YOSUA 9
9
Orang Gibeon Menipu Yosua
1Berita tentang kemenangan orang Israel didengar oleh semua raja negeri-negeri di sebelah barat Sungai Yordan: di perbukitan, di kaki-kaki bukit, dan di sepanjang kawasan pantai Laut Tengah, sampai ke Lebanon di sebelah utara. Mereka ialah raja-raja orang Het, Amori, Kanaan, Feris, Hewi, dan Yebusi. 2Raja-raja itu bersepakat dan bergabung untuk menentang Yosua dan umat Israel.
3Tetapi penduduk Gibeon, iaitu orang Hewi, mendengar apa yang telah dilakukan Yosua terhadap kota Yerikho dan Ai. 4Oleh itu mereka bercadang untuk menipu Yosua. Mereka mengambil makanan dan memuat keldai-keldai mereka dengan karung-karung yang usang dan kirbat kulit yang bertampal. 5Mereka memakai kasut lama yang bertampal dan pakaian yang koyak-koyak. Mereka membawa roti yang kering dan berlapuk. 6Kemudian mereka pergi ke perkhemahan di Gilgal dan berkata kepada Yosua serta orang Israel, “Kami datang dari negeri jauh. Tolong buat perjanjian dengan kami.”
7 Tetapi orang Israel berkata, “Mengapa kami harus membuat perjanjian dengan kamu? Mungkin kamu tinggal di sekitar sini.”
8Mereka berkata kepada Yosua, “Kami hamba tuan.”
Yosua bertanya kepada mereka, “Siapakah kamu? Dari manakah kamu?”
9Kemudian mereka menceritakan kisah ini, “Tuan, kami berasal dari negeri yang sangat jauh. Kami datang kerana kami mendengar tentang TUHAN, Allah tuan. Kami telah mendengar segala sesuatu yang dilakukan-Nya di Mesir, 10 dan apa yang dilakukan-Nya terhadap dua orang raja Amori di sebelah timur Sungai Yordan: Raja Sihon penguasa Hesybon dan Raja Og penguasa Basan yang tinggal di Asytarot. 11Para pemimpin kami dan semua penduduk negeri kami menyuruh kami membawa makanan dan berangkat untuk berjumpa dengan tuan. Kami disuruh menjadi hamba tuan dan meminta supaya tuan membuat perjanjian dengan kami. 12Lihatlah roti kami. Ketika kami berangkat untuk menghadap tuan, roti ini masih panas. Tetapi sekarang lihatlah! Roti ini sudah kering dan berkulapuk. 13Ketika kami mengisi kirbat-kirbat kulit ini, semuanya masih baru. Tetapi sekarang lihatlah! Semuanya sudah koyak. Pakaian dan kasut kami pun sudah buruk kerana perjalanan yang jauh.”
14Umat Israel menerima makanan yang diberikan oleh mereka, tetapi tidak meminta petunjuk daripada TUHAN. 15Yosua membuat perjanjian damai dengan semua orang Gibeon itu dan berjanji tidak akan membunuh mereka. Para pemimpin Israel bersumpah untuk memegang perjanjian itu.
16Tiga hari selepas perjanjian itu dibuat, orang Israel mendapat tahu bahawa semua orang itu sebenarnya tinggal tidak jauh dari situ. 17Oleh itu orang Israel berangkat dan tiga hari kemudian mereka sampai di kota-kota semua orang itu: kota Gibeon, Kefira, Beerot, dan Kiryat-Yearim. 18Tetapi orang Israel tidak boleh membunuh mereka kerana para pemimpin Israel telah bersumpah kepada mereka demi TUHAN, Allah Israel. Semua orang Israel bersungut kepada para pemimpin mereka 19tentang hal itu tetapi para pemimpin itu menjawab, “Kami telah bersumpah kepada mereka demi TUHAN, Allah Israel. Oleh itu kita tidak boleh mencederakan mereka. 20Kita mesti membiarkan mereka hidup kerana perjanjian kita itu; jika tidak, Allah akan menghukum kita. 21Biarlah mereka hidup tetapi mereka mesti membelah kayu dan mengangkat air untuk kita.” Demikianlah cadangan para pemimpin itu.
22Yosua menyuruh orang Gibeon menghadap lalu bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu menipu kami dan berkata bahawa kamu datang dari tempat yang jauh, padahal kamu tinggal di sekitar sini? 23Oleh sebab muslihat itu kamu dihukum oleh Allah. Orang kamu akan sentiasa menjadi abdi. Kamu mesti membelah kayu dan mengangkat air untuk rumah Allahku.”
24Orang Gibeon menjawab, “Tuan, kami berbuat demikian kerana kami mendengar bahawa sesungguhnya TUHAN, Allah tuan telah memerintahkan hamba-Nya, Musa untuk memberikan seluruh tanah ini kepada tuan, serta membunuh penduduknya ketika tuan maju berperang. Kami berbuat begitu kerana kami takut kepada tuan; kami takut dibunuh. 25Tetapi sekarang kami dalam kekuasaan tuan; perlakukanlah kami dengan sepatutnya.” 26Oleh itu Yosua melindungi mereka dan tidak mengizinkan umat Israel membunuh mereka. 27Tetapi Yosua menjadikan orang Gibeon itu abdi. Mereka mesti membelah kayu dan mengangkat air untuk umat Israel dan untuk mazbah TUHAN. Sampai hari ini mereka masih melakukan tugas itu di tempat yang dipilih oleh TUHAN sebagai tempat beribadat kepada-Nya.
Terpilih Sekarang Ini:
YOSUA 9: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.