2 Korintus 7:2-11

2 Korintus 7:2-11 AVB

Berikanlah tempat bagi kami dalam hatimu. Kami tidak pernah berbuat salah kepada sesiapa. Kami tidak pernah merosakkan iman atau memperalatkan sesiapa. Aku berkata demikian bukan untuk menyalahkan kamu, kerana tadi aku menyatakan bahawa kamu telah mendapat tempat dalam hati kami, maka kita sehidup semati. Aku sangat mempercayaimu dan berbangga denganmu. Aku sangat terhibur, dan dalam segala kesusahan kami, hatiku dipenuhi kegembiraan. Setelah sampai di Makedonia, ternyata kami langsung tidak mengalami ketenangan dalam batin. Kami menanggung pelbagai kesusahan: persengketaan dari luar, dan ketakutan dalam diri sendiri. Tetapi Allah, yang menghibur orang yang putus asa, menghibur kami dengan kedatangan Titus. Bukan kedatangannya sahaja yang menghibur, malah juga penghiburan yang didapatinya keranamu. Dia bercerita kepada kami tentang kerinduanmu, penyesalanmu, dan kesungguhan semangatmu menyokongku, yang lebih menggembirakan lagi hatiku. Walaupun aku telah menyedihkanmu dengan surat yang kukirim, aku tidak menyesal. Pada suatu ketika memang aku menyesal, kerana jelas sekali surat itu telah menyedihkanmu, biarpun untuk beberapa detik. Tetapi kini aku gembira, bukan kerana kamu bersedih, tetapi kerana kesedihanmu itu membawa taubat. Ertinya, memanglah kamu bersedih, tetapi hal itu selaras dengan kehendak Allah, maka kami tidaklah merugikanmu. Kesedihan yang selaras dengan kehendak Allah membawa taubat dan penyelamatan, maka tidak harus disesali. Sebaliknya, kesedihan dari dunia ini membawa maut. Perhatikan bahawa kesedihanmu itu selaras dengan kehendak Allah. Betapa hebatnya yang dicetuskan dalam dirimu: kesungguhan, keinginan membersihkan diri daripada tuduhan, kemarahan, ketakutan, kerinduan, semangat, dan usaha menegakkan keadilan. Dari segala segi kamu telah membuktikan dirimu suci dalam hal ini.