KISAH RASUL-RASUL 18:1-17

KISAH RASUL-RASUL 18:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah itu Paulus meninggalkan Atena dan pergi ke Korintus. Di situ dia berjumpa dengan seorang Yahudi bernama Akwila, yang dilahirkan di negeri Pontus. Akwila baru sahaja datang dari Italia dengan isterinya, Priskila. Mereka datang ke Korintus kerana Kaisar Klaudius mengusir semua orang Yahudi dari Roma. Paulus pergi menjumpai Akwila dan Priskila, lalu tinggal dan bekerja bersama-sama mereka, kerana mereka dan Paulus sama-sama menyara hidup dengan membuat khemah. Setiap hari Sabat, Paulus mengadakan perbincangan dengan orang yang berkumpul di rumah ibadat untuk meyakinkan orang Yahudi mahupun orang Yunani tentang Yesus. Setelah Silas dan Timotius tiba dari Makedonia, Paulus menggunakan seluruh masanya untuk memberitakan perkhabaran daripada Allah. Dia memberikan kesaksian kepada orang Yahudi bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah. Tetapi mereka menentang dan menghina Paulus. Oleh itu Paulus mengebaskan debu daripada pakaiannya sebagai amaran kepada mereka dan berkata, “Jika kamu binasa, kamu sendiri yang bertanggungjawab. Aku tidak bertanggungjawab terhadap hal itu. Mulai sekarang aku akan pergi kepada orang bukan Yahudi.” Lalu Paulus meninggalkan mereka dan pergi tinggal di rumah seorang bukan Yahudi yang bernama Titius Yustus. Dia menyembah Allah, dan rumahnya di sebelah rumah ibadat itu. Krispus, ketua rumah ibadat itu dengan semua anggota keluarganya percaya kepada Tuhan Yesus. Banyak orang lain di Korintus juga mendengar berita daripada Allah, dan mereka percaya kepada Yesus lalu dibaptis. Pada suatu malam dalam suatu penglihatan, Tuhan berfirman kepada Paulus, “Janganlah takut! Berkata-katalah terus dan jangan berhenti, kerana Aku menyertai engkau. Tidak seorang pun dapat mencederakan engkau, kerana banyak orang di kota ini umat-Ku.” Oleh itu Paulus tinggal di Korintus selama setahun setengah, dan mengajarkan perkhabaran daripada Allah kepada orang di situ. Semasa Galio menjadi gabenor negeri Akhaya, orang Yahudi bersatu padu untuk menangkap Paulus dan membawa dia ke hadapan gabenor untuk diadili. Mereka mengajukan tuduhan ini, “Orang ini berusaha mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Allah dengan cara yang bertentangan dengan hukum kami!” Apabila Paulus hendak menjawab, Galio berkata kepada orang Yahudi di situ, “Jika perkara ini tentang kesalahan atau perbuatan jenayah, bolehlah aku bersabar dan mendengarkan aduan kamu. Tetapi kamu bertengkar tentang kata dan nama serta hukum kamu sendiri. Oleh itu kamu harus menyelesaikan masalah itu sendiri. Aku tidak mahu mengadili perkara semacam ini!” Lalu Galio mengusir mereka ke luar. Kemudian mereka menangkap Sostenes, ketua rumah ibadat itu lalu memukul dia di hadapan mahkamah. Tetapi Galio sama sekali tidak mempedulikan hal itu.

KISAH RASUL-RASUL 18:1-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SHAHADAN kumdian deri pada sagala pŭrkara ini, maka kluarlah Paulus deri Athen, lalu sampielah kanŭgri Korinthus. Maka didapatinyalah disana sa’orang Yahudi yang bŭrnama Akila, iya itu dipranakkan dinŭgri Pontus, bahru datang deri bŭnua Italia, sŭrta dŭngan istrinya yang bŭrnama Priskila; sŭbab Kiesar Klaudius tŭlah bŭrtitah mŭngundorkan sagala orang Yahudi deri nŭgri Rom; maka datanglah Paulus kapada marika itu. Maka sŭbab sama pŭnchariannya, tinggallah iya bŭrsama sama dŭngan marika itu, sŭrta bŭkŭrjalah, kŭrna pŭncharian marika itu mŭnjadi tukang mŭmbuat khemah. Bŭrmula maka adalah pada tiap tiap hari sabtu Paulus mŭngajar dalam kŭnisa, dan mŭmbujok orang Yahudi dan orang Grika. Adapun apabila Silas dan Timothius datanglah deri Makadonia, maka bŭrgŭraklah hati Paulus, sambil iya bŭrsaksi kapada orang Yahudi, bahwa Isa itulah Almasih adanya. Tŭtapi apabila marika itu mŭlawan akan dia sŭrta mŭnghujat, maka dikŭbaskannyalah pakieannya, sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Bahwa kŭbinasaanmu tŭrtanggonglah ka’atas kŭpalamu juga, aku tŭlah suchilah; maka skarang pun aku handak pŭrgi kapada orang sŭsat. ¶ Maka sŭtlah sudah iya lalu deri sana, masoklah iya kŭrumah sa’orang yang bŭrnama Jastus, iya itu sa’orang bŭrbakti kapada Allah, maka rumahnya itu pun adalah bŭrhubong dŭngan kŭnisa. Maka adapun Krispus pŭnghulu kŭnisa itu, sŭrta sagala isi rumahnya pun pŭrchayalah akan Tuhan, maka bŭbrapa orang Korinthus yang mŭnŭngar itu pun pŭrchayalah, sŭrta dibaptisakan dia. Maka bŭrfŭrmanlah Tuhan kapada Paulus dalam suatu pŭnglihatan pada malam, Bahwa janganlah angkau takot, mŭlainkan ajarkan juga; janganlah bŭrdiam dirimu. Kŭrna aku ini ada bŭsŭrta dŭngan dikau, maka barang sa’orang jua pun tiada dapat mŭlanggar, atau mŭndatangkan bahya ka’atasmu, kŭrna kaumku ada banyak dalam nŭgri ini. Maka dudoklah iya disana sa’tahun anam bulan lamanya mŭngajar pŭrkataan Allah diantara marika itu. ¶ Sŭbarmula maka tŭtkala Gallio mŭnjadi pŭnghulu dibŭnua Akaia, maka bŭrbangkitlah sagala orang Yahudi dŭngan satu hati mŭlawan Paulus, sŭrta dibawanya akan dia katŭmpat bichara. Katanya, Bahwa orang inilah mŭngajak manusia mŭnyŭmbah Allah atas jalan yang mŭlawan tauret. Maka apabila Paulus pun handak mumbuka mulotnya, maka bŭrkatalah Gallio kapada orang orang Yahudi, Kalau bichara derihal kŭsalahan, atau putar balik, bulihlah aku tahu dŭngan kamu mŭnurot akal. Tŭtapi jikalau ini suatu sual derihal pŭrkataan, atau nama nama, atau hukum agama, lihatlah kamu sŭndiri juga, aku tiada mahu mŭnjadi hakim atas pŭrkara yang dŭmkian ini. Lalu dihalaukannyalah akan marika itu deri tŭmpat bichara. Maka ditangkap ulih orang Grika akan Sosthenis pŭnghulu kŭnisa itu, lalu dipukolnya akan dia dihadapan tŭmpat bichara; tŭtapi tiada dipŭdulikan ulih Gallio akan sagala pŭrkara ini.

KISAH RASUL-RASUL 18:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Seterusnya Paulus berangkat dari Atena ke Korintus. Apabila tiba di situ, dia bertemu dengan seorang Yahudi bernama Akwila, yang lahir di kota Pontus. Dia baru datang dari Itali dengan isterinya Priskila, kerana Klaudius telah menitahkan semua orang Yahudi keluar dari Roma. Paulus pergi menemui mereka lalu tinggal dan bekerja bersama mereka kerana mata pencarian mereka sama iaitu sebagai tukang khemah. Pada setiap hari Sabat, Paulus berhujah di saumaah untuk meyakinkan orang Yahudi dan juga orang Yunani menjadi murid Yesus. Setelah Silas dan Timotius sampai di situ dari Makedonia, Paulus menumpukan masa kepada usaha menyampaikan firman Allah serta memberikan kesaksian kepada orang Yahudi bahawa Yesus itulah Kristus. Akan tetapi, mereka menentang dan mencelanya; maka Paulus mengebaskan debu daripada pakaiannya lalu berkata, “Darahmu tertumpah ke atas kepalamu sendiri, aku tidak bertanggungjawab; aku bersih. Dari sekarang aku hendak pergi kepada orang bangsa asing.” Paulus pun berpindah ke rumah Titus Yustus, seorang yang menyembah Allah; rumahnya bersebelahan dengan saumaah. Krispus, ketua saumaah itu, serta seisi rumahnya, percaya kepada Tuhan Yesus; ramai lagi orang Korintus turut mendengar dan percaya lalu dibaptiskan. Pada suatu malam Tuhan berfirman kepada Paulus dalam satu penglihatan, “Jangan takut, berkata-katalah terus dan jangan berhenti, kerana Aku menyertaimu. Tiada seorang pun akan dapat mencederakanmu, kerana ramai orang di kota ini umat-Ku.” Paulus tinggal di situ setahun setengah sambil menyebarkan firman Allah kepada orang di situ. Semasa Galio menjadi pemerintah negeri Akhaya, orang Yahudi bangkit dengan sehati melawan Paulus lalu membawanya ke muka pengadilan. Mereka berkata, “Orang ini cuba mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Allah dengan cara yang bercanggah dengan hukum Taurat.” Apabila Paulus hendak menjawab, Galio berkata, “Hai orang Yahudi, jika perkara ini tentang kesalahan atau jenayah, patutlah aku bersabar mendengarnya; tetapi jika pertikaianmu tentang perkataan, nama dan hukummu hendaklah kamu menyelesaikannya sendiri; aku tidak mahu mengadili perkara yang demikian.” Lalu Galio mengusir mereka keluar dari tempat pengadilan itu. Kemudian mereka menangkap Sostenes, ketua saumaah, lalu memukulnya di hadapan tempat pengadilan itu, tetapi Galio tidak menghiraukannya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami