Kisah Para Rasul 18:1-17

Kisah Para Rasul 18:1-17 AVB

Seterusnya Paulus berangkat dari Atena ke Korintus. Apabila tiba di situ, dia bertemu dengan seorang Yahudi bernama Akwila, yang lahir di kota Pontus. Dia baru datang dari Itali dengan isterinya Priskila, kerana Klaudius telah menitahkan semua orang Yahudi keluar dari Roma. Paulus pergi menemui mereka lalu tinggal dan bekerja bersama mereka kerana mata pencarian mereka sama iaitu sebagai tukang khemah. Pada setiap hari Sabat, Paulus berhujah di saumaah untuk meyakinkan orang Yahudi dan juga orang Yunani menjadi murid Yesus. Setelah Silas dan Timotius sampai di situ dari Makedonia, Paulus menumpukan masa kepada usaha menyampaikan firman Allah serta memberikan kesaksian kepada orang Yahudi bahawa Yesus itulah Kristus. Akan tetapi, mereka menentang dan mencelanya; maka Paulus mengebaskan debu daripada pakaiannya lalu berkata, “Darahmu tertumpah ke atas kepalamu sendiri, aku tidak bertanggungjawab; aku bersih. Dari sekarang aku hendak pergi kepada orang bangsa asing.” Paulus pun berpindah ke rumah Titus Yustus, seorang yang menyembah Allah; rumahnya bersebelahan dengan saumaah. Krispus, ketua saumaah itu, serta seisi rumahnya, percaya kepada Tuhan Yesus; ramai lagi orang Korintus turut mendengar dan percaya lalu dibaptiskan. Pada suatu malam Tuhan berfirman kepada Paulus dalam satu penglihatan, “Jangan takut, berkata-katalah terus dan jangan berhenti, kerana Aku menyertaimu. Tiada seorang pun akan dapat mencederakanmu, kerana ramai orang di kota ini umat-Ku.” Paulus tinggal di situ setahun setengah sambil menyebarkan firman Allah kepada orang di situ. Semasa Galio menjadi pemerintah negeri Akhaya, orang Yahudi bangkit dengan sehati melawan Paulus lalu membawanya ke muka pengadilan. Mereka berkata, “Orang ini cuba mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Allah dengan cara yang bercanggah dengan hukum Taurat.” Apabila Paulus hendak menjawab, Galio berkata, “Hai orang Yahudi, jika perkara ini tentang kesalahan atau jenayah, patutlah aku bersabar mendengarnya; tetapi jika pertikaianmu tentang perkataan, nama dan hukummu hendaklah kamu menyelesaikannya sendiri; aku tidak mahu mengadili perkara yang demikian.” Lalu Galio mengusir mereka keluar dari tempat pengadilan itu. Kemudian mereka menangkap Sostenes, ketua saumaah, lalu memukulnya di hadapan tempat pengadilan itu, tetapi Galio tidak menghiraukannya.