ULANGAN 1
1
Pendahuluan
1Kitab ini mengandungi kata-kata yang disampaikan oleh Musa kepada umat Israel semasa mereka di padang gurun di Lembah Yordan. Lembah itu terletak di sebelah timur Sungai Yordan, dekat kota Suf, di antara kota Paran di satu sisi dan kota Tofel, Laban, Hazerot, dan Di-Zahab di sisi lain. ( 2Perjalanan dari Gunung Sinai ke Kades-Barnea melalui daerah perbukitan Edom, memakan waktu sebelas hari.) 3Pada hari pertama bulan kesebelas dalam tahun keempat puluh selepas mereka meninggalkan Mesir, Musa memberitahu umat Israel segala yang diperintahkan TUHAN kepadanya, untuk disampaikan kepada mereka. 4 Hal ini berlaku setelah TUHAN mengalahkan Raja Sihon, raja orang Amori, yang memerintah di kota Hesybon, dan juga Raja Og, raja Basan, yang memerintah di kota Asytarot dan Edrei. 5Pada masa umat Israel berada di sebelah timur Sungai Yordan di kawasan Moab, Musa mula menjelaskan hukum dan ajaran Allah.
Musa berkata, 6“Semasa kita di Gunung Sinai, TUHAN, Allah kita berfirman, ‘Sudah cukup lama kamu tinggal di gunung ini. 7Sekarang bongkarlah perkhemahan kamu, dan pergilah ke kawasan perbukitan orang Amori dan ke seluruh daerah di sekitarnya: ke Lembah Yordan, ke kawasan perbukitan dan dataran rendah, ke daerah di bahagian selatan, dan ke pantai Laut Tengah. Pergilah ke tanah Kanaan dan ke Pergunungan Lebanon sampai ke Sungai Efrat, sungai yang besar itu. 8Aku, TUHAN, sudah berjanji untuk memberikan seluruh tanah itu kepada nenek moyang kamu Abraham, Ishak, dan Yakub, serta keturunan mereka. Pergilah dan dudukilah tanah itu.’ ”
Musa Melantik Hakim-Hakim
(Kel 18.13-27)
9Musa berkata kepada umat itu, “Semasa kita di Gunung Sinai, aku berkata kepada kamu, ‘Tanggungjawab untuk memimpin kamu terlalu berat bagiku. Aku tidak sanggup melakukannya seorang diri. 10TUHAN, Allah kamu sudah menjadikan kamu sebanyak bintang di langit. 11Semoga TUHAN, Allah nenek moyang kamu, melipatgandakan jumlah kamu sampai seribu kali ganda, dan menjadikan kamu makmur seperti yang dijanjikan-Nya! 12Tetapi bagaimana mungkin aku seorang dapat memikul tanggungjawab yang berat untuk menyelesaikan pertikaian kamu? 13Pilihlah beberapa orang lelaki yang bijaksana, arif, dan berpengalaman daripada tiap-tiap suku, supaya aku melantik mereka menjadi pemimpin kamu.’ 14Kamu bersetuju bahawa hal itu baik untuk dilaksanakan. 15Oleh itu aku melantik beberapa orang yang bijaksana dan berpengalaman, yang sudah kamu pilih daripada tiap-tiap suku supaya menjadi pemimpin kamu. Ada beberapa orang di kalangan mereka yang bertanggungjawab atas seribu orang, yang lain atas seratus orang, atas lima puluh orang, dan juga atas sepuluh orang. Aku juga melantik pegawai-pegawai lain di kalangan suku-suku kamu.
16Pada masa itu aku menasihatkan mereka, ‘Dengarkanlah baik-baik pertikaian yang berlaku di kalangan bangsa kamu. Hakimilah tiap-tiap pertikaian dengan adil, baik yang berkaitan dengan bangsa kamu sendiri, mahupun dengan orang asing yang tinggal di kalangan kamu. 17Jangan berat sebelah apabila kamu membuat keputusan; hakimilah tiap-tiap orang dengan menggunakan dasar yang sama, tidak kira siapa orang itu. Jangan takut akan sesiapa pun, kerana keputusan yang kamu buat itu keputusan daripada Allah. Jika ada perkara yang terlalu sukar bagi kamu, serahkanlah perkara itu kepadaku; aku akan membuat keputusan bagi perkara itu.’ 18Pada masa itu juga aku memberikan petunjuk kepada kamu tentang segala perkara lain yang harus kamu lakukan.”
Pengintip yang Dikirim dari Kades-Barnea
(Bil 13.1-33)
19“Kita melaksanakan perintah TUHAN, Allah kita. Kita meninggalkan Gunung Sinai, lalu berjalan melalui padang gurun yang luas dan menakutkan, serta menuju kawasan perbukitan negeri orang Amori. Apabila kita sampai di Kades-Barnea, 20-21aku berkata, ‘Sekarang, kamu sudah sampai di kawasan perbukitan negeri orang Amori, tanah yang hendak diberikan kepada kita oleh TUHAN, Allah kita, Allah nenek moyang kita. Lihatlah, tanah itu terbentang di hadapan kamu. Pergilah dan dudukilah tanah itu sebagaimana yang diperintahkan Allah. Jangan bimbang ataupun takut.’
22Tetapi kamu datang kepadaku dan berkata, ‘Marilah kita menyuruh beberapa orang mendahului kita untuk mengintip tanah itu, supaya mereka boleh memberitahu kita jalan terbaik yang harus diikuti, dan keadaan kota-kota di sana.’
23Cadangan itu nampaknya baik. Oleh itu aku memilih dua belas orang, seorang daripada tiap-tiap suku. 24Mereka pergi ke kawasan perbukitan sampai ke Lembah Eskol, lalu menjelajahi tempat itu. 25Mereka membawa balik buah-buahan untuk kita, dan melaporkan bahawa tanah yang akan diberikan oleh TUHAN, Allah kita kepada kita itu sangat subur.
26 Tetapi kamu membantah perintah TUHAN, Allah kamu, dan tidak mahu pergi ke tanah itu. 27Kamu bersungut-sungut sesama sendiri sambil berkata, ‘TUHAN membenci kita. Dia membawa kita keluar dari Mesir semata-mata untuk menyerahkan kita kepada orang Amori, supaya mereka membunuh kita. 28Mengapa kita harus pergi ke sana? Kita takut. Pengintip-pengintip yang kita kirim itu memberitahu kita bahawa orang di sana lebih kuat dan lebih tinggi daripada kita. Orang di sana tinggal di kota-kota yang temboknya setinggi langit. Pengintip-pengintip itu nampak raksasa di sana!’
29Tetapi aku berkata, ‘Jangan takut kepada orang di sana. 30TUHAN, Allah kamu akan memimpin kamu. Dia akan berperang untuk kamu, seperti yang sudah kamu nampak sendiri di Mesir 31 dan di padang gurun. Kamu sudah melihat cara Dia memimpin kamu dengan selamat di sepanjang perjalanan ke tempat ini, seperti seorang bapa menggendong anaknya.’ 32 Tetapi biarpun aku berkata demikian, kamu tetap tidak mahu percaya kepada TUHAN, 33walaupun Dia selalu berjalan di hadapan kamu untuk mencari tempat berkhemah bagi kamu. Dia berada di hadapan kamu dalam tiang api pada waktu malam dan dalam tiang awan pada waktu siang, untuk menunjukkan jalan kepada kamu.
TUHAN Menghukum Israel
(Bil 14.20-45)
34TUHAN mendengar sungutan kamu lalu Dia murka. Dia berfirman, 35 ‘Tidak seorang pun antara kamu daripada generasi yang jahat ini akan pergi ke tanah yang subur itu, yang sudah Aku janjikan untuk diberikan kepada nenek moyang kamu. 36Hanya Kaleb anak Yefune akan pergi ke sana, kerana dia tetap setia kepada-Ku. Aku akan memberi Kaleb dan keturunannya tanah yang sudah dijelajahinya.’ 37Oleh sebab kamu, TUHAN juga murka kepadaku lalu berfirman, ‘Musa, engkau pun tidak akan pergi ke tanah itu. 38Tetapi kuatkanlah hati pembantumu, Yosua anak Nun, kerana dia akan memimpin Israel untuk menduduki tanah itu.’
39Kemudian TUHAN berfirman kepada kita semua, ‘Anak-anak kamu yang masih terlalu muda untuk membezakan yang benar daripada yang salah, akan pergi ke tanah itu, iaitu anak-anak yang kamu katakan akan ditangkap oleh musuh. Aku akan memberikan tanah itu kepada mereka, dan mereka akan mendudukinya. 40Tetapi kamu, berpalinglah dan baliklah semula ke padang gurun melalui jalan yang menuju Teluk Akaba.’
41Kamu menjawab, ‘Musa, kami sudah berdosa terhadap TUHAN. Tetapi sekarang kami akan maju berperang sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN, Allah kita.’ Kemudian setiap orang di kalangan kamu bersiap untuk pergi berperang, dan berfikir bahawa mudah sahaja untuk menakluki kawasan perbukitan itu.
42Tetapi TUHAN berfirman kepadaku, ‘Jangan biarkan mereka pergi berperang kerana Aku tidak akan menyertai mereka, dan musuh akan mengalahkan mereka.’ 43Aku menyampaikan firman TUHAN itu kepada kamu, tetapi kamu tidak mengendahkannya. Kamu memberontak terhadap TUHAN, dan dengan sombong kamu pergi ke kawasan perbukitan untuk berperang. 44Kemudian orang Amori yang tinggal di kawasan perbukitan itu keluar menyerang kamu. Mereka bagaikan kawanan lebah yang mengusir kamu. Mereka mengejar kamu sampai ke Horma, lalu mengalahkan kamu di kawasan perbukitan negeri Edom. 45Kemudian kamu kembali dan berseru kepada TUHAN untuk minta tolong, tetapi Dia tidak mendengarkan ataupun memperhatikan kamu.”
Tahun-Tahun di Padang Gurun
46“Selepas itu kita tinggal di Kades lama sekali.
Terpilih Sekarang Ini:
ULANGAN 1: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.