Pada suatu petang, Daud bangun dari tempat tidurnya lalu berjalan-jalan di atas bumbung istana raja, dan dari atap itu dia terlihat seorang perempuan yang sedang mandi. Sangat cantiknya perempuan itu. Lalu Daud menyuruh orang untuk bertanya tentang perempuan itu. Kata orang, “Bukankah itu Batsyeba anak Eliam, isteri Uria, orang Het?” Setelah itu, Daud mengirim beberapa orang utusan untuk menjemputnya lalu datanglah perempuan itu kepadanya. Raja Daud meniduri perempuan itu (yang baru sahaja menyucikan diri daripada kenajisannya.) Kemudian pulanglah perempuan itu ke rumahnya. Beberapa waktu kemudian perempuan itu mengandung. Disuruhnya orang untuk memberitahukan hal itu kepada Daud, katanya, “Aku mengandung.”
Kemudian Daud mengirim perutusan kepada Yoab, “Suruhlah Uria, orang Het itu, datang kepadaku.” Lalu Yoab menyuruh Uria untuk menghadap Daud. Setelah Uria sampai di hadapannya, bertanyalah Daud tentang keadaan Yoab, tentang keadaan pasukan, dan tentang keadaan peperangan itu. Kemudian kata Daud kepada Uria, “Pulanglah ke rumahmu dan basuhlah kakimu.” Maka keluarlah Uria dari istana raja, lalu yang menyusulnya ialah pemberian daripada raja. Akan tetapi, Uria tidur di muka pintu istana raja bersama semua hamba tuannya. Dia tidak pulang ke rumahnya. Ketika mereka memberitahu Daud, “Uria tidak pulang ke rumahnya,” bertanyalah Daud kepada Uria, “Bukankah engkau baru datang dari perjalanan? Mengapakah engkau tidak pulang ke rumahmu?”
Jawab Uria kepada Daud, “Tabut Allah, orang Israel, dan orang Yehuda tinggal di pondok-pondok. Juga tuanku Yoab dan para pegawai tuanku berkhemah di padang terbuka. Bolehkah hamba balik sahaja ke rumah hamba untuk makan, minum, dan tidur dengan isteri hamba? Demi hidup tuanku dan demi nyawa tuanku, hamba tidak akan melakukan hal itu!”
Lalu kata Daud kepada Uria, “Tinggallah di sini hari ini lagi. Esok aku akan mengutus engkau pergi.” Maka tinggallah Uria di Yerusalem pada hari itu dan juga keesokan harinya. Lalu Daud mengundangnya untuk makan dan minum di hadapannya, lalu Daud membuatnya mabuk. Malam itu keluarlah dia untuk berbaring di tempat tidurnya bersama-sama para hamba tuannya, tetapi dia tidak pulang ke rumahnya.
Pada pagi harinya, Daud menulis sepucuk surat kepada Yoab dan mengirimkannya dengan perantaraan Uria. Dalam surat itu ditulisnya demikian, “Tempatkanlah Uria di barisan hadapan di medan peperangan yang paling sengit, dan jauhkanlah dirimu daripadanya. Biarkan dia diserang dan mati.”