Galatia 4

4
Tiada lagi perhambaan
1Sekarang aku berkata bahawa waris, selagi dia masih kanak-kanak, tidak berbeza daripada hamba, walaupun dia tuan kepada segala miliknya. 2Dia di bawah kawalan para penjaga dan pengurus sehingga masa yang ditetapkan oleh bapanya. 3Demikianlah kita, ketika masih kanak-kanak, diperhamba menurut ajaran asas dunia. 4Tetapi apabila sampai waktunya, Allah telah menghantar Anak-Nya, yang dilahirkan melalui seorang perempuan, di bawah hukum Taurat, 5#Rm 8:15-17.untuk menebus mereka yang di bawah hukum itu, supaya kita mendapat hak sepenuh sebagai anak.
6Dan kerana kamu anak-anak-Nya, Allah telah menghantar Roh Anak-Nya ke dalam hatimu, Roh yang berseru, “Abba, Bapa.” 7Dengan demikian kamu bukan lagi hamba tetapi anak; dan sebagai anak, Allah telah menjadikan kamu waris-Nya.
Paulus bimbang tentang orang Galatia
8Dulu, ketika kamu belum mengenal Allah, kamu telah memperhambakan diri kepada tuhan-tuhan yang sebenarnya bukan tuhan. 9Tetapi sekarang, setelah kamu mengenal Allah — atau lebih tepat, dikenali Allah — mengapakah kamu berpaling semula kepada ajaran asas yang lemah dan serba kurang itu, dan ingin terbelenggu semula sebagai hamba kepadanya? 10Kamu mematuhi hukum tentang hari, bulan, musim dan tahun! 11Aku bimbang tentangmu, takut kalau-kalau aku berusaha untukmu dengan sia-sia.
12Saudara-saudara, aku meminta supaya kamu menjadi sepertiku, kerana dahulu aku pun seperti kamu. Kamu tidak pernah menganiayaku. 13Kamu tahu bahawa kerana kedaifan jasmani, aku mula-mula menyampaikan Injil kepadamu. 14Dan kamu tidak menghina atau menyingkirkan aku kerana cubaan jasmani yang kutanggung. Sebaliknya, kamu telah menyambutku seperti malaikat Allah, malah seperti Kristus Yesus. 15Betapakah berkat yang kamu nikmati ketika itu? Kerana aku bersaksi bahawa, kalau boleh, kamu rela mencungkil matamu sendiri dan memberikannya kepadaku. 16Adakah aku telah menjadi seterumu kerana aku menyatakan yang benar kepadamu?
17Mereka bersungguh-sungguh menawan hatimu, tetapi bukan dengan niat yang baik. Mereka hendak mengasingkan kamu, supaya kamu bersungguh-sungguh hendak menawan hati mereka. 18Memang elok bersungguh-sungguh dalam perkara yang baik, dan bukan hanya ketika aku ada bersamamu. 19Hai anak-anak kecilku, aku mengalami sengsara seperti hendak melahirkan kamu sekali lagi sehingga Kristus terbentuk dalam dirimu. 20Aku rindu hendak bersama kamu sekarang dan mengubah nada suaraku, kerana aku amat bimbang tentangmu!
Hagar dan Sarah
21Katakan kepadaku, kamu yang ingin hidup di bawah hukum Taurat, tidakkah kamu dengar kata-kata hukum itu? 22#Kej 16:15. Kej 21:2.Tersurat bahawa Abraham mempunyai dua orang anak lelaki, seorang dengan hamba perempuan dan seorang lagi dengan perempuan merdeka. 23Anak dengan hamba perempuan itu dilahirkan sebagaimana kebiasaan manusia; tetapi anak dengan perempuan merdeka itu dilahirkan kerana janji. 24Ini adalah ibarat kerana dua perempuan itu mewakili dua perjanjian — satu daripada Gunung Sinai yang melahirkan anak-anak perhambaan, iaitu Hagar, 25kerana Hagar adalah Gunung Sinai di Tanah Arab, melambangkan Yerusalem yang ada sekarang, dan berada dalam perhambaan bersama anak-anaknya. 26Tetapi Yerusalem yang di atas adalah merdeka, dan ia ibu kepada kita semua. 27#Yes 54:1.Kerana telah tersurat:
“Bergembiralah, hai perempuan mandul,
kamu yang tidak melahirkan anak;
bersorak-sorailah, wahai kamu yang tidak pernah merasa sakit melahirkan anak;
kerana perempuan yang sepi lara mempunyai lebih ramai anak daripada yang bersuami.”
28Saudara-saudaraku, kita seperti Ishak, iaitu anak perjanjian. 29#Kej 21:9.Tetapi, sebagaimana anak yang dilahirkan menurut jasad telah menganiaya anak yang dilahirkan menurut Roh, begitulah yang berlaku sekarang. 30#Kej 21:10.Walau bagaimanapun, apakah yang dikatakan dalam Kitab Suci? “Singkirkan hamba perempuan itu dengan anaknya, kerana anak kepada hamba perempuan itu tidak akan menjadi waris bersama anak kepada perempuan merdeka.” 31Dengan demikian, saudara-saudara, kita bukanlah anak kepada hamba perempuan, tetapi kepada perempuan yang merdeka.

Terpilih Sekarang Ini:

Galatia 4: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk