KELUARAN 32
32
Lembu Jantan daripada Emas
(Ul 9.6-29)
1 Apabila orang Israel melihat bahawa Musa berada di gunung itu lama sekali, dan dia belum juga turun, mereka mengerumuni Harun dan berkata kepadanya, “Kita tidak tahu apa telah berlaku kepada si Musa, yang telah memimpin kita keluar dari Mesir; oleh itu buatlah satu tuhan bagi kami untuk memimpin kami.”
2Harun berkata kepada mereka, “Tanggalkanlah anting-anting emas yang dipakai oleh isteri, anak lelaki, dan anak perempuan kamu, lalu bawalah semuanya kepadaku.” 3Oleh itu mereka semua menanggalkan anting-anting emas dan memberikan semuanya kepada Harun. 4 Harun mengambil anting-anting itu, meleburkan semuanya lalu mencurahkan emas itu ke dalam acuan, dan membuat sebuah patung lembu jantan.
Umat itu berkata, “Hai Israel, inilah tuhan kita yang telah membawa kita keluar dari Mesir!”
5Kemudian Harun membina sebuah mazbah di hadapan lembu emas itu dan mengumumkan, “Esok kita akan mengadakan pesta untuk menghormati TUHAN.” 6 Awal pagi esoknya mereka membawa beberapa ekor binatang untuk dipersembahkan sebagai korban, dan beberapa ekor lagi bagi korban untuk memohon berkat kepada TUHAN. Mereka duduk untuk makan dan minum, lalu bangkit untuk berpesta liar.
7TUHAN berfirman kepada Musa, “Cepatlah turun kerana umatmu yang engkau pimpin keluar dari Mesir telah berdosa dan menolak Aku. 8Mereka telah menyimpang daripada perintah-Ku. Mereka telah membuat sebuah patung lembu daripada emas leburan, lalu menyembahnya; mereka juga mempersembahkan korban kepadanya. Mereka berkata bahawa itulah tuhan mereka yang telah memimpin mereka keluar dari Mesir. 9Aku tahu betapa degilnya umat itu. 10Sekarang, janganlah halang Aku. Aku murka terhadap mereka dan hendak membinasakan mereka. Tetapi Aku akan menjadikan engkau dan keturunanmu satu bangsa yang besar.”
11Tetapi Musa merayu kepada TUHAN, Allahnya dan berkata, “Ya TUHAN, mengapakah Engkau begitu murka terhadap umat-Mu yang telah Engkau bebaskan dari Mesir, dengan kuasa dan kekuatan yang besar? 12Jika Engkau membinasakan mereka, orang Mesir akan berkata bahawa Engkau membawa mereka keluar dari Mesir justeru untuk membunuh mereka di pergunungan dan membinasakan mereka sama sekali. Janganlah murka lagi, ubahlah niat-Mu dan janganlah timpakan bencana ini kepada umat-Mu. 13 Ingatlah akan hamba-Mu Abraham, Ishak, dan Yakub. Ingatlah akan janji-Mu kepada mereka untuk mengurniai mereka keturunan sebanyak bintang di langit, dan memberi mereka seluruh tanah ini untuk menjadi milik mereka selama-lamanya.” 14 Oleh itu TUHAN mengubah niat-Nya dan tidak melaksanakan ancaman-Nya untuk menimpakan bencana kepada umat-Nya.
15Musa turun dari gunung sambil membawa dua buah batu tulis yang bertuliskan perintah Allah pada kedua-dua mukanya. 16Allah sendiri telah membuat dua buah batu tulis itu dan mengukirkan perintah-Nya di situ.
17Yosua mendengar orang Israel berteriak-teriak, lalu berkata kepada Musa, “Saya mendengar bunyi pertempuran di perkhemahan.”
18Musa berkata, “Bunyi itu bukan suara kemenangan ataupun kekalahan; bunyi itu suara orang menyanyi.”
19Apabila Musa menghampiri perkhemahan lalu melihat patung lembu daripada emas itu dan rakyat menari-nari, dia naik marah. Di situ, di kaki gunung, dia membanting batu-batu tulis yang dibawanya sehingga hancur berkeping-keping. 20Musa mengambil patung lembu daripada emas yang dibuat mereka itu, lalu melebur dan menumbuknya sehingga menjadi serbuk halus, kemudian dia mencampurnya dengan air. Selepas itu Musa menyuruh orang Israel minum air itu. 21Musa berkata kepada Harun, “Apakah yang telah dilakukan umat ini kepadamu sehingga engkau membiarkan mereka berdosa besar?”
22Harun menjawab, “Janganlah marah kepadaku. Engkau tahu betapa nekadnya umat ini untuk melakukan kejahatan. 23Mereka berkata kepadaku, ‘Kami tidak tahu apa telah berlaku kepada si Musa, yang memimpin kami keluar dari Mesir. Oleh itu, buatlah satu tuhan bagi kami untuk memimpin kami.’ 24Aku menyuruh mereka memberikan perhiasan emas kepadaku, lalu orang yang mempunyai perhiasan menanggalkannya dan memberikannya kepadaku. Aku mencampakkan perhiasan emas itu ke dalam api, lalu terbentuklah lembu ini.”
25Musa sedar bahawa Harun telah membiarkan orang Israel dalam keadaan yang tidak terkawal lagi, sehingga mempermalukan diri mereka sendiri di hadapan musuh. 26Oleh itu Musa berdiri di pintu gerbang perkhemahan dan berseru, “Tiap-tiap orang yang memihak kepada TUHAN harus datang ke mari!” Oleh itu segenap suku Lewi berhimpun mengelilingi Musa. 27Kemudian Musa berkata kepada mereka, “TUHAN, Allah Israel memerintahkan setiap orang menghunus pedang, dan pergi dari pintu perkhemahan ini ke pintu di sebelah sana, lalu membunuh saudara-saudara, kawan-kawan, dan jiran-jirannya.” 28Suku Lewi taat, lalu membunuh kira-kira tiga ribu orang pada hari itu. 29Musa berkata kepada suku Lewi, “Pada hari ini kamu telah mentahbiskan diri sebagai imam yang mengabdi kepada TUHAN, dengan membunuh anak lelaki kamu dan saudara-saudara kamu; maka TUHAN memberikan berkat-Nya kepada kamu.”
30Keesokan harinya, Musa berkata kepada orang Israel, “Kamu telah berdosa besar. Tetapi aku akan naik ke gunung itu lagi untuk menghadap TUHAN; mudah-mudahan aku boleh mendapatkan pengampunan bagi dosa kamu.” 31Musa kembali menghadap TUHAN dan berkata, “Umat itu telah melakukan dosa besar. Mereka telah membuat tuhan daripada emas dan menyembahnya. 32 Ampunkanlah dosa mereka; jika tidak, hapuskanlah namaku dari kitab yang Engkau tuliskan dengan nama-nama umat-Mu.”
33TUHAN menjawab, “Hanya orang yang telah berdosa terhadap Aku akan Kuhapuskan namanya dari kitab-Ku itu. 34Pergilah sekarang, dan bawalah umat itu ke tempat yang telah Aku sebut kepadamu. Ingatlah, malaikat-Ku akan memimpin engkau, tetapi akan tiba masanya apabila Aku akan menghukum umat ini kerana dosa mereka.”
35Kemudian TUHAN mendatangkan penyakit kepada umat itu, kerana mereka telah memaksa Harun membuat patung lembu daripada emas.
Terpilih Sekarang Ini:
KELUARAN 32: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.