KISAH RASUL-RASUL 22:22-30
KISAH RASUL-RASUL 22:22-30 Alkitab Berita Baik (BM)
Sehingga saat itu, orang ramai mendengarkan kata-kata Paulus. Tetapi kemudian mereka mula berseru dengan kuat, “Hapuskan dia! Bunuh dia! Dia tidak layak hidup!” Mereka berteriak-teriak sambil mengebaskan pakaian sehingga debu berterbangan di udara. Komandan pasukan Roma memerintahkan askar-askarnya membawa Paulus ke dalam kubu. Dia menyuruh mereka mencambuk Paulus untuk mengetahui alasan orang Yahudi berteriak sedemikian rupa terhadap dia. Tetapi waktu Paulus telah diikat untuk dicambuk, Paulus berkata kepada pegawai tentera yang berdiri di situ, “Bolehkah seorang warganegara Roma dicambuk sebelum dia diadili?” Apabila pegawai tentera itu mendengar hal ini, dia pergi kepada komandan itu dan berkata, “Apa yang sudah tuan lakukan? Orang ini warganegara Roma!” Oleh itu komandan itu pergi kepada Paulus dan bertanya, “Katakanlah, adakah kamu warganegara Roma?” “Ya,” kata Paulus. Komandan itu berkata pula, “Saya menjadi warganegara Roma dengan membayar wang yang banyak.” Paulus menjawab, “Tetapi saya dilahirkan sebagai warganegara Roma.” Dengan segera askar-askar yang hendak menyoal Paulus berundur. Komandan itu pun takut apabila dia tahu bahawa Paulus warganegara Roma, dan kerana dia sudah merantai Paulus. Tetapi komandan itu hendak mengetahui alasan sebenar yang menyebabkan orang Yahudi menuduh Paulus. Oleh itu, keesokan harinya komandan itu memanggil ketua-ketua imam dan semua anggota Majlis Agama supaya berkumpul. Kemudian dia membuka rantai yang mengikat Paulus lalu menghadapkan Paulus kepada mereka semua.
KISAH RASUL-RASUL 22:22-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka didŭngarlah ulih marika itu dŭngan sabarnya akan dia sampie kapada pŭrkataan ini, lalu bŭrtriaklah marika itu skalian dŭngan swaranya yang nyaring, katanya, Nyahlah akan orang yang dŭmkian ini deri atas bumi, kŭrna tiada patut iya hidop lagi. Maka apabila marika itu bŭrtriak sŭrta mŭmbuangkan pakieannya, dan mŭnyiramkan pasir kaudara, Maka pŭnghulu orang sa’ribu itu pun mŭnyuroh orang mŭmbawa Paulus itu kŭdalam kota, sŭrta disuroh siasat preksa akan dia dŭngan jari ampi, supaya dikŭtahuinya apa sŭbabnya marika itu bŭrtriak mŭlawan akan dia. Maka sŭmŭntara diikat orang akan dia dŭngan tali kulit, maka bŭrkatalah Paulus kapada pŭnghulu orang sa’ratus yang bŭrdiri disitu, Adakah patut angkau mŭnyŭsah akan sa’orang orang Rom dŭngan tiada dipreksai? Maka dŭmi didŭngar ulih pŭnghulu orang sa’ratus itu akan hal yang dŭmkian, maka pŭrgilah iya mŭmbri tahu kapada pŭnghulu orang sa’ribu, katanya, Fikirlah baik baik apakah yang angkau pŭrbuat, kŭrna orang ini orang Rom adanya. Maka datanglah pŭnghulu orang sa’ribu itu, sŭrta bŭrkata kapada Paulus, Katakanlah padaku, iyakah sungguh angkau orang Rom? Maka jawabnya, Bahkan. Maka kata pŭnghulu orang sari’bu itu, Dŭngan harga yang bŭsar aku tŭlah bŭrulih kwasa kŭbibasan itu. Maka kata Paulus, Akan tŭtapi aku tŭlah dipranakkan dŭngan kwasa kŭbibasan itu juga. Sŭbab itu dŭngan skutika itu juga undorlah deripadanya sagala orang yang handak siasat preksa akan dia; maka pŭnghulu orang sa’ribu itu pun kŭtakotanlah, sŭbab dikŭtahuinya, bahwa iya itu orang Rom adanya, tŭgal sudah diikatnya akan dia. Arkian maka pada kaesokkan harinya, sŭbab iya handak mŭngŭtahui kŭtŭntuannya, apa sŭbabnya ditudoh orang Yahudi akan dia, lalu dilŭpaskannya bŭlunggunya, disurohnya sagala kŭpala imam yang bŭsar, dan sagala kŭpala bichara itu datang, maka dibawanyalah Paulus, lalu didirikannya kahadapan marika itu.
KISAH RASUL-RASUL 22:22-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Orang ramai mendengar ucapan Paulus setakat itu, kemudian berseru lantang, “Hapuskan orang begini dari muka bumi, tidak patut dia dibiarkan hidup!” Mereka berteriak-teriak sambil mengebas-ngebas pakaian sehingga debu berterbangan. Ketua pasukan tentera itu menyuruh orangnya membawa Paulus ke dalam kubu. Dia mengarahkan mereka menyebat dan menyoalnya untuk mengetahui mengapa orang ramai berseru-seru demikian tentangnya. Paulus diikat dengan tali kulit lalu dia berkata kepada ketua tentera yang berdiri di situ, “Jika seorang warga negeri Roma belum diadili dan didapati bersalah, berkuasakah kamu menyebatnya?” Apabila ketua tentera itu mendengar kata-kata Paulus, dia pergi memberitahu ketuanya tentang perkara itu. Katanya, “Apa hendak kamu buat? Orang ini warga negeri Roma.” Ketua pasukan tentera itu mendapatkan Paulus lalu berkata, “Katakanlah kepadaku, adakah engkau ini warga negeri Roma?” Paulus menjawab, “Ya.” Ketua pasukan tentera itu berkata, “Aku dapat menjadi warga negeri dengan bayaran yang tinggi.” Paulus menjawab, “Tetapi aku dilahirkan sebagai warga negeri Roma.” Semua orang yang hendak menyoalnya itu berundur, dan ketua pasukan tentera itu ketakutan kerana telah mengikat warga Romawi. Esoknya, untuk mengetahui dengan pasti apa sebabnya Paulus dituduh oleh orang Yahudi, ketua tentera itu meminta imam besar dan semua ahli Majlis Agama berhimpun. Kemudian dia melepaskan Paulus daripada ikatan dan menghadapkannya kepada perhimpunan itu.