjokkan bŭtapa pri kŭmatian yang dirasai ulih Petros itu akan mŭmuliakan Allah kŭlak. Maka sŭtlah habislah Isa mŭngatakan itu, maka bŭrkatalah iya padanya, Ikotlah aku. Bŭrmula maka Petros pun bŭrpalinglah dirinya, lalu dilihatnya murid yang dikasihi ulih Isa itu ada mŭngikot; maka iyalah yang dudok bŭrsandar pada dada Isa tŭtkala makan malam, sambil bŭrkata, Ya Tuhan, siapakah yang mŭnyŭrahkan dikau itu kŭtangan musohmu? Adapun sŭtlah Petros mŭlihat akan murid itu, maka kata Petros kapada Isa, Ya Tuhan, bagimanakah hal kasudahan orang ini kŭlak? Maka kata Isa padanya, Jikalau kiranya aku kahandaki orang ini tinggal sampie aku datang, apakah angkau pŭduli; ikotloh ulihmu akan daku. Maka deri sŭbab itu mashorlah khabar itu kapada sagala saudara, bahwa sa’orang murid itu tiada akan mati; tŭtapi tiada Isa bŭrkata, iya tiada akan mati, mŭlainkan katanya, Jikalau aku handak iya tinggal sampie aku datang, apakah angkau pŭduli? Arkian bahwa inilah murid itu yang bŭrsaksi akan sagala pŭrkara ini, dan tŭlah mŭnyuratkan akan sagala pŭrkara ini, maka kami kŭtahui bahwa bŭnarlah saksinya itu. Maka adalah lagi banyak pŭrkara yang dipŭrbuat ulih Isa, maka jikalau kiranya tiap tiap pŭrkara itu disuratkan, bahwa pada sangkaku dunia ini pun tiada bulih tŭrmuat akan sagala kitab yang akan disuratkan itu: Amin.

YOHANES 21:15-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Selepas sarapan bersama-sama, Yesus bertanya kepada Simon Petrus, “Simon anak Yohanes, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku lebih daripada mereka ini?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.” Yesus berkata kepadanya, “Berilah anak-anak domba-Ku makan.” Bagi kali kedua Yesus bertanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah domba-domba-Ku.” Bagi kali ketiga Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi-Ku?” Petrus sedih kerana Yesus bertanya kepadanya bagi kali ketiga, “Adakah kamu mengasihi-Ku?” Lalu dia menjawab, “Tuhan, Engkau mengetahui segala-galanya. Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu!” Yesus berkata kepadanya, “Berilah domba-domba-Ku makan. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sewaktu muda kamu mengikat tali pinggangmu lalu pergi ke mana-mana yang kamu mahu. Tetapi semasa tua nanti, kamu akan menghulurkan tangan dan orang akan mengikat kamu lalu membawamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.” Kata-kata Yesus ini membayangkan bagaimana Petrus akan mati untuk memuliakan Allah. Yesus pun berkata kepada Petrus, “Ikutlah Aku!” Petrus menoleh lalu melihat murid yang dikasihi oleh Yesus sedang mengikut mereka. Murid itulah yang duduk bertelekan di sisi-Nya ketika makan malam dahulu dan bertanya kepada-Nya, “Tuhan, siapakah yang akan mengkhianati-Mu?” Ketika melihatnya, Petrus bertanya kepada Yesus, “Tuhan, bagaimana dengan orang ini?” Yesus menjawab, “Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu? Kamu ikutlah Aku.” Oleh itu, tersebarlah dalam kalangan murid Yesus bahawa murid tersebut tidak akan mati. Tetapi Yesus tidak berkata bahawa murid itu tidak akan mati. Yesus berkata, “Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu?” Murid itulah yang memberikan kesaksian tentang hal-hal ini. Dialah yang menulis semua ini dan kita tahu kesaksiannya itu benar. Ada banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Yesus. Andainya dituliskan segala-galanya, aku rasa seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuatkan semua kitab itu.