MARKUS 12:28-44

MARKUS 12:28-44 Alkitab Berita Baik (BM)

Di situ ada seorang guru Taurat yang mendengar perbincangan mereka. Dia melihat bahawa Yesus telah menjawab soalan orang Saduki dengan baik. Oleh itu dia bertanya kepada Yesus, “Perintah manakah yang paling utama di antara semua perintah?” Yesus menjawab, “Inilah perintah yang paling utama, ‘Dengarlah, hai bangsa Israel! Tuhan Allah kita, Dialah Tuhan Yang Esa. Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan seluruh akalmu, dan dengan segala kekuatanmu.’ Perintah yang kedua ialah, ‘Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Tiada lagi perintah lain yang lebih utama daripada kedua-dua perintah ini.” Guru Taurat itu berkata kepada Yesus, “Bagus, guru! Memang benar apa yang guru katakan: Tuhanlah Allah Yang Esa dan tidak ada yang lain. Manusia harus mengasihi Allah dengan sepenuh hati, dengan seluruh akal, dan dengan segala kekuatannya. Dia juga harus mengasihi sesama manusia seperti dia mengasihi diri sendiri. Mematuhi kedua-dua perintah ini lebih mustahak daripada mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan dan korban-korban lain.” Yesus melihat bahawa guru Taurat itu menjawab dengan bijak. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Kamu tidak jauh daripada Pemerintahan Allah.” Selepas itu tidak seorang pun berani mengajukan pertanyaan kepada Yesus. Sewaktu Yesus mengajar di Rumah Tuhan, Dia bertanya, “Bagaimanakah guru Taurat boleh mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud? Sedangkan Daud, ketika diilhami oleh Roh Allah, berkata, ‘Tuhan telah berfirman kepada Tuhanku: duduklah di sebelah kanan-Ku sehingga Aku menakluki musuh-Mu ke bawah kaki-Mu.’ Daud menyebut Penyelamat yang diutus oleh Allah itu ‘Tuhan’. Bagaimana mungkin Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud?” Orang ramai di Rumah Tuhan suka mendengar ajaran Yesus. Sewaktu Yesus mengajar mereka, Dia berkata, “Berhati-hatilah dengan guru Taurat. Mereka suka berjalan-jalan dengan memakai jubah panjang, dan suka dihormati orang di pasar. Mereka memilih tempat terbaik di dalam rumah ibadat dan di majlis jamuan. Mereka memperdaya balu serta merampas rumah mereka, kemudian pura-pura berdoa dengan berpanjangan. Mereka akan menerima hukuman yang amat berat!” Sewaktu Yesus duduk dekat peti persembahan di Rumah Tuhan, Dia memerhati orang memasukkan wang ke dalam peti itu. Sebilangan besar orang kaya memasukkan banyak wang. Lalu seorang balu yang miskin datang dan memasukkan dua keping mata wang tembaga yang sangat kecil nilainya. Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu berkata kepada mereka, “Ketahuilah, balu yang miskin ini memberikan persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain. Semua orang lain memberikan persembahan daripada kelebihan kekayaan mereka, tetapi balu ini, walaupun dia sangat miskin, memberikan segala yang ada padanya - dia mendermakan semua nafkahnya.”

MARKUS 12:28-44 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka datanglah sa’orang khatib, sŭtlah didŭngarnya marika itu bŭrbantah bantah bŭrsama sama, dan didapatinya Isa tŭlah mŭmbri jawab bŭtol kapada marika itu, ditanyanya kapadanya, Yang manakah kŭpala skali hukum Allah itu? Maka dijawab Isa akan dia, Adapun yang kŭpala skali hukum Allah itu inilah, dŭngarlah hie Israil; adapun Tuhan Allah kami itu Tuhan yang asa. Maka handaklah kamu mŭngasihi akan Tuhan Allah kamu itu dŭngan sŭgŭnap hatimu, dan dŭngan sŭgŭnap jiwa kamu, dan dŭngan sŭgŭnap ingatanmu, dan dŭngan sŭgŭnap kwasamu: inilah hukum yang pŭrtama itu. Adapun yang kadua itu spŭrti itu juga, iya itu handaklah angkau mŭngasihi akan samamu manusia spŭrti dirimu; maka tiadalah suatu pun hukum yang lain tŭrbŭsar deripada ini. Maka kata khatib itu kapadanya, Baiklah Guru, angkau tŭlah bŭrkata yang bŭnar, kŭrna adalah Allah itu asa adanya, maka tiadalah suatu jua pun yang lain mŭlainkan iya. Maka mŭngasihi akan dia dŭngan sŭgŭnap hati, dan dŭngan sŭgŭnap pŭngtahuan, dan dŭngan sŭgŭnap jiwa, dan dŭngan sŭgŭnap kwasa, dan mŭngasihi akan sama manusia spŭrti dirinya sŭndiri, iya itu tŭrlebih deripada skalian mŭmbakar pŭrsŭmbahan dan korban. Maka apabila dilihat ulih Isa dijawabnya dŭngan bijaksana, maka katanya kapadanya, Bahwa angkau ini tiadalah jauh deripada krajaan Allah. Kumdian deripada itu sa’orang pun tiadalah brani bŭrtanya kapadanya apa apa lagi. ¶ Maka dijawab Isa sŭrta bŭrkata, tŭtkala iya mŭngajar dalam ka’abah, Bagimanakah kata khatib khatib itu, adapun Almasih itu anak Daud adanya? Kŭrna Daud sŭndiri bŭrkata ulih Roh Alkudus, Bahwa TUHAN itu tŭlah bŭrkata kapada Tuhanku, dudoklah angkau disŭblah kananku, sampie aku jadikan musoh musohmu itu akan alas kakimu. Maka sŭbab itulah Daud sŭndiri mŭmanggil akan dia Tuhan, maka bagimanakah iya itu mŭnjadi anaknya? Maka orang kŭbanyakkan mŭnŭngar akan dia itu dŭngan suka chita. ¶ Maka katanya kapada marika itu dalam pŭngajarannya, Jagalah akan khatib khatib yang suka bŭrjalan jalan dŭngan mŭmakie kain panjang, dan yang suka mŭmbri sŭlam dalam pasar pasar: Dan diatas krosi krosi yang mulia dalam kŭnisa kŭnisa, dan ditŭmpat tŭmpat kŭtinggian dalam pŭrjamuan. Marika itu mŭnŭlankan rumah rumah pŭrampuan bujang, kŭrna chuma chuma mŭmbuat sŭmbahyang yang panjang, itulah kŭlak akan mŭnŭrima la’nat yang tŭrbŭsar. ¶ Maka dudoklah Isa mŭnghadap pŭrbandahran itu, dilihatnya bagimana kaum itu mŭnyampakkan wang kŭdalam pŭrbandahran, dan bŭbrapa pula orang kaya mŭnyampakkan banyak dalamnya. Maka datanglah sa’orang pŭrampuan bujang mŭskin, maka dichampakkannya dalamnya dua kŭping jadi sa’duit. Maka dipanggil Isa akan murid muridnya, sŭrta katanya kapada marika itu, Sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, adapun pŭrampuan bujang mŭskin ini tŭlah mŭnyampakkan tŭrlebih kŭdalamnya, deripada sagala marika itu yang tŭlah mŭnyampakkan kŭdalam pŭrbandahran itu. Kŭrna sagala marika itu tŭlah mŭnyampakkan sŭbab kŭlempahannya, tŭtapi pŭrampuan itu deripada kŭtidakannya tŭlah dichampakkan sŭmua yang ada kapadanya, mŭskipun sagala kahidopannya.

MARKUS 12:28-44 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Seorang ahli Taurat datang mendengar mereka bersoal jawab. Dia menyedari bahawa Yesus telah menjawab dengan baik. Dia pun bertanya kepada-Nya, “Perintah manakah yang terutama?” Yesus menjawab, “Yang terutama antara semua perintah ialah: ‘Dengarlah, wahai umat Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan itu esa. Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh fikiranmu, dan dengan sepenuh kekuatanmu.’ Inilah perintah yang terutama. Perintah yang kedua ialah: ‘Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Tiada perintah lain yang lebih utama daripada dua perintah ini.” Ahli Taurat itu berkata kepada Yesus, “Sungguh baik jawapan Guru. Kata-kata Engkau itu benar, kerana Allah itu esa, tiada yang lain daripada-Nya. Mengasihi-Nya dengan sepenuh hati, dengan sepenuh fikiran, dengan sepenuh jiwa, dan dengan sepenuh kekuatan, serta mengasihi sesama manusia seperti diri sendiri, adalah lebih utama daripada segala korban persembahan dan korban bakaran.” Yesus menyedari bahawa jawapan itu bijaksana, lalu berkata kepadanya, “Kamu tidak jauh daripada kerajaan Allah.” Selepas itu, tiada siapa yang berani menyoal-Nya apa-apa lagi. Kemudian, ketika mengajar di Bait Suci, Yesus berkata, “Bagaimanakah ahli-ahli Taurat dapat mengatakan bahawa Kristus itu anak Daud? Kerana Daud sendiri berkata dengan panduan Roh Kudus: ‘Tuhan berfirman kepada Tuanku: Duduklah di kanan-Ku sehingga Kujadikan segala musuh-Mu alas kaki-Mu.’ ” “Jadi, Daud sendiri memanggil-Nya ‘Tuan.’ Bagaimana mungkin Dia anaknya?” Orang ramai mendengar kata-kata Yesus dengan sukacita. Dia mengajar mereka lagi, “Awas ahli-ahli Taurat, yang suka ke sana sini berjubah labuh, suka diberi salam hormat di pasar, suka duduk di kerusi khas di saumaah dan tempat terhormat di majlis jamuan. Mereka merampas rumah balu tetapi kemudian pura-pura berdoa berjela-jela. Mereka ini akan menerima hukuman yang lebih berat.” Yesus duduk berhadapan dengan peti wang persembahan dan melihat betapa orang memasukkan wang ke dalamnya. Ramai orang kaya memasukkan sumbangan yang besar. Kemudian seorang balu yang miskin memasukkan dua keping wang tembaga, yang sangat kecil nilainya. Yesus memanggil murid-murid-Nya lalu berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, balu yang miskin itu telah memberi lebih daripada semua orang yang telah memasukkan wang ke dalam peti persembahan; kerana mereka memberi daripada kekayaan mereka yang melimpah, tetapi dia daripada kemiskinannya telah memasukkan semua yang ada padanya, seluruh rezekinya.”