MARKUS 12:1-12

MARKUS 12:1-12 BM

Kemudian Yesus berkata-kata kepada para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, “Ada seorang yang menanami ladang anggur. Dia memasang pagar di sekelilingnya, menggali lubang tempat memeras buah anggur, dan mendirikan menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu dia berangkat ke negeri lain. Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus seorang hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. Tetapi penyewa-penyewa ladang itu menangkap hamba itu, memukul dia lalu menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. Pemilik ladang itu mengutus seorang hamba lain, tetapi penyewa-penyewa ladang itu memukul kepala hamba itu dan mempermalukan dia. Lalu pemilik ladang itu mengutus seorang lagi hambanya, tetapi mereka membunuh dia. Demikianlah mereka memperlakukan banyak lagi hamba yang lain: Ada yang dipukul dan ada juga yang dibunuh. Hanya tinggal seorang yang dapat diutus, iaitu anaknya sendiri yang dikasihinya. Akhirnya pemilik ladang itu mengutus anaknya kepada penyewa-penyewa ladang itu. ‘Tentu mereka akan menghormati anakku,’ katanya. Tetapi penyewa-penyewa ladang itu bercakap sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Marilah kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya!’ Oleh itu mereka menangkap anak itu, membunuh dia, lalu membuang mayatnya ke luar ladang itu.” Lalu Yesus bertanya kepada mereka, “Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang itu? Tentu dia akan datang dan membunuh semua penyewa itu, lalu menyerahkan ladang anggur itu kepada penyewa-penyewa lain. Tentu kamu sudah membaca ayat ini di dalam Alkitab, ‘Batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama. Inilah perbuatan Tuhan; alangkah indahnya!’ ” Para pemimpin Yahudi itu berusaha untuk menangkap Yesus, kerana mereka tahu bahawa Yesus menujukan perumpamaan itu kepada mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. Oleh itu mereka meninggalkan Yesus.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami