Kemudian aku nampak di langit sesuatu yang ajaib, luar biasa, dan menghairankan. Ada tujuh malaikat yang bertugas mendatangkan tujuh bencana terakhir ke atas bumi. Dengan ketujuh-tujuh bencana itu hukuman Allah akan berakhir. Kemudian aku nampak sesuatu yang kelihatannya seperti lautan kaca bercampur api. Aku juga melihat semua orang yang telah mengalahkan binatang itu dan patungnya, serta mengalahkan orang yang namanya dilambangkan oleh nombor. Semua orang itu berdiri di tepi lautan kaca sambil memegang kecapi yang diberikan oleh Allah. Mereka menyanyikan nyanyian Musa, hamba Allah, dan nyanyian Anak Domba, “Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa, perbuatan-Mu sungguh agung dan menakjubkan! Raja semua bangsa, alangkah adil dan benar tindakan-Mu! Siapakah yang tidak takut kepada-Mu, ya Tuhan? Siapakah yang tidak mahu mengisytiharkan keagungan-Mu? Hanya Engkau yang suci. Semua bangsa akan datang menyembah Engkau, kerana tindakan-Mu yang adil dilihat oleh semua orang.” Setelah itu aku melihat Rumah Tuhan di syurga terbuka dan Khemah Tuhan ada di dalamnya. Tujuh malaikat yang bertugas mendatangkan tujuh bencana ke atas bumi, keluar dari Rumah Tuhan. Mereka mengenakan pakaian daripada kain linen yang bersih dan berkilauan. Dada mereka dililiti pengikat daripada emas. Kemudian salah satu daripada empat makhluk itu memberi tujuh malaikat itu tujuh buah mangkuk emas yang penuh dengan kemurkaan Allah, iaitu Allah yang hidup selama-lamanya. Rumah Allah dipenuhi oleh asap daripada kemuliaan dan kekuasaan Allah. Tidak seorang pun dapat masuk ke dalam Rumah Allah sehingga tujuh bencana yang didatangkan oleh tujuh malaikat itu berakhir.
Baca WAHYU 15
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: WAHYU 15:1-8
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video