Keluaran 32

32
Arca anak lembu emas
1 # Kis 7:40. Apabila orang Israel melihat bahawa Musa masih belum turun dari gunung itu, mereka berkumpul dan mengerumuni Harun lalu berkata kepadanya, “Buatkan kami tuhan-tuhan yang dapat memimpin kami kerana kami tidak tahu apa yang telah terjadi kepada Musa yang membawa kami keluar dari Tanah Mesir.”
2Lalu Harun berkata kepada mereka, “Tanggalkanlah anting-anting emas yang ada pada telinga isterimu, anak lelakimu, dan anak perempuanmu dan bawalah kesemuanya kepadaku.” 3Maka seluruh bangsa itu menanggalkan anting-anting emas yang ada pada telinga mereka dan membawanya kepada Harun. 4#1Raj 12:28; Kis 7:41.Harun menerima semua itu daripada tangan mereka lalu meleburkannya di dalam sebuah relau cetakan dan membentuknya untuk menjadi arca anak lembu. Kemudian berkatalah kumpulan orang itu, “Wahai orang Israel, inilah tuhan kamu, yang telah memimpin kamu keluar dari Tanah Mesir!”
5Apabila Harun melihat keadaan itu, dia pun membina sebuah mazbah di hadapan arca anak lembu itu, lalu berserulah dia, “Esok kita adakan pesta demi meraikan TUHAN!” 6#1Kor 10:7.Pagi-pagi lagi pada keesokan harinya bangunlah mereka lantas mereka mempersembahkan korban bakaran serta membawa korban kedamaian. Dan umat itu duduk untuk makan minum, lalu bangkit untuk bersuka ria.
7Berfirmanlah TUHAN kepada Musa, “Pergilah, turunlah, kerana bangsamu yang kamu pimpin keluar dari Tanah Mesir telah berkelakuan buruk. 8Sebegitu cepat mereka terpesong daripada jalan yang Kuperintahkan kepada mereka. Mereka membuat sebuah arca anak lembu dan sujud menyembahnya serta mempersembahkan korban kepadanya sambil berkata, ‘Wahai orang Israel, inilah tuhanmu, yang telah memimpin kamu keluar dari Tanah Mesir!’ ” 9Firman TUHAN lagi kepada Musa, “Aku telah melihat bangsa ini. Sesungguhnya, mereka memang bangsa yang keras kepala. 10Sekarang, tinggalkanlah Aku. Biarkan murka-Ku menyala terhadap mereka. Akan Kuhabiskan mereka, tetapi kamu akan Kubuat menjadi bangsa yang besar.”
11 # Bil 14:13-19. Namun demikian, Musa memohon belas kasihan TUHAN, Allahnya. Dia berkata, “Ya TUHAN, mengapakah murka-Mu menyala terhadap umat-Mu yang Engkau bawa keluar dari Tanah Mesir dengan kuasa yang besar dan dengan tangan yang kuat? 12Mengapakah orang Mesir harus berkata begini: ‘Dia membawa mereka keluar dengan niat jahat, iaitu untuk memusnahkan mereka di pergunungan dan untuk melenyapkan mereka daripada muka bumi’? Semoga Engkau berpalinglah daripada murka-Mu yang menyala-nyala dan berbelas kasihanlah. Janganlah datangkan malapetaka kepada umat-Mu. 13#Kej 22:16,17; 17:8.Ingatlah para hamba-Mu iaitu Abraham, Ishak, dan Israel, dan betapa Engkau telah bersumpah kepada mereka demi diri-Mu sendiri dan telah berfirman kepada mereka, ‘Aku akan memperbanyak keturunanmu seperti bintang di langit. Seluruh negeri yang telah Kujanjikan ini akan Kukurniakan kepada keturunanmu, dan mereka akan mewarisinya untuk selama-lamanya.’ ” 14Maka TUHAN pun berbelas kasihan dan tidak mendatangkan malapetaka kepada umat-Nya seperti yang dirancangkan-Nya.
15Musa berpaling lalu turun dari gunung itu dengan dua loh hukum di tangannya. Pada dua sisi loh itu, sebelah-menyebelah, tertera tulisan. 16Dua keping loh itu buatan Allah dan tulisannya ialah tulisan Allah yang terukir pada loh-loh itu.
17Ketika Yosua mendengar hingar bingar bunyi sorakan umat itu, berkatalah dia kepada Musa, “Ada bunyi keriuhan peperangan di perkhemahan.”
18Jawab Musa,
“Yang kudengar bukan bunyi teriakan kemenangan dan bukan bunyi teriakan kekalahan,
melainkan bunyi orang menyanyi berbalas-balasan.”
19Lalu apabila dia menghampiri perkhemahan dan melihat arca anak lembu itu serta orang berpesta menari-nari itu, menyalalah kemarahan Musa. Dia menghempaskan loh-loh itu daripada tangannya dan memecahkannya di kaki gunung itu. 20Diambilnya anak lembu yang dibuat mereka itu, lalu dibakarnya habis. Digilingnya lumat-lumat, lalu ditaburkannya ke air. Setelah itu, disuruhnya orang Israel meminumnya. 21Berkatalah Musa kepada Harun, “Apakah yang dilakukan umat ini terhadap kamu, sehingga kamu mendatangkan dosa yang begitu besar atas mereka?”
22Kata Harun, “Janganlah hendaknya amarah tuanku menyala-nyala, tuan sendiri tahu betapa jahatnya umat ini. 23Mereka berkata kepadaku, ‘Buatkan kami tuhan-tuhan yang dapat memimpin kami kerana kami tidak tahu apa yang telah terjadi kepada Musa yang membawa kami keluar dari Mesir.’ 24Lalu aku berkata kepada mereka, ‘Sesiapa yang memiliki emas, tanggalkanlah.’ Mereka pun memberikannya kepadaku dan aku menuangkannya ke dalam api, lalu keluarlah arca anak lembu ini.”
25Ketaralah kepada Musa bahawa akibat perbuatan Harun, umat itu sudah menjadi tidak terkawal lagi hingga mengaibkan orang Israel sendiri di hadapan para musuh mereka. 26Maka berdirilah Musa di pintu gerbang perkhemahan itu lalu berkata, “Sesiapa yang memihak kepada TUHAN, datanglah kepadaku!” Lalu berkumpullah seluruh bani Lewi di sekelilingnya. 27Kata Musa kepada mereka, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Hunuslah pedang kamu masing-masing! Lintasilah perkhemahan ini dari pintu ke pintu dan bunuhlah saudara, sahabat, dan tetangga masing-masing!’ ” 28Bani Lewi pun melaksanakan seperti yang diarahkan oleh Musa itu lalu pada hari itu matilah kira-kira tiga ribu orang dalam kalangan umat itu. 29Kemudian Musa berkata, “Pada hari ini kamu telah mentahbiskan dirimu demi TUHAN, kerana masing-masing mengorbankan anaknya dan saudaranya semoga Dia mengurniakan berkat kepadamu pada hari ini.”
30Keesokan harinya, Musa berkata kepada umat itu, “Kamu telah melakukan dosa besar, maka aku akan naik menghadap TUHAN, mudah-mudahan aku mendapat pendamaian bagi dosa kamu itu.” 31Lalu kembalilah Musa menghadap TUHAN dan berkata, “Ya, umat itu telah berdosa besar dengan membuat untuk diri mereka tuhan daripada emas. 32#Mzm 69:28; Why 3:5.Semoga Engkau ampunkanlah dosa mereka itu, namun begitu, jika tidak, semoga dihapuskan sahaja namaku daripada kitab yang telah Kautulis nama para umat-Mu.”
33Firman TUHAN kepada Musa, “Sesiapa yang berdosa terhadap Aku, dialah yang akan Kuhapuskan daripada kitab-Ku. 34Sekarang, pergilah. Pimpinlah bangsa itu ke tempat yang telah Kunyatakan kepadamu. Sesungguhnya, malaikat-Ku akan mendahului perjalananmu. Akan tetapi, pada hari pembalasan-Ku kelak, atas mereka itu akan Aku balas dosa mereka.”
35Kemudian TUHAN mengazabkan orang Israel dengan bencana penyakit atas sebab perbuatan mereka dalam hal arca anak lembu yang dibuat oleh Harun itu.

Terpilih Sekarang Ini:

Keluaran 32: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk