MARKUS 12:1-12

MARKUS 12:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Yesus berkata-kata kepada para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, “Ada seorang yang menanami ladang anggur. Dia memasang pagar di sekelilingnya, menggali lubang tempat memeras buah anggur, dan mendirikan menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu dia berangkat ke negeri lain. Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus seorang hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. Tetapi penyewa-penyewa ladang itu menangkap hamba itu, memukul dia lalu menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. Pemilik ladang itu mengutus seorang hamba lain, tetapi penyewa-penyewa ladang itu memukul kepala hamba itu dan mempermalukan dia. Lalu pemilik ladang itu mengutus seorang lagi hambanya, tetapi mereka membunuh dia. Demikianlah mereka memperlakukan banyak lagi hamba yang lain: Ada yang dipukul dan ada juga yang dibunuh. Hanya tinggal seorang yang dapat diutus, iaitu anaknya sendiri yang dikasihinya. Akhirnya pemilik ladang itu mengutus anaknya kepada penyewa-penyewa ladang itu. ‘Tentu mereka akan menghormati anakku,’ katanya. Tetapi penyewa-penyewa ladang itu bercakap sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Marilah kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya!’ Oleh itu mereka menangkap anak itu, membunuh dia, lalu membuang mayatnya ke luar ladang itu.” Lalu Yesus bertanya kepada mereka, “Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang itu? Tentu dia akan datang dan membunuh semua penyewa itu, lalu menyerahkan ladang anggur itu kepada penyewa-penyewa lain. Tentu kamu sudah membaca ayat ini di dalam Alkitab, ‘Batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama. Inilah perbuatan Tuhan; alangkah indahnya!’ ” Para pemimpin Yahudi itu berusaha untuk menangkap Yesus, kerana mereka tahu bahawa Yesus menujukan perumpamaan itu kepada mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. Oleh itu mereka meninggalkan Yesus.

MARKUS 12:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA dimulainyalah bŭrtutor kapada marika itu dŭngan pŭrumpamaan. Adalah sa’orang anu itu mŭmbuat suatu kŭbon anggor, maka dibubohnyalah pagar bŭrklilingnya, maka digalinya suatu tŭmpat akan apitan anggor itu, sŭrta dibangunkannya suatu mŭnara, maka disewakannyalah kapada orang kŭbon, lalu pŭrgilah iya kapada sa’buah nŭgri yang jauh. Maka pada musimnya, disurohnyalah kapada orang kŭbon itu sa’orang hambanya, supaya bulih mŭnŭrima deripada orang kŭbon itu buah deripada kŭbonnya itu. Maka ditangkap ulih marika itu akan dia, sŭrta dipalunya, lalu dihalaukannya dŭngan kosongnya. Maka disurohkannya pula kapada marika itu sa’orang hambanya yang lain, maka ulih marika itu dilemparnya dŭngan batu akan dia, sŭrta dilukakannya dikŭpalanya, lalu dihalaukannya akan dia, sŭrta ditanganninya dŭngan kŭlakuan yang tiada malu. Maka disurohkannya pula yang lain, maka dibunoh ulih marika itu akan dia, dan banyak yang lain lain, sŭtŭngah dipukolnya, dan sŭtŭngah dibunohnya. Maka adalah bagienya lagi sa’orang anak laki laki yang dikasihinya sangat, maka pada akhirnya disurohkannya akan dia kapada marika itu, sŭraya katanya, Marika itu kŭlak akan mŭnghormati anakku itu. Tŭtapi kata orang kŭbon itu sama sŭndirinya, Inilah warethnya, marilah biar kita bunoh akan dia, maka pusaka itu kŭlak jadilah kita punya. Maka diambil ulih marika itu akan dia sŭrta dibunohnya, dan dibuangkannya diluar kŭbon anggor itu. Maka ulih sŭbab itu, apakah yang patut dipŭrbuat ulih tuan yang ampunya kŭbon anggor itu? Maka iya kŭlak akan datang mŭmbinasakan orang orang kŭbon itu, sŭrta kŭbon anggor itupun akan dibrikannya kapada orang orang lain. Maka tiadakah kamu mŭmbacha kitab? Adapun batu yang ditolakkan ulih tukang mŭmbuat rumah itu, iya itu mŭnjadi kŭpala pŭnjuru. Bahwa inilah pŭrbuatan Tuhan, maka iya itu hieranlah pada mata kami. ¶ Maka dichari jalan handak ditangkap ulih marika itu akan dia, tŭtapi takot akan kaum itu, kŭrna dikŭtahui ulih marika itu iya mŭngatakan pŭrumpamaan itu mŭlawan akan marika itu; maka ditinggalkanlah akan dia, lalu pŭrgilah marika itu.

MARKUS 12:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, Dia mula berkata-kata kepada mereka melalui ibarat: “Seorang peladang menanam anggur, memasang pagar sekeliling ladangnya, menggali lubang untuk tempat memeras anggur, dan membina menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang lalu pergi ke negeri lain. Apabila tiba musim memetik, peladang itu menghantar seorang hambanya untuk meminta bahagiannya daripada hasil ladang anggur itu. Tetapi para penyewa ladang menangkap dan memukul hamba itu lalu menyuruhnya pergi dengan tangan kosong. Peladang itu menghantar seorang lagi hambanya. Mereka memukulnya, menyebabkannya luka di kepala dan menyuruhnya pergi setelah diperlakukan sebegitu kejinya. Selepas itu, dia menghantar seorang lagi hambanya, dan mereka membunuh hamba itu. Ramai lagi dihantar, ada yang dibunuh dan ada yang dipukul. Oleh yang demikian, kerana dia masih ada seorang anak yang amat dikasihinya, dia menghantarnya sebagai utusan terakhir, sambil berkata dalam hatinya, ‘Mereka akan menghormati anakku.’ Tetapi para penyewa ladang berkata sesama sendiri, ‘Ini warisnya. Mari kita bunuh dia, supaya harta warisannya menjadi milik kita.’ Mereka pun menangkap dan membunuhnya lalu mencampakkannya ke luar ladang itu.” “Jadi, apa yang akan dilakukan oleh tuan ladang anggur itu? Dia akan datang dan membinasakan para penyewa itu, lalu menyerahkan ladang anggur itu kepada orang lain. Belum pernahkah kamu baca dalam Kitab Suci: ‘Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru; Inilah perbuatan Tuhan, sungguh hebat di mata kami’?” Mereka cuba menangkap Yesus kerana mereka tahu ibarat itu ditujukan terhadap mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. Oleh itu, mereka meninggalkan-Nya dan pergi dari situ.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami