2 KORINTUS 7:2-11
2 KORINTUS 7:2-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Sambutlah kami di hati kamu. Kami tidak bersalah terhadap sesiapa pun, atau merosakkan iman orang, ataupun merugikan orang lain. Aku berkata demikian bukannya untuk menyalahkan kamu, kerana aku pernah berkata bahawa kami sangat mengasihi kamu dan bersedia sehidup semati. Aku mempunyai keyakinan penuh terhadap kamu dan aku bangga sekali dengan kamu. Meskipun kami mengalami banyak kesukaran, aku tetap bersemangat dan penuh kegembiraan. Apabila kami tiba di Makedonia, kami tidak sempat melepaskan lelah. Di mana-mana sahaja kami menemui kesukaran: pertengkaran dengan orang lain, dan kecemasan dalam hati. Tetapi syukurlah, kerana Allah yang sentiasa menggalakkan orang yang lemah semangat, telah membesarkan hati kami dengan kedatangan Titus. Kami terhibur bukan sahaja kerana kedatangannya, tetapi juga kerana laporannya bahawa kamu telah menggalakkan dia. Titus memberitahu kami bahawa kamu ingin berjumpa dengan aku, bahawa kamu menyesali perbuatan kamu dan bahawa sekarang kamu bersedia membela aku. Hal itu menjadikan aku lebih bersukacita lagi. Meskipun suratku telah menyedihkan hati kamu, aku tidak menyesal menulisnya. Memang aku agak menyesal ketika kamu bersedih hati kerana suratku itu, meskipun kesedihan itu hanya untuk sementara. Tetapi sekarang aku bersukacita - bukan kerana aku telah menyedihkan hati kamu, tetapi kerana kesedihan itu sudah mengubah kelakuan kamu. Kesedihan itu sejalan dengan kehendak Allah. Oleh itu kami tidak merugikan kamu, kerana kesedihan seperti itu menghasilkan perubahan hati yang mendatangkan penyelamatan. Hal itu tidak perlu disesalkan. Sebaliknya, kesedihan yang sejalan dengan kehendak manusia mengakibatkan kematian. Lihatlah hasil daripada kesedihan kamu yang sejalan dengan kehendak Allah: Kamu betul-betul berusaha untuk membuktikan bahawa kamu tidak bersalah. Kamu marah kepada apa yang sudah berlaku dan kamu takut akan apa yang mungkin berlaku. Kamu rindu akan aku, kamu sangat ingin membela aku, dan rela menghukum yang bersalah. Dalam semua hal itu kamu sudah menunjukkan bahawa kamu tidak bersalah.
2 KORINTUS 7:2-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Trimalah akan kami; tiada kami mŭmbuat salah pada barang sa’orang, dan tiada kami mŭrosakkan barang sa’orang, tiada kami mŭmpŭrdayakan barang sa’orang. Maka bukannya aku bŭrkata ini sŭbab handak mŭnyalahkan kamu; kŭrna dahulu sudah ada pŭrkataanku, adapun kamu adalah dalam hati kami handak mati dan hidop bŭrsama sama. Brani bŭsarlah pŭrkataanku kapada kamu, dan bŭsarlah kamulianku deripadamu: maka aku tŭlah pŭnohlah dŭngan pŭnghiburan, dan aku tŭrsangatlah gŭmar dalam sagala kasukaran kami. Kŭrna apabila kami masok kadalam nŭgri Makadonia, maka tiadalah dapat pŭrhŭntian tuboh kami, mŭlainkan kami mŭndapat kasukaran bŭrkŭliling; bahwa pada lahirnya pŭprangan, dan pada batinnya katakotan. Kandatilah, Allah yang tŭlah mŭnghiburkan akan sagala orang yang bŭrsusah itu, maka iya tŭlah juga mŭnghiburkan kami ulih kadatangan Titus. Maka bukannya sŭbab kadatangannya sahja, mŭlainkan ulih sŭbab kasukaan yang tŭlah dihiburkannya kŭrna kamu, apabila iya mŭmbri tahu kapada kami akan rindu kamu sangat, dan pŭrkabongan ka mu, dan rajin hati kamu akan daku; sahingga tŭrlebihlah aku tŭrmasa. Kŭrna jikalau aku tŭlah mŭnyusahkan kamu ulih surat kirimanku itu, skalipun tiada aku mŭnyŭsal, jikalau aku sudah mŭnyŭsal skalipun: kŭrna aku mŭlihat surat kiriman itu sudah mŭnyusahkan kamu pada sa’kutika sahja. Skarang aku tŭlah tŭrmasa bukannya sŭbab kamu tŭlah susah, mŭlainkan sŭbab kamu tŭlah bŭrduka sampie bŭrtaubat: sŭdang kamu tŭlah mŭnjadi bŭrduka chara jalan Allah, supaya kamu kŭlak tidak mŭndapat barang suatu karugian ulih sŭbab kami. Kŭrna duka chita chara jalan Allah itu, iya itu mŭndatangkan taubat yang mŭmbawa kapada slamat yang tiada patut disŭsalkan: tŭtapi duka chita chara jalan dunia ini, iya itu mŭmbawa kapada maut. Kŭrna tengoklah bahwa pŭrkara yang dŭmkian inilah, iya itu duka chita kamu chara jalan Allah, bŭtapa yakin tŭlah jadi dalam hati kamu, bahkan, bŭtapa suchi jadi dirimu, bahkan, bŭtapa pŭchah hati, bahkan, bŭtapa kŭtakotan, bahkan, bŭtapa rindu dŭndam, bahkan, bŭtapa rajin, bahkan, bŭtapa balasan! Maka dalam sagala pŭrkara kamu tŭlah mŭnyatakandirimu suchi deripada hal ini.
2 KORINTUS 7:2-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Berikanlah tempat bagi kami dalam hatimu. Kami tidak pernah berbuat salah kepada sesiapa. Kami tidak pernah merosakkan iman atau memperalatkan sesiapa. Aku berkata demikian bukan untuk menyalahkan kamu, kerana tadi aku menyatakan bahawa kamu telah mendapat tempat dalam hati kami, maka kita sehidup semati. Aku sangat mempercayaimu dan berbangga denganmu. Aku sangat terhibur, dan dalam segala kesusahan kami, hatiku dipenuhi kegembiraan. Setelah sampai di Makedonia, ternyata kami langsung tidak mengalami ketenangan dalam batin. Kami menanggung pelbagai kesusahan: persengketaan dari luar, dan ketakutan dalam diri sendiri. Tetapi Allah, yang menghibur orang yang putus asa, menghibur kami dengan kedatangan Titus. Bukan kedatangannya sahaja yang menghibur, malah juga penghiburan yang didapatinya keranamu. Dia bercerita kepada kami tentang kerinduanmu, penyesalanmu, dan kesungguhan semangatmu menyokongku, yang lebih menggembirakan lagi hatiku. Walaupun aku telah menyedihkanmu dengan surat yang kukirim, aku tidak menyesal. Pada suatu ketika memang aku menyesal, kerana jelas sekali surat itu telah menyedihkanmu, biarpun untuk beberapa detik. Tetapi kini aku gembira, bukan kerana kamu bersedih, tetapi kerana kesedihanmu itu membawa taubat. Ertinya, memanglah kamu bersedih, tetapi hal itu selaras dengan kehendak Allah, maka kami tidaklah merugikanmu. Kesedihan yang selaras dengan kehendak Allah membawa taubat dan penyelamatan, maka tidak harus disesali. Sebaliknya, kesedihan dari dunia ini membawa maut. Perhatikan bahawa kesedihanmu itu selaras dengan kehendak Allah. Betapa hebatnya yang dicetuskan dalam dirimu: kesungguhan, keinginan membersihkan diri daripada tuduhan, kemarahan, ketakutan, kerinduan, semangat, dan usaha menegakkan keadilan. Dari segala segi kamu telah membuktikan dirimu suci dalam hal ini.