KISAH RASUL-RASUL 22:22-30

KISAH RASUL-RASUL 22:22-30 BM

Sehingga saat itu, orang ramai mendengarkan kata-kata Paulus. Tetapi kemudian mereka mula berseru dengan kuat, “Hapuskan dia! Bunuh dia! Dia tidak layak hidup!” Mereka berteriak-teriak sambil mengebaskan pakaian sehingga debu berterbangan di udara. Komandan pasukan Roma memerintahkan askar-askarnya membawa Paulus ke dalam kubu. Dia menyuruh mereka mencambuk Paulus untuk mengetahui alasan orang Yahudi berteriak sedemikian rupa terhadap dia. Tetapi waktu Paulus telah diikat untuk dicambuk, Paulus berkata kepada pegawai tentera yang berdiri di situ, “Bolehkah seorang warganegara Roma dicambuk sebelum dia diadili?” Apabila pegawai tentera itu mendengar hal ini, dia pergi kepada komandan itu dan berkata, “Apa yang sudah tuan lakukan? Orang ini warganegara Roma!” Oleh itu komandan itu pergi kepada Paulus dan bertanya, “Katakanlah, adakah kamu warganegara Roma?” “Ya,” kata Paulus. Komandan itu berkata pula, “Saya menjadi warganegara Roma dengan membayar wang yang banyak.” Paulus menjawab, “Tetapi saya dilahirkan sebagai warganegara Roma.” Dengan segera askar-askar yang hendak menyoal Paulus berundur. Komandan itu pun takut apabila dia tahu bahawa Paulus warganegara Roma, dan kerana dia sudah merantai Paulus. Tetapi komandan itu hendak mengetahui alasan sebenar yang menyebabkan orang Yahudi menuduh Paulus. Oleh itu, keesokan harinya komandan itu memanggil ketua-ketua imam dan semua anggota Majlis Agama supaya berkumpul. Kemudian dia membuka rantai yang mengikat Paulus lalu menghadapkan Paulus kepada mereka semua.