GALATIA 4:21-31

GALATIA 4:21-31 Alkitab Berita Baik (BM)

Kepada kamu yang mahu diperhamba oleh Taurat, biarlah aku bertanya: Tidakkah kamu faham akan apa yang dikatakan oleh Taurat Musa? Di dalam Taurat tertulis bahawa Abraham mempunyai dua orang anak lelaki. Yang seorang dilahirkan oleh abdi wanita dan yang seorang lagi oleh wanita bebas. Anak Abraham daripada abdi wanita, dikandung dan dilahirkan seperti anak-anak lain. Tetapi anak Abraham daripada wanita bebas itu, lahir kerana dijanjikan oleh Allah. Peristiwa itu dapat digunakan sebagai kiasan. Kedua-dua orang wanita itu ibarat dua perjanjian. Hagar melambangkan perjanjian yang dibuat di Gunung Sinai, dan anak-anaknya dilahirkan sebagai abdi. Jika orang bercakap tentang Hagar, mereka bercakap tentang Gunung Sinai, di negeri Arab. Hagar juga melambangkan kota Yerusalem dengan semua penduduknya yang sekarang ini sudah menjadi abdi. Tetapi Yerusalem yang di syurga itu bebas. Yerusalem itu seperti ibu kita. Di dalam Alkitab tertulis, “Berbahagialah kamu, hai wanita mandul! Bersorak-sorailah dan bersukacitalah, hai kamu yang tidak pernah merasakan sakit bersalin! Wanita yang ditinggalkan suaminya akan mendapat lebih banyak anak daripada wanita yang hidup dengan suaminya.” Saudara-saudaraku, kamu anak-anak Allah yang dilahirkan kerana janji-Nya; sama seperti Ishak. Pada masa itu, anak yang dilahirkan oleh Hagar menganiaya anak yang dilahirkan kerana janji yang dibuat oleh Roh Allah. Demikian juga sekarang. Tetapi apakah yang tertulis di dalam Alkitab? Di situ tertulis, “Usirlah abdi wanita itu dengan anak lelakinya, kerana anak daripada abdi wanita itu tidak akan mewarisi harta bapanya bersama-sama anak lelaki daripada wanita bebas itu.” Demikianlah, saudara-saudaraku, kita ini bukannya anak daripada abdi wanita, melainkan anak daripada wanita bebas.

GALATIA 4:21-31 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Katakanlah kapadaku, hie orang yang handak ta’lok dibawah hukum tauret itu, tiadakah kamu mŭnŭngar akan pŭrkataan tauret itu? Kŭrna tŭlah tŭrsurat, Ibrahim itu adalah dua anak laki lakinya, iya itu sa’orang deripada sahya pŭrampuan, dan sa’orang deripada pŭrampuan mŭrdehka. Tŭtapi anak deripada sahya pŭrampuan itu tŭlah dipranakkan dŭngan pri hawa nafsu, tŭtapi anak deripada pŭrampuan mŭrdehka itu sudah jadi sŭbab pŭrjanjian. Maka pŭrkara itulah mŭnjadi suatu ibarat, kŭrna iya itu dua pŭrjanjian adanya, maka yang suatu itu asalnya deri bukit Tŭrsina yang mŭmpranakkan pŭrhambaan, iya itulah Hagar. Adapun Hagar itu ibaratnya bukit Tŭrsina ditanah Arab, maka iya itu stuju dŭngan Jerusalem yang ada skarang ini mŭnjadi hamba sŭrta dŭngan anak anaknya. Akan tŭtapi Jerusalem yang ada diatas itu mŭrdehka adanya, maka iya itulah bondah kami skalian. Kŭrna tŭlah tŭrsurat, Bŭrsuka sukaanlah hie pŭrampuan mandol yang tiada branak; bŭrsoraklah sŭrta bŭrsru, hie angkau yang bŭlom kŭna sakit branak, kŭrna yang kosong itulah ada tŭrlebih banyak anak anak deripada yang bŭrswami. Adapun kami ini skarang hie saudara saudara, spŭrti ka’adaan Isahak, anak anak pŭrjanjian itu. Adapun spŭrti tŭtkala dahulu itu, yang tŭlah dipranakkan dŭngan hawa nafsu itu, tŭlah mŭngannyayai akan yang tŭlah dipranakkan deri pada Roh itu, maka dŭmkian lagi sampie kapada skarang ini. Kŭndatilah, apakah pŭrkataan kitab? Buangkanlah sahya pŭrampuan ini bŭsŭrta anaknya, kŭrna anak sahya pŭrampuan itu tiada kŭlak mŭnjadi warith sama dŭngan anak pŭrampuan mŭrdehka itu. Dŭmkianlah hie saudara saudaraku, bukannya kami anak anak deripada sahya pŭrampuan itu, mŭlainkan anak anak deripada pŭrampuan mŭrdehka itu.

GALATIA 4:21-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Katakan kepadaku, kamu yang ingin hidup di bawah hukum Taurat, tidakkah kamu dengar kata-kata hukum itu? Tersurat bahawa Abraham mempunyai dua orang anak lelaki, seorang dengan hamba perempuan dan seorang lagi dengan perempuan merdeka. Anak dengan hamba perempuan itu dilahirkan sebagaimana kebiasaan manusia; tetapi anak dengan perempuan merdeka itu dilahirkan kerana janji. Ini adalah ibarat kerana dua perempuan itu mewakili dua perjanjian — satu daripada Gunung Sinai yang melahirkan anak-anak perhambaan, iaitu Hagar, kerana Hagar adalah Gunung Sinai di Tanah Arab, melambangkan Yerusalem yang ada sekarang, dan berada dalam perhambaan bersama anak-anaknya. Tetapi Yerusalem yang di atas adalah merdeka, dan ia ibu kepada kita semua. Kerana telah tersurat: “Bergembiralah, hai perempuan mandul, kamu yang tidak melahirkan anak; bersorak-sorailah, wahai kamu yang tidak pernah merasa sakit melahirkan anak; kerana perempuan yang sepi lara mempunyai lebih ramai anak daripada yang bersuami.” Saudara-saudaraku, kita seperti Ishak, iaitu anak perjanjian. Tetapi, sebagaimana anak yang dilahirkan menurut jasad telah menganiaya anak yang dilahirkan menurut Roh, begitulah yang berlaku sekarang. Walau bagaimanapun, apakah yang dikatakan dalam Kitab Suci? “Singkirkan hamba perempuan itu dengan anaknya, kerana anak kepada hamba perempuan itu tidak akan menjadi waris bersama anak kepada perempuan merdeka.” Dengan demikian, saudara-saudara, kita bukanlah anak kepada hamba perempuan, tetapi kepada perempuan yang merdeka.