2 Samuel 11
11
Raja Daud bermukah dengan Batsyeba
1 # 1Taw 20:1. Pada musim bunga, iaitu masa raja-raja mara untuk berperang, Daud mengutus Yoab dan para pegawainya serta seluruh orang Israel untuk berperang. Mereka menggempur bani Amon dan mengepung Kota Raba. Namun begitu, Daud sendiri tidak turut mara tetapi tinggal di Yerusalem.
2Pada suatu petang, Daud bangun dari tempat tidurnya lalu berjalan-jalan di atas bumbung istana raja, dan dari atap itu dia terlihat seorang perempuan yang sedang mandi. Sangat cantiknya perempuan itu. 3Lalu Daud menyuruh orang untuk bertanya tentang perempuan itu. Kata orang, “Bukankah itu Batsyeba anak Eliam, isteri Uria, orang Het?” 4Setelah itu, Daud mengirim beberapa orang utusan untuk menjemputnya lalu datanglah perempuan itu kepadanya. Raja Daud meniduri perempuan itu (yang baru sahaja menyucikan diri daripada kenajisannya.) Kemudian pulanglah perempuan itu ke rumahnya. 5Beberapa waktu kemudian perempuan itu mengandung. Disuruhnya orang untuk memberitahukan hal itu kepada Daud, katanya, “Aku mengandung.”
6Kemudian Daud mengirim perutusan kepada Yoab, “Suruhlah Uria, orang Het itu, datang kepadaku.” Lalu Yoab menyuruh Uria untuk menghadap Daud. 7Setelah Uria sampai di hadapannya, bertanyalah Daud tentang keadaan Yoab, tentang keadaan pasukan, dan tentang keadaan peperangan itu. 8Kemudian kata Daud kepada Uria, “Pulanglah ke rumahmu dan basuhlah kakimu.” Maka keluarlah Uria dari istana raja, lalu yang menyusulnya ialah pemberian daripada raja. 9Akan tetapi, Uria tidur di muka pintu istana raja bersama semua hamba tuannya. Dia tidak pulang ke rumahnya. 10Ketika mereka memberitahu Daud, “Uria tidak pulang ke rumahnya,” bertanyalah Daud kepada Uria, “Bukankah engkau baru datang dari perjalanan? Mengapakah engkau tidak pulang ke rumahmu?”
11Jawab Uria kepada Daud, “Tabut Allah, orang Israel, dan orang Yehuda tinggal di pondok-pondok. Juga tuanku Yoab dan para pegawai tuanku berkhemah di padang terbuka. Bolehkah hamba balik sahaja ke rumah hamba untuk makan, minum, dan tidur dengan isteri hamba? Demi hidup tuanku dan demi nyawa tuanku, hamba tidak akan melakukan hal itu!”
12Lalu kata Daud kepada Uria, “Tinggallah di sini hari ini lagi. Esok aku akan mengutus engkau pergi.” Maka tinggallah Uria di Yerusalem pada hari itu dan juga keesokan harinya. 13Lalu Daud mengundangnya untuk makan dan minum di hadapannya, lalu Daud membuatnya mabuk. Malam itu keluarlah dia untuk berbaring di tempat tidurnya bersama-sama para hamba tuannya, tetapi dia tidak pulang ke rumahnya.
14Pada pagi harinya, Daud menulis sepucuk surat kepada Yoab dan mengirimkannya dengan perantaraan Uria. 15Dalam surat itu ditulisnya demikian, “Tempatkanlah Uria di barisan hadapan di medan peperangan yang paling sengit, dan jauhkanlah dirimu daripadanya. Biarkan dia diserang dan mati.” 16Jadi, ketika Yoab mengepung kota itu, dia menempatkan Uria di tempat yang diketahuinya bertumpu para kesateria yang gagah perkasa. 17Lalu orang kota itu keluar memerangi Yoab. Maka gugurlah beberapa orang daripada kalangan anak buah Daud termasuk Uria, orang Het itu.
18Maka Yoab pun mengutus orang untuk menyampaikan segala hal ehwal peperangan itu kepada Daud. 19Kepada pesuruh itu dia mengamanatkan demikian, “Setelah engkau selesai menyampaikan segala hal ehwal peperangan ini kepada raja, 20dan jika raja menjadi murka sehingga dia berkata kepadamu, ‘Mengapakah kamu begitu dekat ke kota itu untuk berperang? Tidakkah kamu tahu bahawa mereka akan memanah dari atas tembok? 21#Hak 9:53.Siapakah yang membunuh Abimelekh anak Yerubeset? Bukankah seorang perempuan, yang menjatuhkan sebuah batu kisaran kepadanya dari atas tembok sehingga dia tewas di Tebes? Mengapakah kamu mendekati tembok itu?’ maka jawablah, ‘Hambamu Uria, orang Het itu, juga telah gugur.’ ”
22Maka pergilah pesuruh itu. Setelah tiba, diberitahunya kepada Daud segala sesuatu yang diamanatkan Yoab kepadanya. 23Kata pesuruh itu kepada Daud, “Sesungguhnya, orang itu lebih kuat daripada kami dan mereka keluar menyerang kami di padang. Namun demikian, kami melawan mereka sampai ke muka pintu gerbang. 24Lalu para pemanah memanah hamba-hambamu dari atas tembok, sehingga beberapa orang hamba tuanku gugur. Hambamu Uria, orang Het itu, juga telah gugur.”
25Kemudian berkatalah Daud kepada pesuruh itu, “Beginilah harus kaukatakan kepada Yoab, ‘Janganlah susah hatimu kerana hal itu, kerana pedang memang makan korban, entah yang ini atau yang itu. Perhebatlah peperanganmu untuk melawan kota itu, dan runtuhkanlah.’ Engkau juga harus menguatkan hatinya.”
26Ketika isteri Uria mendengar bahawa Uria, suaminya, telah gugur, dia pun meratapi suaminya itu. 27Setelah masa berkabung selesai, Daud mengutus orang untuk menjemput dia ke istananya. Lalu perempuan itu menjadi isterinya dan melahirkan seorang anak lelaki baginya. Akan tetapi, di mata TUHAN, sangat keji hal yang dilakukan Daud itu.
Terpilih Sekarang Ini:
2 Samuel 11: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited