MARKUS 12:28-44

MARKUS 12:28-44 BM

Di situ ada seorang guru Taurat yang mendengar perbincangan mereka. Dia melihat bahawa Yesus telah menjawab soalan orang Saduki dengan baik. Oleh itu dia bertanya kepada Yesus, “Perintah manakah yang paling utama di antara semua perintah?” Yesus menjawab, “Inilah perintah yang paling utama, ‘Dengarlah, hai bangsa Israel! Tuhan Allah kita, Dialah Tuhan Yang Esa. Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan seluruh akalmu, dan dengan segala kekuatanmu.’ Perintah yang kedua ialah, ‘Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Tiada lagi perintah lain yang lebih utama daripada kedua-dua perintah ini.” Guru Taurat itu berkata kepada Yesus, “Bagus, guru! Memang benar apa yang guru katakan: Tuhanlah Allah Yang Esa dan tidak ada yang lain. Manusia harus mengasihi Allah dengan sepenuh hati, dengan seluruh akal, dan dengan segala kekuatannya. Dia juga harus mengasihi sesama manusia seperti dia mengasihi diri sendiri. Mematuhi kedua-dua perintah ini lebih mustahak daripada mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan dan korban-korban lain.” Yesus melihat bahawa guru Taurat itu menjawab dengan bijak. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Kamu tidak jauh daripada Pemerintahan Allah.” Selepas itu tidak seorang pun berani mengajukan pertanyaan kepada Yesus. Sewaktu Yesus mengajar di Rumah Tuhan, Dia bertanya, “Bagaimanakah guru Taurat boleh mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud? Sedangkan Daud, ketika diilhami oleh Roh Allah, berkata, ‘Tuhan telah berfirman kepada Tuhanku: duduklah di sebelah kanan-Ku sehingga Aku menakluki musuh-Mu ke bawah kaki-Mu.’ Daud menyebut Penyelamat yang diutus oleh Allah itu ‘Tuhan’. Bagaimana mungkin Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud?” Orang ramai di Rumah Tuhan suka mendengar ajaran Yesus. Sewaktu Yesus mengajar mereka, Dia berkata, “Berhati-hatilah dengan guru Taurat. Mereka suka berjalan-jalan dengan memakai jubah panjang, dan suka dihormati orang di pasar. Mereka memilih tempat terbaik di dalam rumah ibadat dan di majlis jamuan. Mereka memperdaya balu serta merampas rumah mereka, kemudian pura-pura berdoa dengan berpanjangan. Mereka akan menerima hukuman yang amat berat!” Sewaktu Yesus duduk dekat peti persembahan di Rumah Tuhan, Dia memerhati orang memasukkan wang ke dalam peti itu. Sebilangan besar orang kaya memasukkan banyak wang. Lalu seorang balu yang miskin datang dan memasukkan dua keping mata wang tembaga yang sangat kecil nilainya. Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu berkata kepada mereka, “Ketahuilah, balu yang miskin ini memberikan persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain. Semua orang lain memberikan persembahan daripada kelebihan kekayaan mereka, tetapi balu ini, walaupun dia sangat miskin, memberikan segala yang ada padanya - dia mendermakan semua nafkahnya.”