BILANGAN 36

36
Warisan Perempuan yang sudah Berkahwin
1Ketua-ketua keluarga puak Gilead anak Makhir, iaitu cucu Manasye anak Yusuf, menghadap Musa dan pemimpin-pemimpin yang lain. 2 Mereka berkata, “TUHAN sudah memerintah tuan membahagikan tanah Kanaan kepada umat Israel dengan membuang undi. TUHAN sudah memerintahkan juga supaya tuan memberikan warisan Zelafehad, saudara kami, kepada anak-anak perempuannya. 3Tetapi ingatlah, jika anak-anak perempuannya itu berkahwin dengan lelaki daripada suku lain, warisan mereka akan dimiliki suku lain. Oleh yang demikian, kuranglah tanah wilayah yang ditentukan bagi kami. 4Pada Tahun Pengembalian, pada masa seluruh harta milik yang telah dijual dikembalikan kepada pemilik yang mula-mula, tanah warisan anak-anak perempuan Zelafehad itu akan menjadi pusaka suku orang yang dikahwini mereka. Dengan demikian suku kami akan kehilangan tanah itu.”
5Oleh itu Musa memberi umat Israel perintah TUHAN ini. Musa berkata, “Apa yang dikatakan oleh suku Manasye itu memang benar. 6Inilah perintah TUHAN: Anak-anak perempuan Zelafehad berhak berkahwin dengan sesiapa pun, asal orang yang dikahwini itu daripada suku mereka sendiri. 7Warisan tiap-tiap orang Israel akan tetap menjadi warisan sukunya. 8Tiap-tiap perempuan yang sudah menerima warisan daripada sukunya, mesti berkahwin dengan lelaki daripada sukunya sendiri. Dengan jalan ini, tiap-tiap orang Israel akan mewarisi tanah pusaka nenek moyangnya, 9dan pusaka itu tidak akan beralih dari satu suku ke suku yang lain. Tiap-tiap suku akan terus memiliki tanah pusakanya sendiri.”
10-11Oleh itu anak-anak perempuan Zelafehad iaitu Mahla, Tirza, Hogla, Milka, dan Noa pun melakukan apa yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Mereka berkahwin dengan saudara sepupu mereka sendiri. 12Mereka berkahwin dengan orang daripada puak-puak suku Manasye anak Yusuf. Dengan itu, tanah pusaka mereka tetap dimiliki suku bapa mereka.
13Itulah semua ketetapan dan peraturan yang diberikan TUHAN kepada umat Israel melalui Musa, semasa mereka di dataran Moab, di seberang Sungai Yordan, bertentangan dengan kota Yerikho.

Terpilih Sekarang Ini:

BILANGAN 36: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami