Jangan takut kerana Aku menyertai kamu.
Jangan cemas kerana Akulah Allah kamu.
Aku akan menguatkan dan menolong kamu;
Aku akan melindungi dan menyelamatkan kamu.
Orang yang marah terhadap kamu
akan kalah dan dipermalukan.
Orang yang melawan kamu akan mati
dan lenyap dari muka bumi.
Kamu akan mencari orang yang menentang kamu,
tetapi mereka tidak akan kamu temukan.
Orang yang berperang melawan kamu
akan binasa dan lenyap.
Akulah TUHAN, Allah kamu;
Aku menguatkan kamu dan berfirman,
‘Jangan takut, Aku akan menolong kamu.’ ”
TUHAN berfirman,
“Walaupun kamu kecil dan lemah, hai Israel,
jangan takut, Aku akan menolong kamu.
Aku, Allah Israel, Allah yang suci,
Akulah yang menyelamatkan kamu.
Aku akan menjadikan kamu seperti papan pengirik
yang baru, tajam, dan bergigi.
Kamu akan mengirik gunung dan memusnahkannya;
bukit-bukit pun akan hancur menjadi debu.
Kamu akan menampi semuanya,
lalu semua itu diterbangkan angin,
dan dihamburkan taufan.
Lalu kamu akan bersukacita kerana Aku Allah kamu;
kamu akan memuji Aku,
Allah Israel, Allah yang suci.
Ketika umat-Ku yang sengsara memerlukan air,
ketika tekak mereka kering kerana kehausan,
Aku, TUHAN akan mengabulkan doa mereka;
Aku, Allah Israel, tidak sekali-kali akan meninggalkan mereka.
Aku akan menyebabkan sungai mengalir di bukit-bukit yang gondol,
dan mata air memancar di lembah-lembah.
Aku akan mengubah padang gurun menjadi kolam-kolam air
dan air memancar dari tanah yang kering.
Di padang gurun Aku akan menumbuhkan pokok sedar,
pokok akasia, pokok kemunting, dan pokok zaitun.
Tanah yang gondol akan menjadi
hutan pokok pain, pokok juniper, dan pokok sipres.
Maka semua orang akan melihatnya dan mengetahui
bahawa Aku, TUHAN,
yang melakukannya.
Mereka akan memperhatikan dan mengerti
bahawa Allah Israel, Allah yang suci telah melakukannya.”