KISAH RASUL-RASUL 21:27-40

KISAH RASUL-RASUL 21:27-40 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila jangka waktu tujuh hari hampir berakhir, beberapa orang Yahudi dari daerah Asia melihat Paulus di dalam Rumah Tuhan. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus. Mereka berseru, “Hai orang Israel, tolong! Inilah orang yang pergi ke serata tempat dan mengajar semua orang menentang bangsa Israel, Taurat Musa, dan Rumah Tuhan ini. Malahan sekarang dia membawa orang bukan Yahudi ke dalam Rumah Tuhan. Dia telah menajiskan tempat yang suci ini!” ( Mereka berkata demikian, kerana mereka nampak Trofimus orang Efesus itu bersama-sama Paulus di kota. Mereka menyangka Paulus telah membawa dia ke dalam Rumah Tuhan.) Seluruh kota itu menjadi kacau-bilau; semua orang berlari bersama-sama dan menangkap Paulus lalu menyeret dia keluar dari Rumah Tuhan. Dengan segera pintu Rumah Tuhan ditutup. Sementara perusuh-perusuh itu cuba membunuh Paulus, komandan pasukan Roma diberitahu bahawa seluruh Yerusalem sedang merusuh. Dengan segera komandan membawa beberapa orang pegawai tentera serta askar, lalu cepat-cepat pergi ke tempat huru-hara itu. Semasa orang ramai itu melihat komandan dengan askarnya, mereka berhenti memukul Paulus. Komandan itu menghampiri Paulus lalu menangkap dia, dan menyuruh orang membelenggu dia dengan dua rantai. Lalu komandan itu bertanya, “Siapakah orang ini, dan apa yang sudah dilakukannya?” Sesetengah orang ramai menjawab begini dan sesetengah yang lain menjawab begitu. Keadaan begitu kacau sehingga komandan itu tidak dapat mengetahui apa yang sebenarnya sudah berlaku. Oleh itu dia menyuruh askarnya membawa Paulus ke dalam kubu. Mereka membawa dia sampai ke tangga, lalu askar-askar itu harus menggotong Paulus kerana orang ramai yang merusuh itu mengamuk. Perusuh-perusuh itu mengikuti Paulus sambil berseru, “Bunuh dia!” Apabila askar-askar hampir sampai ke kubu, Paulus berkata kepada komandan itu, “Bolehkah saya bercakap sebentar dengan tuan?” Komandan itu berkata, “Kamu dapat berbahasa Yunani! Jika demikian kamu bukan orang Mesir yang tempoh hari memulakan pemberontakan dan memimpin empat ribu orang pengganas bersenjata pergi ke padang gurun.” Paulus berkata, “Saya orang Yahudi yang dilahirkan di Tarsus di negeri Kilikia. Saya warga kota yang penting itu. Tolong izinkan saya berucap kepada orang ramai ini.” Komandan itu mengizinkan dia berbuat demikian. Oleh itu Paulus berdiri di tangga dan memberikan isyarat dengan tangan supaya orang ramai diam. Apabila mereka tenang, Paulus berkata-kata kepada mereka dalam bahasa Ibrani.

KISAH RASUL-RASUL 21:27-40 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Shahadan apabila hampir gŭnap tujoh hari itu, maka adalah bŭbrapa orang Yahudi deripada Asia, dŭmi dilihat ulih marika itu akan Paulus dalam ka’abah, maka diharaukannya akan sagala kaum itu, sŭrta ditanganinya akan dia. Sambil bŭrtriak, katanya, Hie sagala orang Israil, tulonglah, iya inilah orang yang mŭngajar orang sana sini atas pŭrkara yang mŭlawan kaum, dan tauret, dan tŭmpat ini; dan lagi iya tŭlah mŭmasokkan bŭbrapa orang Grika kŭdalam ka’abah, sŭrta mŭnŭjiskan tŭmpat suchi ini. (Kŭrna dahulu marika itu tŭlah mŭlihat Trofimus orang Efesus itu sŭrtanya dalam nŭgri, maka adalah pada sangka marika itu Paulus tŭlah mŭmasokkan dia kŭdalam ka’abah.) Maka gŭmparlah dalam nŭgri itu, sŭrta bŭrkrumunlah kaum itu, lalu ditangkapnya akan Paulus dihelakannya kluar ka’abah, maka skutika itu juga pintu ka’abah itu pun tŭrkunchilah. Adapun tŭtkala handak dibunohnya akan dia, lalu datanglah khabar kapada pŭnghulu orang sa’ribu yang mŭmrentahkan pasukan lashkar, bahwa sagala nŭgri Jerusalem pun huru hara adanya, Maka skutika itu juga dibawa ulih pŭnghulu itu bŭbrapa lashkar, dan pŭnghulu orang sa’ratus, lalu bŭrlari datang mŭndapatkan marika itu, maka apabila dilihat ulih marika itu akan pŭnghulu orang sa’ribu itu sŭrta dŭngan sagala lashkar, maka bŭrhŭntilah iya deripada mŭmukol Paulus. Maka tŭtkala itu dihampirinyalah ulih pŭnghulu orang sa’ribu itu, sŭrta ditangkapnya akan Paulus, disurohnya orang bŭlunggukan dia dŭngan dua rantie, sambil iya bŭrtanya, Siapakah orang ini, dan apakah pŭrbuatannya? Maka bŭrtriaklah kaum itu, kata sŭtŭngah bŭgini, kata sŭtŭngah bŭgitu; maka apabila tiada didapatinya kŭtŭntuannya itu, kŭrna huru hara itu, maka disurohnya orang mŭmbawa akan Paulus kŭdalam kota. Maka sŭtlah sampielah kŭtangga kota itu, maka didokonglah ulih lashkar akan dia, kŭrna ditŭmpoh kaum itu. Maka banyaklah orang yang mŭngikot dia, sambil bŭrtriak katanya, Lŭnyapkanlah dia. Adapun apabila Paulus handak dimasokkan kŭdalam kota itu, maka bŭrkatalah iya kapada pŭnghulu orang sa’ribu itu, Bulihkah kiranya aku bŭrkata kata kapadamu? Maka jawab pŭnghulu itu, Tahukah angkau bahsa Grika? Bukankah angkau ini orang Masir itu yang dahulu deripada zaman ini tŭlah mŭmbuat huru hara, sŭrta mŭmbawa ampat ribu orang mŭngamok kluar kŭpadang bŭlantara? Maka jawab Paulus, Adapun aku ini sa’orang Yahudi deri nŭgri Tarsus kabŭnua Celisia, iya itu orang mŭrdehka dalam suatu nŭgri yang tŭrmashor namanya bukannya sŭdikit; maka aku mŭminta izin kapadamu, biarlah aku bŭrkata kata kapada kaum ini. Maka apabila Paulus tŭlah mŭndapat izin, lalu bŭrdirilah iya diatas tangga itu, sŭrta diisharatkannya dŭngan tangannya akan sagala kaum itu; maka tŭtkala sŭnyaplah diam marika itu, lalu bŭrkatalah iya dŭngan bahsa Ibrani pada marika itu dŭmkian bunyinya

KISAH RASUL-RASUL 21:27-40 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Apabila hampir genap tujuh hari, beberapa orang Yahudi dari Asia terpandang Paulus di dalam Bait Suci. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus sambil berseru, “Hai orang Israel, marilah tolong kami! Inilah dia orang yang menyebarkan di merata-rata ajaran yang menghina kaum kita, Taurat dan Bait Suci. Dia juga telah membawa orang Yunani ke dalam Bait Suci, menajiskan tempat suci ini.” Mereka berkata begitu kerana pernah melihat Trofimus orang Efesus bersama Paulus di kota itu lalu mereka menyangka bahawa Paulus telah membawanya ke dalam Bait Suci. Ini menggemparkan semua orang Yahudi di kota itu lalu mereka berlari dan berhimpun mengerumuni Paulus. Mereka menangkapnya dan menyeretnya ke luar Bait Suci. Semua pintu Bait Suci pun segera ditutup. Ketika mereka hendak membunuhnya, ketua pasukan tentera mendengar bahawa seisi kota Yerusalem sedang merusuh. Dia segera membawa beberapa orang ketua tentera dan askar-askar untuk mendapatkan perusuh-perusuh itu. Apabila melihat mereka datang, perusuh-perusuh itu berhenti memukul Paulus. Ketua pasukan tentera itu datang menangkap Paulus, disuruhnya ikat dengan dua rantai. Dia bertanya siapakah dia dan apakah yang telah dilakukannya. Di antara orang ramai itu sesetengah menjawab begini dan sesetengahnya begitu. Oleh sebab ketua pasukan tentera itu tidak dapat memastikan punca huru-hara itu, dia menyuruh orangnya membawa Paulus ke dalam kubu. Setelah sampai ke tangga, askar-askar mengangkat Paulus kerana orang ramai mengganas. Mereka mengikut sambil berseru-seru, “Hapuskan dia!” Ketika Paulus hendak dibawa masuk ke dalam kubu, dia berkata kepada ketua pasukan tentera itu, “Bolehkah aku menyatakan sesuatu kepadamu?” Ketua pasukan tentera itu berkata, “Kamu tahu bahasa Yunani? Bukankah kamu ini orang Mesir yang dahulu mencetuskan pemberontakan dan memimpin empat ribu orang pengganas ke gurun?” Paulus berkata, “Aku ini orang Yahudi dari kota Tarsus di Tanah Kilikia iaitu kota yang agak terkenal, dan aku meminta kamu benarkan aku bercakap kepada orang ramai itu.” Setelah mendapat kebenaran daripada ketua pasukan tentera, Paulus berdiri di atas tangga dan memberikan isyarat dengan tangannya supaya mereka diam. Setelah orang ramai itu senyap, Paulus berucap dalam bahasa Ibrani