2 SAMUEL 11:2-15
2 SAMUEL 11:2-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada suatu petang, setelah Raja Daud bangun daripada tidur, baginda pergi berjalan-jalan di bumbung istana yang rata. Dari situ baginda nampak seorang wanita sedang mandi, dan wanita itu sangat cantik. Kemudian Raja Daud menyuruh orang menanyakan siapa wanita itu. Raja Daud diberitahu bahawa wanita itu Batsyeba anak Eliam, isteri Uria orang Het. Raja Daud menyuruh orang menjemput Batsyeba. Setelah Batsyeba tiba di istana, Raja Daud berseketiduran dengan dia. (Pada masa itu Batsyeba baru sahaja selesai melakukan upacara penyucian diri selepas haid.) Kemudian Batsyeba pulang ke rumahnya. Beberapa waktu kemudian Batsyeba mendapati dirinya hamil, lalu dia mengirim khabar tentang hal itu kepada Raja Daud. Kemudian Raja Daud mengirim perintah kepada Yoab, “Suruhlah Uria orang Het itu datang menghadap beta.” Lalu Yoab menyuruh Uria pergi menghadap Raja Daud. Apabila Uria sampai, Raja Daud bertanya kepadanya tentang keadaan Yoab dan tentera Israel, dan keadaan peperangan. Kemudian Raja Daud bertitah kepada Uria, “Pulanglah ke rumahmu dan berehatlah sebentar.” Setelah Uria meninggalkan istana, Raja Daud mengirim hadiah ke rumah Uria. Tetapi Uria tidak pulang ke rumahnya. Malam itu dia tidur di pintu gerbang istana bersama-sama para pengawal raja. Apabila Raja Daud diberitahu bahawa Uria tidak pulang ke rumahnya, baginda bertanya kepadanya, “Tidakkah engkau baru pulang dari perjalanan jauh? Mengapa engkau tidak pulang ke rumahmu?” Uria menjawab, “Tentera Israel dan Yehuda sedang berjuang di medan peperangan, dan Tabut Perjanjian TUHAN ada bersama-sama mereka. Yoab, panglima kami dan para pegawai tenteranya juga sedang berkhemah di padang terbuka. Bagaimana mungkin hamba pulang, makan minum, dan tidur dengan isteri hamba? Hamba bersumpah demi tuanku bahawa hamba tidak akan melakukan hal itu!” Raja Daud bertitah kepadanya, “Jika demikian, tinggallah di sini hari ini. Esok beta akan mengizinkan engkau pulang.” Oleh itu Uria tinggal di Yerusalem pada hari itu. Keesokan harinya Raja Daud menjemput Uria ke jamuan malam dan membuatnya mabuk. Tetapi malam itu juga Uria tidak pulang ke rumahnya, melainkan tidur beralaskan selimutnya di dalam bilik pengawal istana. Esok paginya Raja Daud menulis sepucuk surat kepada Yoab, dan menitipkan surat itu kepada Uria. Demikianlah kandungan surat itu, “Suruhlah Uria pergi ke barisan hadapan, tempat pertempuran yang paling sengit. Setelah itu perintahkanlah pasukanmu undur tanpa pengetahuan Uria, supaya Uria terbunuh.”
2 SAMUEL 11:2-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada suatu petang, Daud bangun dari tempat tidurnya lalu berjalan-jalan di atas bumbung istana raja, dan dari atap itu dia terlihat seorang perempuan yang sedang mandi. Sangat cantiknya perempuan itu. Lalu Daud menyuruh orang untuk bertanya tentang perempuan itu. Kata orang, “Bukankah itu Batsyeba anak Eliam, isteri Uria, orang Het?” Setelah itu, Daud mengirim beberapa orang utusan untuk menjemputnya lalu datanglah perempuan itu kepadanya. Raja Daud meniduri perempuan itu (yang baru sahaja menyucikan diri daripada kenajisannya.) Kemudian pulanglah perempuan itu ke rumahnya. Beberapa waktu kemudian perempuan itu mengandung. Disuruhnya orang untuk memberitahukan hal itu kepada Daud, katanya, “Aku mengandung.” Kemudian Daud mengirim perutusan kepada Yoab, “Suruhlah Uria, orang Het itu, datang kepadaku.” Lalu Yoab menyuruh Uria untuk menghadap Daud. Setelah Uria sampai di hadapannya, bertanyalah Daud tentang keadaan Yoab, tentang keadaan pasukan, dan tentang keadaan peperangan itu. Kemudian kata Daud kepada Uria, “Pulanglah ke rumahmu dan basuhlah kakimu.” Maka keluarlah Uria dari istana raja, lalu yang menyusulnya ialah pemberian daripada raja. Akan tetapi, Uria tidur di muka pintu istana raja bersama semua hamba tuannya. Dia tidak pulang ke rumahnya. Ketika mereka memberitahu Daud, “Uria tidak pulang ke rumahnya,” bertanyalah Daud kepada Uria, “Bukankah engkau baru datang dari perjalanan? Mengapakah engkau tidak pulang ke rumahmu?” Jawab Uria kepada Daud, “Tabut Allah, orang Israel, dan orang Yehuda tinggal di pondok-pondok. Juga tuanku Yoab dan para pegawai tuanku berkhemah di padang terbuka. Bolehkah hamba balik sahaja ke rumah hamba untuk makan, minum, dan tidur dengan isteri hamba? Demi hidup tuanku dan demi nyawa tuanku, hamba tidak akan melakukan hal itu!” Lalu kata Daud kepada Uria, “Tinggallah di sini hari ini lagi. Esok aku akan mengutus engkau pergi.” Maka tinggallah Uria di Yerusalem pada hari itu dan juga keesokan harinya. Lalu Daud mengundangnya untuk makan dan minum di hadapannya, lalu Daud membuatnya mabuk. Malam itu keluarlah dia untuk berbaring di tempat tidurnya bersama-sama para hamba tuannya, tetapi dia tidak pulang ke rumahnya. Pada pagi harinya, Daud menulis sepucuk surat kepada Yoab dan mengirimkannya dengan perantaraan Uria. Dalam surat itu ditulisnya demikian, “Tempatkanlah Uria di barisan hadapan di medan peperangan yang paling sengit, dan jauhkanlah dirimu daripadanya. Biarkan dia diserang dan mati.”