KELUARAN 32:1-5,19-26
KELUARAN 32:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila orang Israel melihat bahawa Musa berada di gunung itu lama sekali, dan dia belum juga turun, mereka mengerumuni Harun dan berkata kepadanya, “Kita tidak tahu apa telah berlaku kepada si Musa, yang telah memimpin kita keluar dari Mesir; oleh itu buatlah satu tuhan bagi kami untuk memimpin kami.” Harun berkata kepada mereka, “Tanggalkanlah anting-anting emas yang dipakai oleh isteri, anak lelaki, dan anak perempuan kamu, lalu bawalah semuanya kepadaku.” Oleh itu mereka semua menanggalkan anting-anting emas dan memberikan semuanya kepada Harun. Harun mengambil anting-anting itu, meleburkan semuanya lalu mencurahkan emas itu ke dalam acuan, dan membuat sebuah patung lembu jantan. Umat itu berkata, “Hai Israel, inilah tuhan kita yang telah membawa kita keluar dari Mesir!” Kemudian Harun membina sebuah mazbah di hadapan lembu emas itu dan mengumumkan, “Esok kita akan mengadakan pesta untuk menghormati TUHAN.”
KELUARAN 32:19-26 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila Musa menghampiri perkhemahan lalu melihat patung lembu daripada emas itu dan rakyat menari-nari, dia naik marah. Di situ, di kaki gunung, dia membanting batu-batu tulis yang dibawanya sehingga hancur berkeping-keping. Musa mengambil patung lembu daripada emas yang dibuat mereka itu, lalu melebur dan menumbuknya sehingga menjadi serbuk halus, kemudian dia mencampurnya dengan air. Selepas itu Musa menyuruh orang Israel minum air itu. Musa berkata kepada Harun, “Apakah yang telah dilakukan umat ini kepadamu sehingga engkau membiarkan mereka berdosa besar?” Harun menjawab, “Janganlah marah kepadaku. Engkau tahu betapa nekadnya umat ini untuk melakukan kejahatan. Mereka berkata kepadaku, ‘Kami tidak tahu apa telah berlaku kepada si Musa, yang memimpin kami keluar dari Mesir. Oleh itu, buatlah satu tuhan bagi kami untuk memimpin kami.’ Aku menyuruh mereka memberikan perhiasan emas kepadaku, lalu orang yang mempunyai perhiasan menanggalkannya dan memberikannya kepadaku. Aku mencampakkan perhiasan emas itu ke dalam api, lalu terbentuklah lembu ini.” Musa sedar bahawa Harun telah membiarkan orang Israel dalam keadaan yang tidak terkawal lagi, sehingga mempermalukan diri mereka sendiri di hadapan musuh. Oleh itu Musa berdiri di pintu gerbang perkhemahan dan berseru, “Tiap-tiap orang yang memihak kepada TUHAN harus datang ke mari!” Oleh itu segenap suku Lewi berhimpun mengelilingi Musa.
KELUARAN 32:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Apabila orang Israel melihat bahawa Musa masih belum turun dari gunung itu, mereka berkumpul dan mengerumuni Harun lalu berkata kepadanya, “Buatkan kami tuhan-tuhan yang dapat memimpin kami kerana kami tidak tahu apa yang telah terjadi kepada Musa yang membawa kami keluar dari Tanah Mesir.” Lalu Harun berkata kepada mereka, “Tanggalkanlah anting-anting emas yang ada pada telinga isterimu, anak lelakimu, dan anak perempuanmu dan bawalah kesemuanya kepadaku.” Maka seluruh bangsa itu menanggalkan anting-anting emas yang ada pada telinga mereka dan membawanya kepada Harun. Harun menerima semua itu daripada tangan mereka lalu meleburkannya di dalam sebuah relau cetakan dan membentuknya untuk menjadi arca anak lembu. Kemudian berkatalah kumpulan orang itu, “Wahai orang Israel, inilah tuhan kamu, yang telah memimpin kamu keluar dari Tanah Mesir!” Apabila Harun melihat keadaan itu, dia pun membina sebuah mazbah di hadapan arca anak lembu itu, lalu berserulah dia, “Esok kita adakan pesta demi meraikan TUHAN!”
Keluaran 32:19-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lalu apabila dia menghampiri perkhemahan dan melihat arca anak lembu itu serta orang berpesta menari-nari itu, menyalalah kemarahan Musa. Dia menghempaskan loh-loh itu daripada tangannya dan memecahkannya di kaki gunung itu. Diambilnya anak lembu yang dibuat mereka itu, lalu dibakarnya habis. Digilingnya lumat-lumat, lalu ditaburkannya ke air. Setelah itu, disuruhnya orang Israel meminumnya. Berkatalah Musa kepada Harun, “Apakah yang dilakukan umat ini terhadap kamu, sehingga kamu mendatangkan dosa yang begitu besar atas mereka?” Kata Harun, “Janganlah hendaknya amarah tuanku menyala-nyala, tuan sendiri tahu betapa jahatnya umat ini. Mereka berkata kepadaku, ‘Buatkan kami tuhan-tuhan yang dapat memimpin kami kerana kami tidak tahu apa yang telah terjadi kepada Musa yang membawa kami keluar dari Mesir.’ Lalu aku berkata kepada mereka, ‘Sesiapa yang memiliki emas, tanggalkanlah.’ Mereka pun memberikannya kepadaku dan aku menuangkannya ke dalam api, lalu keluarlah arca anak lembu ini.” Ketaralah kepada Musa bahawa akibat perbuatan Harun, umat itu sudah menjadi tidak terkawal lagi hingga mengaibkan orang Israel sendiri di hadapan para musuh mereka. Maka berdirilah Musa di pintu gerbang perkhemahan itu lalu berkata, “Sesiapa yang memihak kepada TUHAN, datanglah kepadaku!” Lalu berkumpullah seluruh bani Lewi di sekelilingnya.