1 Korintus 9:19-27

1 Korintus 9:19-27 AVB

Aku orang merdeka, bukan hamba sesiapa. Tetapi aku memperhambakan diri kepada semua orang supaya aku dapat menawan hati ramai orang. Bagi orang Yahudi, aku berlaku seperti orang Yahudi supaya aku dapat menawan hati orang Yahudi. Bagi orang yang terikat kepada Taurat, aku berlaku seperti orang yang terikat kepada Taurat, padahal aku tidak terikat kepada Taurat. Aku berbuat demikian supaya aku dapat menawan hati mereka. Bagi orang yang tidak terikat kepada Taurat, aku berlaku seperti orang yang tidak terikat kepada Taurat. Aku berbuat demikian supaya aku dapat menawan hati mereka. Ini tidaklah bermakna aku tidak taat akan hukum Allah. Sebenarnya aku dikuasai oleh hukum Kristus. Bagi mereka yang lemah, aku berlaku lemah untuk menawan hati mereka. Aku menjadi segala-galanya kepada semua orang supaya dengan sedaya upaya aku dapat menyelamatkan seramai mungkin. Aku melakukan semua ini untuk Injil, semoga aku juga turut mendapat berkatnya. Sebagaimana kamu tahu, dalam lumba lari, semua peserta mengambil bahagian tetapi hanya seorang yang mendapat hadiah. Oleh yang demikian, berlarilah, hingga menerima hadiah. Setiap ahli sukan yang bertanding dalam sukan berlatih dengan gigih, kerana ingin mendapat mahkota, walaupun mahkota itu tidak kekal. Tetapi kita menjalani latihan yang ketat untuk mendapat mahkota yang kekal. Oleh itu, aku terus-menerus lari ke garis penamat. Juga seperti ahli tinju, aku tidak mahu mensia-siakan tumbukanku. Aku bersungguh-sungguh melatih tubuhku, untuk menguasai diri, supaya aku tidak ditolak setelah mengkhabarkan Injil kepada orang lain.