2 Korintus 11:22-33

2 Korintus 11:22-33 AVB

Adakah mereka berbangga kerana mereka orang Ibrani? Aku juga begitu. Kerana mereka bangsa Israel? Aku juga begitu. Kerana mereka keturunan Abraham? Aku juga begitu. Kerana mereka para pelayan Kristus? Aku berkata sebagai orang bodoh: Aku lebih lagi! Aku lebih banyak bertungkus-lumus, lebih kerap disebat, lebih sering dipenjarakan, selalu sahaja diancam maut. Lima kali, sebanyak empat puluh kurang satu sebatan setiap kalinya, aku disebat oleh orang Yahudi. Tiga kali aku dipukul dengan tongkat, sekali direjam, tiga kali ditimpa kejadian kapal karam, dan sehari semalam terkatung-katung di laut. Dalam perjalanan, sering kali aku menghadapi bahaya; bahaya dari sungai, bahaya daripada penyamun, bahaya daripada bangsaku sendiri orang Yahudi, bahaya daripada bangsa-bangsa lain, bahaya di kota, bahaya di gurun, bahaya di laut, dan bahaya daripada orang yang berpura-pura sebagai saudara seiman. Aku sering keletihan bekerja keras, kurang tidur, kelaparan dan kehausan. Kerap kali aku terpaksa mengikat perut, menanggung kesejukan, kekurangan pakaian. Di samping itu, setiap hari aku dibebani rasa runsing dan prihatin terhadap semua jemaah. Jika seseorang lemah, tidakkah aku turut merasakan kelemahannya? Jika seseorang tersandung, masakan hatiku tidak sengsara kerananya! Sekiranya aku hendak berbangga, aku akan berbangga tentang kelemahan-kelemahanku. Allah, Bapa Tuhan Yesus yang terpuji selama-lamanya, tahu bahawa aku tidak berdusta. Gabenor kota Damsyik, di bawah pemerintahan Raja Aretas, menyuruh agar kota itu dijaga oleh tentera, untuk menangkapku. Tetapi aku diturunkan di dalam sebuah bakul melalui sebuah jendela di tembok kota itu, lalu aku terlepas daripada tangannya.