Yohanes 21:15-25

Yohanes 21:15-25 AVB

Selepas sarapan bersama-sama, Yesus bertanya kepada Simon Petrus, “Simon anak Yohanes, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku lebih daripada mereka ini?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.” Yesus berkata kepadanya, “Berilah anak-anak domba-Ku makan.” Bagi kali kedua Yesus bertanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah domba-domba-Ku.” Bagi kali ketiga Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi-Ku?” Petrus sedih kerana Yesus bertanya kepadanya bagi kali ketiga, “Adakah kamu mengasihi-Ku?” Lalu dia menjawab, “Tuhan, Engkau mengetahui segala-galanya. Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu!” Yesus berkata kepadanya, “Berilah domba-domba-Ku makan. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sewaktu muda kamu mengikat tali pinggangmu lalu pergi ke mana-mana yang kamu mahu. Tetapi semasa tua nanti, kamu akan menghulurkan tangan dan orang akan mengikat kamu lalu membawamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.” Kata-kata Yesus ini membayangkan bagaimana Petrus akan mati untuk memuliakan Allah. Yesus pun berkata kepada Petrus, “Ikutlah Aku!” Petrus menoleh lalu melihat murid yang dikasihi oleh Yesus sedang mengikut mereka. Murid itulah yang duduk bertelekan di sisi-Nya ketika makan malam dahulu dan bertanya kepada-Nya, “Tuhan, siapakah yang akan mengkhianati-Mu?” Ketika melihatnya, Petrus bertanya kepada Yesus, “Tuhan, bagaimana dengan orang ini?” Yesus menjawab, “Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu? Kamu ikutlah Aku.” Oleh itu, tersebarlah dalam kalangan murid Yesus bahawa murid tersebut tidak akan mati. Tetapi Yesus tidak berkata bahawa murid itu tidak akan mati. Yesus berkata, “Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu?” Murid itulah yang memberikan kesaksian tentang hal-hal ini. Dialah yang menulis semua ini dan kita tahu kesaksiannya itu benar. Ada banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Yesus. Andainya dituliskan segala-galanya, aku rasa seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuatkan semua kitab itu.