1 KORINTUS 9:19-27

1 KORINTUS 9:19-27 Alkitab Berita Baik (BM)

Aku orang bebas dan aku bukan hamba sesiapa pun. Tetapi aku menjadikan diriku hamba kepada semua orang, supaya aku dapat memimpin banyak orang menjadi pengikut Kristus. Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang Yahudi, aku berlaku seperti orang Yahudi supaya dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang yang mentaati Taurat Musa, aku berlaku seperti orang yang terikat kepada Taurat, walaupun sebenarnya aku tidak terikat kepada Taurat. Aku melakukannya supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi, aku berlaku seperti orang bukan Yahudi, yang tidak terikat kepada Taurat orang Yahudi. Aku melakukannya supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Tetapi hal ini tidak bererti bahawa aku tidak taat kepada hukum Allah; sebenarnya aku dikuasai oleh hukum Kristus. Di kalangan orang yang tidak yakin akan kepercayaan mereka, aku pun berlaku seperti mereka, supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Oleh itu aku menyesuaikan diri dengan keadaan semua orang, supaya dengan segala cara aku dapat menyelamatkan beberapa orang daripada mereka. Semua itu aku lakukan untuk Berita Baik, supaya aku dapat menerima berkatnya juga. Kamu tentu tahu bahawa dalam lumba lari, semua peserta mengambil bahagian dalam perlumbaan, tetapi hanya seorang yang menerima hadiah. Oleh itu larilah sedemikian rupa sehingga kamu mendapat hadiah itu. Setiap ahli sukan yang sedang menjalani latihan harus mematuhi disiplin yang ketat. Dia melakukannya kerana dia ingin mendapat hadiah kejuaraan, walaupun hadiah itu akan rosak. Kita pun seperti ahli sukan yang mematuhi disiplin yang ketat supaya mendapat hadiah kejuaraan yang tidak akan rosak. Itulah sebabnya aku lari terus ke garis penamat. Seperti petinju, aku tidak mahu mensia-siakan tumbukanku. Aku melatih diri dengan giat supaya aku dapat menguasai diri. Aku berbuat demikian, supaya aku tidak ditolak, setelah aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang lain.

1 KORINTUS 9:19-27 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Kŭrna sungguh pun aku bibas deripada sagala manusia, tŭtapi aku pŭrhambakan diriku kapada sagala orang, supaya aku bulih mŭndapat lagi orang. Maka pada orang Yahudi aku tŭlah mŭnjadikan diriku spŭrti orang Yahudi, supaya aku bulih mŭndapat orang Yahudi; dan kapada orang dibawah hukum tauret bagie orang yang dibawah tauret, supaya aku bulih mŭndapat orang yang dibawah hukum tauret itu. Maka kapada orang yang diluar tauret itu spŭrti orang yang diluar hukum tauret itu, supaya aku bulih mŭndapat orang yang diluar hukum tauret itu; bukannya aku diluar hukum Allah, mŭlainkan dibawah hukum Almasih. Maka kapada orang lŭmah aku tŭlah mŭnjadi spŭrti lŭmah, supaya aku mŭndapat orang lŭmah; maka aku tŭlah mŭnjadi sagala pŭrkara kapada sagala orang, supaya aku bulih mŭmliharakan bŭbrapa orang dŭngan sagala upaya. Adapun aku bŭrbuat ini kŭrna Injil, supaya aku bulih mŭndapat sama pŭrulihan dŭngan kamu. Maka tiadakah kamu kŭtahui bahwa sagala orang yang bŭrlumba lumbalah sŭmua, tŭtapi sa’orang sahja mŭndapat upah? Maka bŭrlumbalah dŭmkian, supaya kamu pun bŭrulih itu. Maka masing masing orang yang bŭrkŭras kŭrasan itu, kŭrna handak mŭnjadi kŭpala, maka iya itu hemat dalam sagala pŭrkara; skarang pun dipŭrbuatnya itu akan mŭndapat suatu mahkota kabinasaan, tŭtapi kamu ini suatu mahkota yang tiada kabinasaan. Sŭbab itu aku bŭrlumba dŭmkian, bukan dŭngan tiada bŭrkatŭntuan; dŭmkian aku mŭnyŭrang bukan spŭrti sa’orang mŭmukol angin. Tŭtapi aku sakitkan diriku, dan mŭna’lokkan dia dibawah prentah dŭngan sŭbulih bulihnya, apabila aku tŭlah mŭngajar orang orang lain, asal janganlah aku sŭndiri kŭlak jadi tŭrbuang.

1 KORINTUS 9:19-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Aku orang merdeka, bukan hamba sesiapa. Tetapi aku memperhambakan diri kepada semua orang supaya aku dapat menawan hati ramai orang. Bagi orang Yahudi, aku berlaku seperti orang Yahudi supaya aku dapat menawan hati orang Yahudi. Bagi orang yang terikat kepada Taurat, aku berlaku seperti orang yang terikat kepada Taurat, padahal aku tidak terikat kepada Taurat. Aku berbuat demikian supaya aku dapat menawan hati mereka. Bagi orang yang tidak terikat kepada Taurat, aku berlaku seperti orang yang tidak terikat kepada Taurat. Aku berbuat demikian supaya aku dapat menawan hati mereka. Ini tidaklah bermakna aku tidak taat akan hukum Allah. Sebenarnya aku dikuasai oleh hukum Kristus. Bagi mereka yang lemah, aku berlaku lemah untuk menawan hati mereka. Aku menjadi segala-galanya kepada semua orang supaya dengan sedaya upaya aku dapat menyelamatkan seramai mungkin. Aku melakukan semua ini untuk Injil, semoga aku juga turut mendapat berkatnya. Sebagaimana kamu tahu, dalam lumba lari, semua peserta mengambil bahagian tetapi hanya seorang yang mendapat hadiah. Oleh yang demikian, berlarilah, hingga menerima hadiah. Setiap ahli sukan yang bertanding dalam sukan berlatih dengan gigih, kerana ingin mendapat mahkota, walaupun mahkota itu tidak kekal. Tetapi kita menjalani latihan yang ketat untuk mendapat mahkota yang kekal. Oleh itu, aku terus-menerus lari ke garis penamat. Juga seperti ahli tinju, aku tidak mahu mensia-siakan tumbukanku. Aku bersungguh-sungguh melatih tubuhku, untuk menguasai diri, supaya aku tidak ditolak setelah mengkhabarkan Injil kepada orang lain.