2 KORINTUS 11:22-33

2 KORINTUS 11:22-33 Alkitab Berita Baik (BM)

Adakah mereka orang Ibrani? Aku pun orang Ibrani. Adakah mereka orang Israel? Aku pun orang Israel. Adakah mereka keturunan Abraham? Aku pun keturunan Abraham. Adakah mereka hamba Kristus? Mungkin kedengarannya aku ini gila, tetapi aku ini hamba yang lebih baik daripada mereka. Aku bekerja lebih keras, aku lebih sering dipenjarakan, aku lebih sering disesah dan aku kerap kali menghadapi maut. Lima kali aku disesah orang Yahudi dengan pukulan cambuk tiga puluh sembilan kali. Tiga kali aku disesah orang Roma, dan pernah direjam satu kali. Tiga kali aku mengalami nahas kapal karam dan satu kali aku terapung-apung di laut selama dua puluh empat jam. Aku sering berpergian dan dalam perjalanan, aku pernah menghadapi bahaya banjir dan perompak, bahaya daripada orang Yahudi dan bukan Yahudi, bahaya di dalam bandar mahupun di gurun, bahaya di laut, dan bahaya daripada orang yang berpura-pura menjadi pengikut Kristus. Aku bekerja mati-matian, kerap kali tidak makan, tidak minum dan tidak tidur, lapar, kesejukan kerana kurang pakaian dan tidak mempunyai tempat tinggal. Di samping kesusahan yang lain, setiap hari aku mengkhuatirkan keadaan jemaah di semua tempat. Apabila seseorang lemah, aku berasa lemah juga. Apabila seseorang berdosa, aku juga bersedih hati. Jika aku mesti berbangga, aku akan berbangga dengan hal-hal yang menunjukkan kelemahanku. Allah, Bapa Tuhan Yesus tahu bahawa aku tidak berdusta. Terpujilah nama-Nya selama-lamanya. Ketika aku di Damsyik, gabenor yang dilantik oleh Raja Aretas memerintahkan askar-askarnya menjaga pintu kota untuk menangkap aku. Tetapi dengan sebuah keranjang aku dihulurkan ke bawah melalui suatu lubang pada tembok kota. Demikianlah aku menyelamatkan diri daripadanya.

2 KORINTUS 11:22-33 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Orang Ibranikah marika itu? Aku pun Ibrani. Orang Israilkah marika itu? Aku pun orang Israil. Bŭnih deripada Ibrahimkah marika itu? Aku pun dŭmkian juga. Utus utusan Almasihkah marika itu? Aku bŭrkata chara orang bodoh, bahwa aku ini lebih pula; maka dalam kalŭlahan tŭrlebih pula lagi; dalam kŭna kŭna palu ta’dapat tŭrkira kira, dalam pŭnjara, tŭrlebih kŭrap; derihal mati kŭrap kali. Aku sudah trima deripada orang Yahudi lima kali ampat puloh korang asa sŭsah. Tiga kali aku sudah kŭna palu, skali aku kŭna rŭjam, tiga kali aku sudah pŭchah kapal, sa’hari sa’malam lamanya aku ditŭngah arongan; Kŭrap kali pada pŭrjalanan, dalam bŭbrapa bahya ayer, bŭbrapa bahya pŭnyamun, dalam bŭbrapa bahya orang sa’bangsa dŭngan aku, dalam bŭbrapa bahya orang sŭsat, bŭbrapa bahya dalam nŭgri, bŭbrapa bahya dalam padang bŭlantara, bŭbrapa bahya dalam laut, bŭbrapa bahya diantara saudara saudara yang dusta. Dalam kalŭlahan dan kasusahan, dŭngan bŭrjaga kŭrap kali, lapar dan dahga, puasa kŭrap kali, kŭna dingin dan tŭlanjang. Lain pula deripada pŭrkara yang lahir itu yang datang kapadaku tiap tiap hari, iya itu tanggongan sagala sidang jŭmaah itu. Siapa ta’da lŭmah? maka aku pun lŭmah juga. Siapa yang ta’da shak? maka aku pun mŭnyalah hatiku. Maka jikalau kiranya patut aku mŭmŭgahkan diriku, maka aku handak mŭmŭgahkan akan pŭrkara pŭrkara derihal kŭlŭmahanku. Allah Ayah Tuhan kami Isa Almasih yang bŭrbahgia slama lamanya, ma’lomlah iya, bahwa bukannya aku bŭrdusta. Bahwa dalam nŭgri Damsek, pŭnghulu raja Aretas tŭlah mŭnyuroh mŭngawali pintu nŭgri orang Damsek itu dŭngan sa’pasukan rayat handak ditangkapnya aku. Maka deripada suatu jŭnela aku ini dihulorkan deri tembok didalam suatu bakol, maka tŭrlŭpaslah aku deripada tangannya.

2 KORINTUS 11:22-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Adakah mereka berbangga kerana mereka orang Ibrani? Aku juga begitu. Kerana mereka bangsa Israel? Aku juga begitu. Kerana mereka keturunan Abraham? Aku juga begitu. Kerana mereka para pelayan Kristus? Aku berkata sebagai orang bodoh: Aku lebih lagi! Aku lebih banyak bertungkus-lumus, lebih kerap disebat, lebih sering dipenjarakan, selalu sahaja diancam maut. Lima kali, sebanyak empat puluh kurang satu sebatan setiap kalinya, aku disebat oleh orang Yahudi. Tiga kali aku dipukul dengan tongkat, sekali direjam, tiga kali ditimpa kejadian kapal karam, dan sehari semalam terkatung-katung di laut. Dalam perjalanan, sering kali aku menghadapi bahaya; bahaya dari sungai, bahaya daripada penyamun, bahaya daripada bangsaku sendiri orang Yahudi, bahaya daripada bangsa-bangsa lain, bahaya di kota, bahaya di gurun, bahaya di laut, dan bahaya daripada orang yang berpura-pura sebagai saudara seiman. Aku sering keletihan bekerja keras, kurang tidur, kelaparan dan kehausan. Kerap kali aku terpaksa mengikat perut, menanggung kesejukan, kekurangan pakaian. Di samping itu, setiap hari aku dibebani rasa runsing dan prihatin terhadap semua jemaah. Jika seseorang lemah, tidakkah aku turut merasakan kelemahannya? Jika seseorang tersandung, masakan hatiku tidak sengsara kerananya! Sekiranya aku hendak berbangga, aku akan berbangga tentang kelemahan-kelemahanku. Allah, Bapa Tuhan Yesus yang terpuji selama-lamanya, tahu bahawa aku tidak berdusta. Gabenor kota Damsyik, di bawah pemerintahan Raja Aretas, menyuruh agar kota itu dijaga oleh tentera, untuk menangkapku. Tetapi aku diturunkan di dalam sebuah bakul melalui sebuah jendela di tembok kota itu, lalu aku terlepas daripada tangannya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami