YESAYA 41:10-20

YESAYA 41:10-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Jangan takut kerana Aku menyertai kamu. Jangan cemas kerana Akulah Allah kamu. Aku akan menguatkan dan menolong kamu; Aku akan melindungi dan menyelamatkan kamu. Orang yang marah terhadap kamu akan kalah dan dipermalukan. Orang yang melawan kamu akan mati dan lenyap dari muka bumi. Kamu akan mencari orang yang menentang kamu, tetapi mereka tidak akan kamu temukan. Orang yang berperang melawan kamu akan binasa dan lenyap. Akulah TUHAN, Allah kamu; Aku menguatkan kamu dan berfirman, ‘Jangan takut, Aku akan menolong kamu.’ ” TUHAN berfirman, “Walaupun kamu kecil dan lemah, hai Israel, jangan takut, Aku akan menolong kamu. Aku, Allah Israel, Allah yang suci, Akulah yang menyelamatkan kamu. Aku akan menjadikan kamu seperti papan pengirik yang baru, tajam, dan bergigi. Kamu akan mengirik gunung dan memusnahkannya; bukit-bukit pun akan hancur menjadi debu. Kamu akan menampi semuanya, lalu semua itu diterbangkan angin, dan dihamburkan taufan. Lalu kamu akan bersukacita kerana Aku Allah kamu; kamu akan memuji Aku, Allah Israel, Allah yang suci. Ketika umat-Ku yang sengsara memerlukan air, ketika tekak mereka kering kerana kehausan, Aku, TUHAN akan mengabulkan doa mereka; Aku, Allah Israel, tidak sekali-kali akan meninggalkan mereka. Aku akan menyebabkan sungai mengalir di bukit-bukit yang gondol, dan mata air memancar di lembah-lembah. Aku akan mengubah padang gurun menjadi kolam-kolam air dan air memancar dari tanah yang kering. Di padang gurun Aku akan menumbuhkan pokok sedar, pokok akasia, pokok kemunting, dan pokok zaitun. Tanah yang gondol akan menjadi hutan pokok pain, pokok juniper, dan pokok sipres. Maka semua orang akan melihatnya dan mengetahui bahawa Aku, TUHAN, yang melakukannya. Mereka akan memperhatikan dan mengerti bahawa Allah Israel, Allah yang suci telah melakukannya.”

YESAYA 41:10-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Jangan takut, kerana Aku berserta denganmu. Jangan cemas, kerana Akulah Allahmu. Aku akan menguatkan, bahkan akan menolong engkau. Ya, Aku akan menopang engkau dengan tangan kanan-Ku yang penuh kebenaran.’ Sesungguhnya, semua orang yang marah kepadamu akan menjadi malu dan mendapat aib. Orang yang berbantah-bantah dengan engkau akan menjadi seperti tidak ada dan binasa. Apabila engkau mencari orang yang bertengkar dengan engkau, kau tidak akan menemui mereka. Orang yang berperang melawan engkau akan menjadi seperti tidak ada dan hampa, kerana Aku, TUHAN, Allahmu, memegang tangan kananmu dan berfirman kepadamu, ‘Jangan takut, Aku akan menolong engkau.’ Jangan takut, wahai si ulat Yakub, wahai orang Israel. Aku akan menolong engkau,” demikianlah firman TUHAN, Penebusmu, Yang Maha Suci, Allah Israel. “Sesungguhnya, Aku menjadikan engkau tukul pengirik yang tajam, baru, dan bergerigi. Engkau akan membanting gunung-gunung dan melumatkannya, engkau akan menjadikan bukit-bukit seperti sekam. Engkau akan menampi mereka, lalu angin akan menerbangkan mereka dan badai akan menghamburkan mereka. Engkau akan bergembira kerana TUHAN dan bermegah kerana Yang Maha Suci, Allah Israel. Fakir miskin dan orang sesak mencari air tetapi tidak ada, lidah mereka kering kerana dahaga. Aku, TUHAN, akan menjawab mereka. Allah Israel, tidak akan meninggalkan mereka. Aku akan membuat sungai-sungai memancar di atas bukit-bukit yang gondol, dan mata air di tengah-tengah lembah. Aku akan membuat gurun menjadi kolam air dan tanah tandus menjadi pancaran air. Di tanah tandus Aku akan menanam pokok araz, pokok akasia, pokok murad, dan pokok zaitun. Di gurun Aku akan menumbuhkan pokok sanubar, pokok damar laut, dan pokok pinus sekali gus, supaya orang dapat melihat dan mengetahui, memperhatikan dan memahami bersama-sama, bahawa tangan TUHAN telah membuat hal itu, dan Yang Maha Suci, Allah Israel, telah menciptakannya.”

YESAYA 41:10-20

YESAYA 41:10-20 BMYESAYA 41:10-20 BMYESAYA 41:10-20 BM