KISAH RASUL-RASUL 7:17-38

KISAH RASUL-RASUL 7:17-38 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila sudah dekat masanya Allah memenuhi janji-Nya kepada Abraham, bilangan bangsa kita di Mesir semakin besar. Akhirnya seorang raja lain yang tidak mengenal Yusuf mula memerintah di Mesir. Raja itu memperdaya bangsa kita dan berlaku kejam terhadap nenek moyang kita. Raja itu memaksa mereka membuang bayi yang baru lahir supaya terlantar dan mati. Pada masa itulah Musa lahir; dia bayi yang sangat comel. Dia dipelihara di rumah bapanya selama tiga bulan. Apabila dia terpaksa dibuang, puteri raja Mesir mengambil dia dan memelihara dia sebagai anaknya sendiri. Segala ilmu bangsa Mesir diajarkan kepada Musa dan dia menjadi seorang yang sangat berkuasa, baik dengan kata-kata mahupun perbuatannya. Apabila Musa berumur empat puluh tahun, hatinya tergerak untuk pergi melawat bangsanya orang Israel. Dia melihat seorang antara mereka sedang dianiaya oleh seorang Mesir. Dia menolong orang yang dianiaya itu dengan membunuh orang Mesir itu. ( Musa menyangka bangsanya faham bahawa Allah akan menggunakan dia untuk membebaskan mereka, tetapi mereka tidak faham.) Keesokan harinya dia melihat dua orang Israel berkelahi, dan dia cuba mendamaikan mereka. Dia berkata, ‘Kamu bersaudara. Mengapa kamu berkelahi?’ Tetapi orang yang memukul sahabatnya menolak Musa ke tepi, lalu bertanya, ‘Siapa yang menjadikan kamu pemimpin dan hakim kami? Adakah kamu mahu membunuh aku seperti kamu membunuh orang Mesir itu kelmarin?’ Apabila Musa mendengar kata-kata itu, dia lari dari Mesir lalu tinggal di negeri Midian. Di sana dia beroleh dua orang anak lelaki. Empat puluh tahun kemudian, satu malaikat menampakkan diri kepada Musa di dalam belukar yang bernyala, di padang gurun dekat Gunung Sinai. Musa hairan melihat hal itu. Lalu dia menghampiri belukar itu supaya dapat melihat dengan lebih jelas. Tetapi dia mendengar suara Tuhan berfirman, ‘Akulah Allah yang disembah nenek moyangmu; Akulah Allah Abraham, Ishak, dan Yakub.’ Musa gementar kerana takut dan tidak berani melihat belukar itu lagi. Lalu Tuhan berfirman pula, ‘Tanggalkan kasutmu, kerana tanah tempat engkau berdiri itu suci. Aku sudah melihat dan memperhatikan betapa pahitnya penderitaan umat-Ku di Mesir. Aku sudah mendengar keluhan mereka, dan Aku sudah turun untuk membebaskan mereka. Sekarang marilah, Aku akan mengutus engkau ke Mesir.’ Musa inilah yang tidak diterima oleh kaum Israel. Mereka bertanya, ‘Siapa yang menjadikan kamu pemimpin dan hakim kami?’ Tetapi dialah yang diutus oleh Allah untuk menjadi pemimpin dan pembebas, dengan pertolongan malaikat yang datang kepadanya di belukar yang bernyala itu. Musa memimpin bangsa Israel keluar dari Mesir dengan melakukan berbagai-bagai mukjizat dan keajaiban di Mesir, di Laut Merah, dan kemudian di padang gurun selama empat puluh tahun. Musa inilah yang berkata kepada bangsa Israel, ‘Allah akan mengutus seorang nabi kepada kamu, seperti Dia sudah mengutus aku. Nabi itu dipilih-Nya daripada bangsa kamu sendiri.’ Musa inilah yang menyertai bangsa Israel berhimpun di padang gurun. Dia di situ dengan nenek moyang kita dan dengan malaikat yang berkata-kata kepadanya di Gunung Sinai. Di situlah Allah mengurniai dia perkhabaran yang memberikan hidup, untuk disampaikan kepada kita.

KISAH RASUL-RASUL 7:17-38 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Bŭrmula apabila pŭrjanjian yang disumpahkan Allah kapada Ibrahim tŭlah hampir waktunya, maka kaum itu pun makinlah bŭrtambah tambah biak dinŭgri Masir; Sahingga bŭrbangkitlah pula sa’orang raja yang lain, yang tiada mŭngŭnal akan Yusof. Maka raja itulah yang tŭlah mŭnipu bangsa kami, dan diannyayainya akan nenek moyang kami, sahingga disurohnya buangkan kapada marika itu akan kanak kanaknya, supaya jangan iya itu hidop lagi. Hata pada masa itu Musa pun jadilah, ada iya tŭrlalu amat elok parasnya, maka dipliharakanlah akan dia tiga bulan lamanya dirumah bapanya. Maka sŭtlah dibuangkanlah akan dia, maka dipungot ulih anak pŭrampuan Firaun akan dia, sŭrta dipliharakannya dijadikannya spŭrti anaknya sŭndiri. Maka Musa ini pun pahamlah akan sagala ilmu orang Masir, sŭrta kuatlah iya dalam sagala pŭrkataan dan pŭkŭrjaan. Adapun sŭtlah sampielah umornya gŭnap ampat puloh tahun, maka tŭrgraklah hatinya handak pŭrgi mŭndapatkan sagala saudaranya, iya itu bŭni Israil. Maka dŭmi dilihatnya sa’orang yang tŭrannyaya, maka dilindongkannyalah akan dia, sŭrta dituntotnya bela sŭbab orang yang digagahi itu, lalu dibunohnya akan orang Masir itu. Kŭrna pada sangka Musa, adapun sagala saudaranya dapat kŭlak mŭngtahui, bagimana dŭngan tangannya Allah handak mŭlŭpaskan marika itu; tŭtapi tiada juga dikŭtahui ulih marika itu. Maka pada ka’esokkan harinya pula datanglah Musa pada marika itu, didapatinya tŭngah bŭrklahi, maka handak didamiekan ulih Musa akan dia, katanya, Hie tuan tuan, bukankah kamu bŭrsaudara, mŭngapa kamu mŭngannyayai sa’orang akan sa’orang? Tŭtapi orang mŭngannyayai kawannya itu mŭnolakkan akan dia, katanya, Siapa sudah mŭnjadikan angkau pŭnghulu dan hakim diatas kami? Angkau handak bunohkah pula akan daku, spŭrti kŭlmarin tŭlah angkau bunoh sa’orang orang Masir itu? Maka Musa larilah sŭbab mŭnŭngar pŭrkataan itu, maka jadilah iya sa’orang dagang dinŭgri Median, maka disanalah dipranakannya dua orang anak laki laki. Maka apabila gŭnaplah ampat puloh tahun iya disana, maka tiba tiba dilihatnya mŭliekat Tuhan dipadang tiah, dŭkat bukit Torsina, dalam sŭrumpon bŭlukar yang bŭrnyala dŭngan api. Maka apabila dilihat Musa akan pŭnglihatan yang dŭmkian itu, maka hieranlah iya, sŭrta dihampirinya handak mŭlihat itu, maka datanglah swara deripada Tuhan kapadanya, Katanya, Akulah Allah nenek moyangmu, iya itu Allah Ibrahim, dan Allah Isahak, dan Allah Yakob. Maka gŭmŭntarlah Musa, sahingga tiadalah iya brani mŭmandang itu lagi. Bŭrmula maka bŭrfŭrmanlah Tuhan kapadanya, Tanggalkanlah kasot deripada kakimu, kŭrna adapun tŭmpat angkau bŭrdiri itu tanah yang suchi adanya. Aku tŭlah mŭlihat, aku tŭlah mŭlihat kŭsukaran kaumku yang dalam nŭgri Masir itu, dan aku tŭlah mŭnŭngar pŭngaduannya, maka aku tŭlah turon handak mŭlŭpaskan dia. Maka skarang pun marilah aku handak mŭnyurohkan angkau pŭrgi kaMasir. Maka Musa inilah yang disangkali ulih marika itu, katanya, Siapakah tŭlah mŭnjadikan angkau pŭnghulu dan hakim? Bahwa orang ini juga dijadikan Allah pŭnghulu dan pŭnŭbos ulih tangan mŭliekat yang tŭlah klihatan padanya dalam rumpon bŭlukar itu. Iya itulah yang mŭngluarkan marika itu, kumdian deripada diadakannya bŭbrapa mujizat dan ajaib dibanua Masir, dan dalam laut Kalzom, dan dalam padang Tiah ampat puloh tahun lamanya. ¶ Maka Musa itulah yang tŭlah bŭrkata kapada bŭnih Israel, Bahwa Tuhan Allah kamu akan mŭmbangkitkan sa’orang Nabi diantara sagala saudaramu spŭrti aku ini; maka handaklah kamu mŭnurut akan dia. Adapun inilah dia juga yang bŭrsama sama dalam kaum itu dipadang Tiah, yang bŭrsama sama pula dŭngan Maliekat yang tŭlah bŭrkata padanya diatas bukit Torsina itu, bŭsŭrta dŭngan nenek Moyang kami; maka iya tŭlah mŭnyambut akan sagala pŭrkataan slamat itu supaya dibrinya itu kapada kami.

KISAH RASUL-RASUL 7:17-38 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Apabila masa bagi Allah menunaikan janji-Nya kepada Abraham semakin hampir, bilangan bangsa kita di Mesir telah meningkat banyak sekali. Kemudian seorang raja lain yang tidak kenal akan Yusuf menaiki takhta kerajaan Mesir. Raja itu memperdaya bangsa kita dan menindas nenek moyang kita, dengan memaksa mereka membuang bayi yang baru lahir dan membiarkannya mati. Pada masa itulah Musa dilahirkan, seorang bayi yang elok di mata Allah. Dia dipelihara di rumah bapanya selama tiga bulan. Apabila dia terpaksa dibuang, puteri Firaun mengambilnya dan memeliharanya sebagai anak sendiri. Musa menjadi arif dalam segala ilmu pengetahuan serta kebijaksanaan orang Mesir dan menjadi seorang yang sangat handal, baik dari segi perkataan mahupun perbuatan. Sewaktu Musa berusia empat puluh tahun, hatinya tergerak hendak mengunjungi saudara-saudaranya orang Israel. Dia terpandang seorang daripada mereka sedang dianiaya oleh seorang Mesir. Dia pun membela orang yang dianiaya itu dan membunuh orang Mesir itu; kerana Musa menyangka saudara-saudara sebangsanya mengerti bahawa Allah akan menyelamatkan mereka melaluinya, tetapi mereka tidak mengerti. Esoknya, dia terlihat pula dua orang Israel sedang bergaduh lalu cuba mendamaikan mereka, katanya, ‘Kamu bersaudara. Mengapa kamu saling menganiaya?’ Tetapi orang yang menganiaya saudara sebangsanya itu menolak Musa ke tepi sambil bertanya, ‘Siapa yang menjadikan kamu pemerintah dan hakim kami? Adakah kamu ingin membunuhku seperti kamu membunuh orang Mesir itu kelmarin?’ Ketika Musa mendengar kata-kata itu, dia lari dari Mesir lalu menetap di negeri Midian. Di situ dia mendapat dua orang anak lelaki. Empat puluh tahun kemudian, malaikat menampakkan diri kepada Musa di dalam api belukar yang bernyala, di tanah gurun dekat Gunung Sinai. Musa kehairanan melihatnya lalu menghampirinya. Dia mendengar suara Tuhan berfirman, ‘Akulah Allah nenek moyangmu, Allah Abraham, Ishak dan Yakub.’ Musa gementar ketakutan dan tidak berani memandang lagi. Tuhan berfirman seterusnya, ‘Tanggalkan kasutmu dari kakimu, kerana tempat kamu berdiri itu tanah suci. Aku telah melihat penindasan umat-Ku di Mesir. Aku telah mendengar rintihan mereka, dan telah turun untuk membebaskan mereka. Sekarang marilah, Aku akan mengutusmu ke Mesir.’ Musa inilah yang telah ditolak oleh umat Israel dengan kata-kata, ‘Siapa yang menjadikan kamu pemerintah dan hakim kami?’ Justeru dialah yang diutus Allah sebagai pemerintah dan pembebas, melalui malaikat yang menampakkan diri kepadanya di belukar itu. Musa memimpin orang Israel keluar dari Mesir setelah melakukan pelbagai mukjizat dan keajaiban di Mesir, di Laut Merah dan kemudian di tanah gurun selama empat puluh tahun. Musa inilah yang berkata kepada bangsa Israel, ‘Allah akan membangkitkan untukmu seorang nabi sepertiku daripada kalangan bangsamu.’ Musa inilah yang bersama jemaah yang berhimpun di tanah gurun. Dia di sana berserta nenek moyang kita dan malaikat yang berkata-kata kepadanya di Gunung Sinai. Dialah yang menerima firman hidup, untuk disampaikan kepada kita.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami