MARKUS 12:1-27

MARKUS 12:1-27 BM

Kemudian Yesus berkata-kata kepada para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, “Ada seorang yang menanami ladang anggur. Dia memasang pagar di sekelilingnya, menggali lubang tempat memeras buah anggur, dan mendirikan menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu dia berangkat ke negeri lain. Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus seorang hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. Tetapi penyewa-penyewa ladang itu menangkap hamba itu, memukul dia lalu menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. Pemilik ladang itu mengutus seorang hamba lain, tetapi penyewa-penyewa ladang itu memukul kepala hamba itu dan mempermalukan dia. Lalu pemilik ladang itu mengutus seorang lagi hambanya, tetapi mereka membunuh dia. Demikianlah mereka memperlakukan banyak lagi hamba yang lain: Ada yang dipukul dan ada juga yang dibunuh. Hanya tinggal seorang yang dapat diutus, iaitu anaknya sendiri yang dikasihinya. Akhirnya pemilik ladang itu mengutus anaknya kepada penyewa-penyewa ladang itu. ‘Tentu mereka akan menghormati anakku,’ katanya. Tetapi penyewa-penyewa ladang itu bercakap sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Marilah kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya!’ Oleh itu mereka menangkap anak itu, membunuh dia, lalu membuang mayatnya ke luar ladang itu.” Lalu Yesus bertanya kepada mereka, “Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang itu? Tentu dia akan datang dan membunuh semua penyewa itu, lalu menyerahkan ladang anggur itu kepada penyewa-penyewa lain. Tentu kamu sudah membaca ayat ini di dalam Alkitab, ‘Batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama. Inilah perbuatan Tuhan; alangkah indahnya!’ ” Para pemimpin Yahudi itu berusaha untuk menangkap Yesus, kerana mereka tahu bahawa Yesus menujukan perumpamaan itu kepada mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. Oleh itu mereka meninggalkan Yesus. Beberapa orang Farisi dan anggota golongan Herodes diutus untuk memerangkap Yesus dengan beberapa pertanyaan. Mereka datang kepada Yesus dan berkata, “Guru, kami tahu bahawa guru jujur dan tidak menghiraukan pendapat orang lain. Guru tidak memandang kedudukan orang, tetapi guru mengajar kehendak Allah bagi manusia dengan terus terang. Katakanlah, menurut Taurat bolehkah kita membayar cukai kepada Kaisar Roma? Haruskah kita membayarnya atau tidak?” Yesus mengetahui kemunafikan mereka. Dia menjawab, “Mengapa kamu cuba memerangkap Aku? Cuba perlihatkan sekeping wang perak kepada-Ku.” Mereka memberikan sekeping wang perak kepada-Nya. Lalu Yesus bertanya, “Gambar dan nama siapakah ini?” “Kaisar,” jawab mereka. “Jika demikian,” kata Yesus, “berikan apa yang dimiliki oleh Kaisar kepada Kaisar, lalu berikan apa yang dimiliki oleh Allah kepada Allah.” Mereka kagum mendengar kata-kata Yesus. Beberapa orang Saduki datang kepada Yesus. (Mereka berpendapat bahawa orang mati tidak akan bangkit semula.) “Guru,” kata mereka, “Musa memberikan hukum ini kepada kami: ‘Jika seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, maka saudara lelakinya harus berkahwin dengan balunya supaya orang yang sudah meninggal itu mendapat keturunan.’ Dahulu ada tujuh orang adik-beradik. Yang sulung berkahwin tetapi meninggal tanpa mempunyai anak. Lalu yang kedua berkahwin dengan balunya, tetapi dia pun meninggal tanpa mempunyai anak. Hal yang sama berlaku kepada saudara yang ketiga, dan seterusnya sehingga kepada yang ketujuh. Tujuh orang adik-beradik itu berkahwin dengan wanita yang sama, lalu meninggal tanpa mempunyai anak. Akhirnya wanita itu sendiri meninggal. Pada hari kebangkitan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Tujuh orang adik-beradik itu sudah berkahwin dengan dia.” Yesus menjawab, “Pendapat kamu salah sekali! Tahukah kamu apa sebabnya? Kamu tidak memahami Alkitab ataupun kuasa Allah. Apabila orang mati dibangkitkan, mereka akan menjadi seperti malaikat di syurga, mereka tidak berkahwin. Tentang orang mati dibangkitkan semula, belum pernahkah kamu baca di dalam kitab Musa kisah tentang belukar yang bernyala itu? Di dalam kisah itu tertulis bahawa Allah berfirman kepada Musa, ‘Akulah Allah yang disembah Abraham, Ishak, dan Yakub.’ Oleh itu, Dia Allah orang hidup, bukan Allah orang mati. Pendapat kamu salah sama sekali!”