Yesaya 41:10-20

Yesaya 41:10-20 AVB

Jangan takut, kerana Aku berserta denganmu. Jangan cemas, kerana Akulah Allahmu. Aku akan menguatkan, bahkan akan menolong engkau. Ya, Aku akan menopang engkau dengan tangan kanan-Ku yang penuh kebenaran.’ Sesungguhnya, semua orang yang marah kepadamu akan menjadi malu dan mendapat aib. Orang yang berbantah-bantah dengan engkau akan menjadi seperti tidak ada dan binasa. Apabila engkau mencari orang yang bertengkar dengan engkau, kau tidak akan menemui mereka. Orang yang berperang melawan engkau akan menjadi seperti tidak ada dan hampa, kerana Aku, TUHAN, Allahmu, memegang tangan kananmu dan berfirman kepadamu, ‘Jangan takut, Aku akan menolong engkau.’ Jangan takut, wahai si ulat Yakub, wahai orang Israel. Aku akan menolong engkau,” demikianlah firman TUHAN, Penebusmu, Yang Maha Suci, Allah Israel. “Sesungguhnya, Aku menjadikan engkau tukul pengirik yang tajam, baru, dan bergerigi. Engkau akan membanting gunung-gunung dan melumatkannya, engkau akan menjadikan bukit-bukit seperti sekam. Engkau akan menampi mereka, lalu angin akan menerbangkan mereka dan badai akan menghamburkan mereka. Engkau akan bergembira kerana TUHAN dan bermegah kerana Yang Maha Suci, Allah Israel. Fakir miskin dan orang sesak mencari air tetapi tidak ada, lidah mereka kering kerana dahaga. Aku, TUHAN, akan menjawab mereka. Allah Israel, tidak akan meninggalkan mereka. Aku akan membuat sungai-sungai memancar di atas bukit-bukit yang gondol, dan mata air di tengah-tengah lembah. Aku akan membuat gurun menjadi kolam air dan tanah tandus menjadi pancaran air. Di tanah tandus Aku akan menanam pokok araz, pokok akasia, pokok murad, dan pokok zaitun. Di gurun Aku akan menumbuhkan pokok sanubar, pokok damar laut, dan pokok pinus sekali gus, supaya orang dapat melihat dan mengetahui, memperhatikan dan memahami bersama-sama, bahawa tangan TUHAN telah membuat hal itu, dan Yang Maha Suci, Allah Israel, telah menciptakannya.”